Rokok sebatang
Dengan buru-buru aku melangkah masuk ke dalam dewan. Rakan-rakan ku saling bertolakan di belakang kerana tempat duduk di bahagian ini sudah penuh.
Kami pula bernasib baik kerana dapat tempat di tengah-tengah. Duduk di barisan hadapan tentu tidak senang, takut mengantuk pula. Sebentar kemudian, para pelajar memenuhi ratusan kerusi di hadapan kami. Mereka ini terutama mat-mat surau rela duduk di barisan hadapan.
Di atas pentas di hadapan telah diatur lima buah kerusi, tiga daripadanya sudah diduduki oleh penyelaras program kami, timbalannya dan seorang yang berbaju batik tulis. Sinar sepatu orang berbaju batik itu menyilaukan. Matanya terus-terusan ..... kami. Dia mungkin saja tertarik dengan gelagat para pelajar yang tidak lama lagi akan dikirimkan ke luar negeri untuk melanjutkan pelajaran, Dia tersenyum yang sukar aku tebak ertinya.
Dewan masih hingar bingar, namun asakan-asakan di belakang telah berkurangan. Aku melihat kumpulan terakhir yang terdiri daripada anak-anak gadis berkurung dengan jambul tersembul memasuki dewan. Seorang daripada mereka dengan tersipu-sipu berjalan deras tiba-tiba terpelecok kakinya. Barangkali dia belum biasa berkasut tumit tinggi.
“Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh... penyelaras program yang kami gelar ‘Hitler’ memulakan majlis. Misi dan gaya jalannya ‘sebutir’ seperti Hitler. Dia memberikan ucapan ringkas. Bangga dengan sebutan pelajar yang menggalakkan. Lamin, rakan sebilik yang duduk bersebelahan dengan ku senyum sumbing pada ku. Aku rasa kami sama-sama teringatkan hal yang serupa, iaitu poster sebuah ceramah yang bertuliskan “kedatangan adalah diwajibkan!” terdengar gelak ketawa riuh rendah di belakang. Di celah-celah para pelajar yang sedang ketawa itu ku lihat Rusli, rakan sebilik ku menguap panjang. Wajahnya kelat dan mulutnya kemudian kumat kamit. Dia sedang marah, barangkali kerana masa ceramah bersamaan masa temu janjinya dengan buah hatinya. Penyelaras mempersilakan penceramah memulakan ceramahnya.
“Saya tidak puas hati betul dengan sikap kamu semua. Tidak menghargai waktu. Saya dan di sini hampir 20 minit, kamu ... tak sampai-sampai juga,” katanya keras tapi masih boleh melemparkan senyuman. Dia seperti menyindir Lamin Merugah.
“La ... belum apa-apa dah kena pukul. Lepas ini tentulah lagi sakit,” katanya. Aku hanya mengangkat bahu.
“Saya dah fikir-fikir, kalau 10 minit lagi kamu belum habis masuk saya akan balik, betul saya kata. Saya balik!” kata penceramah itu lagi. Dia perkenalkan diri sebagai Termizi.
“Baliklah! Lagi bagus! Buat rosak program aku je” kata Rusli perlahan, tetapi masih dapat didengari sampai ke bahagian tengah dewan. Betul-betul dia sakit hati. Kebetulan pagi itu dia telah mencipta sejarah kerana pertama kali dia bersembahyang subuh secara tunai untuk menghadiri ceramah. Dia jarang bangun sebelum pukul 7.45 pagi. Ada hari-harinya dia bangun waktu zuhur.
“Kamu ni... nama saja nak ke luar negeri, nak masuk universiti, tapi perangai macam budak kecil, tak hormat pada orang tua langsung. Ustaz Harun terjerit-jerit suruh kamu masuk. Sudah 15 minit barulah kerusi di depan saya ni penuh,” kata En. Termizi lagi. Dia seperti belum puas menghamun kami. Dia tidak lagi tersenyum.
“Dia ni. Nak bagi ceramah ke, nak bagi sakit hati orang. Belum apa-apa dah nak membebel, boring betullah!” rungut Lamin lagi. Kakinya mula dilunjurkan ke hadapan dan kepalanya seperti tersangkut di palang besi kerusinya. Para pelajar masih memasang telinga. Muka masing-masing merah padam dengan leteran En. Termizi.
“Sikap kamu ini susahlah. Pelajar sekarang ini sudah jauh berubah. Akhlak sudah merosot. Tengoklah dalam akhbar-akhbar, dengan dadahnya, dengan muziknya yang boleh memecahkan gegendang telinga, dengan maksiatnya dan entah apa-apa lagilah!” kata En. Termizi. Dia benci amat dengan apa yang dibacanya dalam dada-dada akhbar. Dia mengungkit cerita khalwat dalam kampus kami. Dia membongkar dua tiga kes yang baru berlaku. Beberapa orang pelajar menekurkan kepala berdekatan dengan ku. Ada yang seperti patah leher duduk di kerusi. Lamin membuat satu tanda porno dengan tangannya.
