Monday, February 23, 2009

PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO TAHUN 1995

Enam bulan kemuka pandangan” Mahathir
Seperti yang dilaporkan wartawan Berita Harian Faizal Fadzil,20 Oktober 1995

Kuala Lumpur, Selasa – Jawatankuasa Kajian dan Pindaan Perlembagaan Umno yang bermesyuarat pertama kali hari ini, memberi tempoh enam bulan kepada ahli parti memberi pandangan memperbaiki imej, prestasi serta semangat perjuangan ahli.
Pandangan itu kemudian akan diteliti semula sebelum jawatankuasa membuat perakuan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno, untuk tindakan selanjutnya.

Dalam masa yang sama, jawatankuasa itu yang ditubuhkan pada mesyuarat MT awal bulan ini menyarankan semua Badan Perhubungan Umno negeri menganjurkan seminar meningkatkan disiplin ahli dan menanam semangat perjuangan Umno.
Memberitahu pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata langkah itu diambil bagi memastikan perjuangan parti tidak menyimpang daripada landasan asal. Katanya, Umno mahu menentukan setiap ahli memahami semangat perjuangan membela nasib orang Melayu dan Bumiputera lain yang menjadi ahli serta kepentingan negara keseluruhannya.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa berpendapat perlunya Badan Perhubungan Umno setiap negeri mengadakan seminar mengkaji masalah, bertujuan memberi peluang kepada pemimpin dan ahli semua peringkat memberikan pendapat mereka.
“Kita berpendapat kita harus tumpukan kepada soal bukan saja Perlembagaan parti, tetapi juga peraturan bagi membetulkan pendirian ahli Umno yang baru.
“Ini untuk menentukan supaya mereka faham apa sebenarnya Umno dan tujuannya kerana ternampak seolah-olah ramai ahli tidak faham apa tujuan mereka menjadi ahli Umno,” katanya.

Mesyuarat hampir dua jam itu dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Datuk Mohamed Rahmat serta semua ahli jawatankuasa berkenaan.
Mereka ialah bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhaari Taib; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yassin; bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Tan Sri Abdul Samad Idris; dan bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Aishah Ghani.

Ahli lain ialah Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin; Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman; Ketua Menteri Sabah, Datuk Salleh Tun Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Hamid Othman.
Berita Harian – 20 Oktober 1995

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...