Sunday, June 29, 2008

BEZA PERSEDIAAN PRU 1994 DENGAN PRU 2008

(Artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian, 24 September 1994. Artikel ini sekadar memberi gambaran tentang Pilihan raya yang menjelang tiba pada tahun itu. Bandingkan dengan persiapan yang dilakukan menjelang Pilihan Raya 2008 yang lalu.)

BN sudah bersedia hadapi pilihan raya
Oleh Faizal Fadzil

Kebelakangan ini soal pilihan raya sering diperkatakan. Pemimpin dan rakyat hangat membicarakannya seolah-olah pilihan raya akan tiba dalam waktu terdekat ini. Namun tarikh sebenar terus menjadi teka-teki. Begitu pun, parti-parti politik kelihatan rancak membuat persiapan yang membayangkan mereka sudah dapat menghidu kedatangan musim itu.
Sementara parti pembangkang terus memutarbelitkan pelbagai isu yang timbul untuk memancing sokongan. Barisan Nasional (BN) pula memperhebatkan program pembangunan. Ia dijadikan agenda utama perjuangan kerana BN beranggapan politiking keterlaluan boleh memburukkan keadaan.
BN memperkukuhkan kedudukan menerusi perkhidmatan berorientasikan rakyat dan bukan berjuang memperalatkan rakyat. Itulah ciri-ciri kekuatan BN dalam menghadapi pilihan raya.

Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun), Perdana Menteri ketika itu memimpin BN dalam menghadapi pilihan raya.
Ketika melawat Jitra, Kedah baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, pilihan raya adalah satu proses dan keperluan yang penting untuk negara. Ia tidak berkaitan dan tidak seharusnya dikaitkan dengan permasalahan yang dihadapi oleh parti politik dalam gabungan BN.
Perdana Menteri menolak pendapat bahawa kerajaan perlu memastikan tiada masalah barulah mengadakan pilihan raya. Ini bermakna pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober tahun depan, tanpa perlu mengambil kira masalah yang dihadapi parti komponen BN.
Dengan dianggotai oleh 14 parti politik dan menguasai semua negeri, kecuali Kelantan, kekuatan BN dapat dilihat dengan nyata. Sokongan rakyat terhadap falsafah pragmatik dan dasar perkongsian kuasa yang terus meningkat tidak boleh dinafikan. Yang terbaru ialah menerusi perubahan sokongan beramai-ramai rakyat serta pemimpin di Sabah yang akhirnya membawa kepada peralihan kuasa daripada pembangkang kepada BN, awal tahun ini.
Gabungan BN menghadapi pilihan raya akan datang ditunjangi oleh UMNO, MCA, Gerakan dan MIC di peringkat pusat. Parti lain yang membentuk gabungan itu ialah Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Pusaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) dari Sari Sarawak dan Parti Maju Sabah SAPP), Angkatan Keadilan Rakyat (Akar). Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Demokratik Sabah (PDS) serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dari Sabah.
Pada Oktober 1995, penggal pemerintahan kerajaan sekarang genap lima tahun. Ini bermakna kerajaan masih mempunyai sekurang-kurangnya 13 bulan untuk mengadakan pilihan raya umum, Dalam tempoh sedekat itu, parti pembangkang semakin rakus menyerang kerajaan dalam pelbagai isu yang dapat diputar belit. Pembangkang menggunakan isu pengharaman kumpulan al-Arqam serta penangkapan ahli dan pemimpinnya semata-mata untuk menawan hati pengundi.
Sesetengah pemimpin pembangkang DAP juga cuba menjadi juara rakyat dengan menawarkan bantuan kepada penduduk setempat atau individu tertentu yang menghadapi masalah dalam isu tanah wakaf di Pulau Pinang serta mengambil balik tanah di Kampung Tanah Merah dan Pantai Kundur, Melaka.
Kelalaian golongan pegawai tadbir kerajaan dalam kejadian kebakaran radar Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuala Lumpur Subang turut dieksploitasi.
Malah DAP juga cuba memancing perhatian rakyat dengan menawar bantuan kepada gadis bawah umur yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Persoalannya, apakah dengan menawarkan pelbagai bantuan atau membawa isu berkenaan ke mahkamah dapat menyelesaikan keadaan?
Apakah ia sudah cukup meyakinkan rakyat bahawa pembangkang mampu mentadbir negara ini yang mengandungi 18 juta penduduk?
BN bukan parti yang baru hendak bertatih dalam politik. Sepanjang 20 tahun mentadbir negara ini BN yang dulunya dikenali sebagai Parti Perikatan, sudah masak dengan pelbagai helah pembangkang yang sekadar menangguk di air keruh.
Pembangkang hanya bersandar kepada isu untuk membeli jiwa rakyat. Rakyat juga sudah cukup masak dengan taktik pembangkang yang muncul di kalangan mereka menawarkan pelbagai bantuan saban kali musim pilihan raya menjelang tiba.
Bagi BN pula tidak perlu membangkitkan masalah yang melanda pembangkang untuk memujuk rakyat memilih gabungan itu menerajui pemerintahan.
Kekuatan BN sebagai calon terbaik mentadbir negara ini terbukti dengan rekod cemerlang dalam bidang ekonomi, pembangunan fizikal serta rohani, politik, sosial dan moral.
Pemikiran rakyat semakin matang. Hasil konsep keterbukaan BN dalam pentadbiran memberi peluang kepada rakyat menikmati pelbagai kemudahan komunikasi, membolehkan mereka mengaut pengetahuan dan pengalaman seterusnya menilai kemakmuran negara berbanding negara luar.
Rakyat mendengar pujian majalah ekonomi yang berpengaruh di London, Euromoney, terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Majalah itu mengakui sejak beberapa tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar purata hampir sembilan peratus setahun dengan sektor perindustriannya terus berkembang.
Majalah itu mengakui: “Biarpun pencapaian ekonominya cemerlang, kadar inflasi negara itu masih berada di peringkat terendah dengan simpanan dalam negara yang tinggi dan dasar kerajaan yang pragmatik khususnya melalui Belanjawan 1991.
Jika tidak berlaku sebarang keburukan politik, perkembangan yang menggalakkan ini mampu menjamin kemantapan ekonomi yang berterusan pada masa depan.”
Malah, majalah itu menyenaraikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai salah seorang daripada empat Menteri Kewangan terkemuka dunia.
Pengiktirafan majalah luar terhadap kedudukan ekonomi negara itu sudah cukup membuktikan kemampuan BN menerajui negara ke arah pertumbuhan ekonomi lebih cemerlang pada masa hadapan.
Selain ekonomi, pembangunan rohani dan moral yang ditekan oleh kerajaan juga menjadi sandaran kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran BN.
Konsep bersih, cekap dan amanah yang menjadi moto kerajaan tetap dipertahankan.
Kesungguhan Perdana Menteri dan pimpinan UMNO, sebagai tonggak BN, untuk menghapuskan gejala politik wang dalam parti adalah satu keberanian yang membuktikan kerajaan benar-benar serius mendokongi moto itu. Ini diperkuatkan lagi dengan ketegasan Anwar menerusi kata0katanya bahawa kerajaan, UMNO dan BN tidak berkompromi jika dakwaan kononnya Abdul Rahim Tamby Chik mempunyai hubungan dengan pelajar 15 tahun terbukti benar, adalah contoh kejujuran BN membasmi sebarang kegiatan tidak bermoral di kalangan barisan kepemimpinan negara.
Ini kerana mereka menyedari kemajuan negara amat bergantung pada pentadbiran yang bersih dan bermoral bagi menjadikannya lebih berdaya saing.
Sejak 37 tahun merdeka, kebebasan yang diberi kepada rakyat untuk meluahkan apa saja yang terbuku di hati semakin jelas. Rakyat kini bebas menyuarakan pandangannya dalam media.
Setiap hari rakyat semakin berani bersuara, membangkitkan pelbagai isu yang dianggap duri dalam masyarakat. Pemimpin yang diragui kebersihannya dikritik hebat.
Isu rasuah terus dihentam tanpa belas kasihan. Pentadbiran birokrasi yang tidak cekap dalam mengurus agensi negara juga bebas dibaham. Kebebasan ini jarang dinikmati oleh banyak negara lain.
Parti UMNO dengan sokongan rakan komponen BN juga bertungkus-lumus mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Kerajaan bertindak tegas memastikan rakyat negara ini bebas daripada ancaman penyelewengan agama yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
Walaupun tindakan ini dipertikaikan beberapa pihak yang cuba mengambil kesempatan, ketegasan kerajaan memelihara kebersihan akidah umat Islam adalah bukti kejujuran UMNO memperjuangkan Islam tanpa dihalang rakan komponen yang bukan beragama Islam.
Kenyataan Perdana Menteri bahawa UMNO sedia bekerjasama dengan Pas dalam soal agama tetapi tidak akan bertolak ansur jika kepentingan agama dikaitkan dengan kepentingan politik membuktikan kejujuran kerajaan mendukung agama.
Inilah antara kekuatan BN yang menyebabkan gabungannya dijangka menerima sokongan rakyat secara berterusan. Rakyat negara ini sudah semakin bijak memilih intan daripada kaca yang bertaburan.
Rakyat kini sudah semakin celik terhadap jenis pemerintahan yang dimahukan ke arah mencapai negara maju menjelang tahun 2020.
Semua kenyataan ini amat jelas selaras dengan kata-kata Dr Mahathir ketika sambutan ulang tahun BN ke-20 bulan lalu bahawa BN sudah membuktikan kemampuan membawa rakyat dan negara ke arah cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil, makmur dan dinamis.
Berdasarkan kedudukan inilah Perdana Menteri tidak ragu-ragu menyatakan BN sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja. Selain UMNO, parti gabungan lain turut memperkemas jentera parti masing-masing bagi menjamin kekuatan BN secara keseluruhan. MIC sudah mengumumkan jenteranya sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya manakala Majlis Presiden MCA juga sudah mengarahkan 130 bahagian parti itu menubuhkan jawatankuasa pilihan raya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum, sejak tiga minggu lalu.
Baru-baru ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Mohamed Rahmat mengumumkan UMNO sudah mengenal pasti calon terbaik parti yang mampu menyumbang ke arah kemenangan cemerlang BN dalam pilihan raya akan datang. Semuanya sudah bersedia.
Hakikatnya, keupayaan BN menerajui pemerintahan negara memang sudah terbukti sejak pilihan raya pertama pada 1959. Paling jelas ia bukan sekadar menggabungkan rakyat pelbagai kaum dalam satu gagasan, malah berjaya membina serta meletakkan negara ke satu tahap paling gemilang.
Kini sudah wujud kekuatan ekonomi yang mampu menjadikan Malaysia aman dan progresif, sehingga dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Berita Harian – 24 September 1994

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...