En. Termizi masih belum puas. Dia terus mengungkit soal-soal maksiat, katanya dia pernah terserempak sepasang pelajar kampus ini berpaut pinggang semasa berjalan di taman. Dia mendakwa melihat budak-budak muda tanpa silu-silu berkucupan di pinggir-pinggir bangunan di tengah-tengah bandar raya.
“Dekat tasik sana tu, melambak orang buat maksiat. Kat taman berdekatan dengan kampus ini hah, jangan berita lagi. Tak ada maruah langsung, bukan saya tak tau!” suaranya semakin meninggi, membingitkan. Manir yang mulanya bercadang hendak tidur saja dalam dewan itu tidak jadi berbuat demikian. Dia memang terlalu mengantuk kerana bersembang sehingga 3.00 pagi malam tadi.
“Mana dia tau ni semua hah?” hebatlah!” Satu suara kedengaran di belakang ku.
Ala!... jangan-jangan dia pun turut buat sama di tempat itu. Itu sebab dia tahu!” terdengar satu suara lain menyampuk.
“Wah! Hebat betullah dia ni. Bukan saja boleh jadi pegawai disiplin, jadi tukang suluh orang buat maksiat pun boleh. Aku rasalah sebelum ia jadi pegawai kementerian, dia jadi pegawai pencegah maksiat tak. Entah-entah ... bekas Tok Kadi!” Lamin berdekah-dekah. Di celah dekahan itu tersembur sebuah seranah.
“Celaka!”
“Alaaaaaa.... lu ingat kita orang ni bangang sangat ke. Nak kelentong pun tengok kakilah dulu. Ingat lu boleh kenal ke beribu-ribu pelajar kat sini. Nak tuduh-tuduh orang buat maksiat! Lainlah kalau anak lu ada belajar kat sini dan lu tertangkap dia buat kerja!” kata Rusli, tidak tahu kepada siapa dia membebel. Aku akur dengan katanya itu.
“Tak semua!”
Aku menoleh ke arah Lina, yang duduk di barisan perempuan. Lima sibuk 24 jam dengan buku. Dia kelihatan bingung dengan tuduhan En. Termizi.
“Maka kau ambil tahu keadaan sekeliling!”
“Kamu patutnya sedar tugas kamu belajar. Kamu tidak kasihan ke melihat keadaan orang-orang yang menanggung kamu semua. Ada yang pendapatan mereka lebih rendah daripada apa yang kami terima setiap bulan. Tiba-tiba kamu nak hidup bersenang lenang lebih daripada mereka. Inikah sikap bakal intelek-intelek kita?” kata En. Termizi lagi.
Aku tiba-tiba malu sendiri. Alu teringat kampung ku. Aku terbayang ibu ku yang terbongkok-bongkok di sawah. Aku terkenang bapa-bapa saudara ku yang gelap lagi telah berada di kebun-kebun getah. Aku teringat saudara-saudara ku lain yang turut sama membantu mereka agar tidak kebulur setiap hari. Aku juga pernah merasakan kepahitan itu. Aku turut sama bekerja dengan mereka, Aku teringatkan adik-adik ku berpakaian. Kadang-kadang pakaian mereka lusuh tetapi tetap dipakai, tidak dibuang. Air mata ku sedikit bergenang. Aku tunduk, insaf dengan keadaan mereka. Apabila sesekali terpukul begini, aku semakin insaf tentang kedaifan itu.
Aku merogoh kocek ku untuk mengambil rokok! Perlahan-lahan aku ramas ia sehingga hancur. Akan ku perlakukan yang sama dengan sekotak lagi di bilik ku.
“Ini kamu tidak, rock sana, rock sini, rambut macam hantu. Terjerit sana, terjerit sini. Macam ni nak digelarkan bakal mahasiswa yang akan menjadi duta-duta kecil bagi negara kita nanti?” Marah En. Termizi lagi, Dewan sunyi sepi.
Gedegang! Tiba-tiba satu bunyi bising di belakang memeranjatkan semua. Semua kepala berpaling ke belakang. Faruk meninggalkan dewan. Belasan konco-konconya mengekorinya di belakang. Ratusan pelajar lain terpinga-pinga melihat mereka.
“Kutu-kutu rock dah mengamuk”.
Hatiku pula berdebar. En. Termizi terkejut seperti orang yang baru kena lempang. Matanya terbeliak, Dia berpaling kepada En. Ali yang sedang berpandangan dengan timbalannya. En. Ali bergegas mendekati En. Termizi dan membisikkan sesuatu. En. Termizi mengangguk-angguk. En. Ali kemudian mendekati timbalannya. Pembantunya itu keluar dewan. Suasana kembali riuh. Para pelajar saling berkata sesama rakan.
“Nasib baik saya tak lemah jantung. Kalau tidak, dah jalan dah!” kata En. Termizi cuba berjenaka, tetapi tidak siapa yang ketawa.
“Hah! Kamu tengok sikap kawan-kawan kamu tu! Inikah mereka yang bakal menjadi pemimpin dalam negara kita kelag?”
Aku merebahkan diri di atas katil ku. Fikiran ku masih kusut dengan isi ceramah En. Termizi. Aku tidak habis-habis memikirkan ceramah itu sejak keluar dewan. Dalam bas hinggalah aku terlentang di atas katil. Ada kebenaran dalam isi ceramah itu, dan menyakitkan. Aku seperti mengutuk diri pula. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Janji ku pada diri ku sendiri sewaktu berada dalam dewan. Aku bingkas bangkit, lalu menuju ke gerobok ku. Tangan ku meraba sesuatu.
Rusli muncul. Dia berpakaian t-shirt yang bertuliskan ‘we love Amerika’ dan berjean ketat. Kemas dan harum baunya pula.
“Hai!” kawa nampak! Nak ke mana?” tanyaku.
Mana lagi. Kan hari ni hari Sabtu. Jalanlah, lepak-lepak dengan “awek!” Rusli terus menayang mukanya di depan cermin. Dia menyikat rambutnya dengan cermat dan kemas. Dia bersiul riang.
“Baru saja kena kutuk tadi, takkan tak serik-serik?” tanyaku hairan.
“Aaah!!! Jangan sebut-sebut pasal tu lagilah. Dia tak kena kutuk dengan aku tu pun sudah cukup baik. Pasal dialah aku terpaksa batalkan rancangan aku nak buat racing dengan Shita, tau tak?” Habis sekarang ni dah petang, nak buat apa! Baik aku pujuk balik buat hatiku itu dan ajak dia keluar tengok wayang. Lepas tu bolehlah .... ronda-ronda!” kata Rusli. Dia senyim panjang. Tangannya kemudian menarik-narik rambutnya dengan jari sehingga terbentuk jambul yang agak tinggi.
“Ala!! Sudahlah dengan Termizi tu. Cakap banyak pula dia tadi. Doa tu entah-entah muda-muda dulu lagi teruk daripada kita. Dah tua-tua ni baru nak sedar. Kalau tidak, merambu jugak” sampuk Lamin yang tiba-tiba muncul di pintu. Dicarinya tersepit sebatang rokok yang tinggal separuh.
“Aku rasa, ada benarnya kata-kata En. Termizi itu. Kita ni dah lebih sangat. Belajar tak seberapa, enjoy yang lebih,” balasku dengan penuh rasa insaf.
“Ala!!... kau ni pun satulah Fauzi. Apa! Kau ingat kita ni senang-senang boleh ubah perangai setelah mendengar ceramah itu?
Sorylah, kita ni muda lagilah, takkan nak jadi lebai pulak. Mak aku pun tak kisah. Dia pulak nak sibuk-sibuk,” bentak Lamin. Marahnya belum reda. Dia meletakkan punggung di atas simen dan bersandar di almari.
“Kau orang tau? Mak aku kata aku ni masih muda. Enjoylah dulu, Dal tua besok tak lah menyesal sangat. Yang penting pelajaran jangan diabaikan. Sembahyang tak tinggal,” kata Lamin. Dia menyedut rokoknya.
“Hai Fauzi, dari kecil kita dah terdedah dengan cara hidup macam ni. Mak aku pun suka tengok aku hidup cara ini. Memang seronok. Umur kita baru 20 tahun. Tiba-tiba nak suruh jadi tok-tok alim, baliklah!” bentak Rusli. Dia menyokong pendapat Lamin.
“Aku rasa En. Termizi itu irihari. Dia tidak merasa seperti apa yang kita rasakan sekarang. Tetapi entah-entah dia lebih hebat daripada kita, dengan agogonya, twisnya, mambonya dan entah apa-apa bo lagi. Tiba-tiba bila-bila dia dah tua dia larang kita pula” kata Lamin tersengih senang.
“Fauzi, kau jangan cepat termakan kata-kata dia tu. Buat apa susah-susahkan diri. Besok apabila sudah berumur, cucu sudah berderet hadaplah tikar sembahyang, taubatlah banyak-banyak!” nasihat Rusli kepadaku sambil menyarung kasutnya.(Cerpen Faizal Fadzil ini telah disiarkan dalam akhbar mingguan Utusan Zaman awal tahun 1990-an)