Artikel oleh Allahyarham Faizal Fazil ini disiarkan dalam Berita Harian 8 Januari 1996.
Berpegang erat pada Islam
Masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat sering digambarkan sebagai golongan ganas yang sentiasa ditakuti, mempunyai status rendah dalam masyarakat maju serta miskin dan kurang berpelajaran menerusi filem Barat. Imej buruk itu sedikit sebanyak mempengaruhi masyarakat dunia. Umat Islam sejagat mungkin terikut-ikut memiliki pandangan sering terhadap saudara seagama mereka yang berkulit hitam. Faizal Fadzil meninjau pandangan seorang pemimpin Afro-Amerika beragama Islam, Agieb Bilal.
Langkah Angkatan Belia Malaysia (ABIM) dan TV3 menganjurkan tayangan amal filem biografi Malcolm X, seorang pemimpin masyarakat kulit hitam beragama Islam Amerika satu ketika dulu di negara ini bagi ‘Tabung Keamanan Sejagat’ badan itu mungkin ada hikmahnya.
Selama hampir tiga bulan, rakyat negara ini berpeluang memahami lebih jelas inti pati perjuangan masyarakat kulit hitam yang lahir di Amerika Syarikat atau lebih gemar dikenali sebagai Afro-Amerika membangunkan Islam bersama bangsa lain di negara itu menerusi siri ceramah yang mengiringi tayangan amal itu.
Berdasarkan perbincangan rambang, ada rakyat Malaysia yang menganggap Islam yang diamalkan oleh Afro-Amerika itu ‘tidak begitu betul’ berbanding amalan umat Islam secara keseluruhannya.
Tanggapan itu turut diburukkan dengan amalan ganas yang digambarkan menerusi filem dan juga cerita yang ‘kurang enak’ didengar mengenai masyarakat itu meskipun ia dilakukan oleh bangsa itu yang tidak beragama Islam.
Seorang sejarawan pendidik, aktivis Islam yang menyertai perjuangan Afro-Amerika selama 30 tahun dan pernah menjadi pembantu setiausaha pengasas ‘Nation of Islam’ (antara pertubuhan masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat yang awal menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka), Elijah Mohamed iaitu Agieb Bilal mengakui pada peringkat awal perjuangan ‘Nation of Islam’ tiada penekanan dibuat untuk mengukuhkan akidah umat Islam di kalangan pengikut pertubuhan itu.
Beliau yang kini menjadi Pengerusi Majlis Sekolah-sekolah Islam di Amerika Utara menjelaskan pengetahuan Islam di kalangan masyarakat Islam Afro-Amerika sangat cetek sebelum Perang Dunia Kedua.
“Tiada al-Quran di perpustakaan di Amerika. Sesudah proses pembebasan daripada cengkaman penjajahan di Arfika, kesedaran politik bermula di kalangan masyarakat Afro Amerika. Tetapi pelajar Islam terpengaruh dengan sosialis ketika itu. Islam tidak dilihat sebagai satu wadah politik yang teguh dan mampu mengubah corak kehidupan masyarakat kulit hitam.
“Kami mula belajar Islam dengan cara yang agak aneh. Kami belajar sendiri dan seterusnya mengikut seorang rakyat Pakistan yang bernama Fard Mohamad,” katanya dalam majlis wawancara di pejabat ABIM, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pengasas ‘Nation of Islam’ yang menggerakkan pertubuhan itu pada 1930, Elijah Mohamed, menyedari bahawa kekurangan pertubuhan itu dari segi pengukuhan akidah.
Elijah menghantar anaknya, Akbar Mohamad ke Universiti al-Azhar untuk mendalami Islam. Seorang lagi anaknya, Imam Wallace Deen Muhammad, yang kini menerajui pertubuhan itu juga diberi pendidikan Islam.
“Sejak itu, kira-kira 20 tahun lalu, ‘Nation of Islam’ menjadi masyarakat Islam yang sebenar. Malah bagi tempoh 1975-1980, kita tidak melihat mana-mana kumpulan manusia menganut Islam dengan jumlah paling ramai kecuali di Amerika,” katanya.
Sebaliknya, Agieb menyalahkan kegiatan pengganas di kalangan umat Islam di peringkat antarabangsa yang menyukarkan kedudukan umat Islam di negara bukan Islam khususnya bagi meningkatkan dakwah di kalangan bukan Islam.
“Kami dan keseluruhan umat Islam di Amerika Syarikat harus menangani perkara itu. Imej Islam agak buruk berikutan kegiatan pengganas di kalangan umat Islam di peringkat antarabangsa seperti mengebom bangunan dan pesawat. Peperangan di kalangan umat Islam dan Islam daripada 12 juta orang yang menjadi pelarian di seluruh dunia memburukkan imej umat Islam termasuk di Amerika Syarikat.
“Mereka akan bertanya, jika Islam adalah penyelesai masalah, bagaimana dengan keadaan umat Islam di seluruh dunia? Adakah kamu semua mempunyai kaitan dengan mereka? Jika Islam sangat bagus, mengapa ini berlaku? Ini yang sering kami hadapi”, katanya.
Mengenai kemampuan masyarakat Afro-Amerika menarik minat bangsa kulit putih kepada Islam, Agieb berkata, mereka sentiasa bergerak ke arah itu tetapi sering didalangi oleh golongan tertentu demi kepentingan mereka.
“Sesetengah pihak cuba menggambarkan Islam sebagai radikal. Ia hanya sesuai untuk orang berkulit hitam. Kami harus hidup dengan imej seumpama itu.
“Kami menganggap kebanyakan bangsa kulit putih Amerika mula tertarik dengan Islam apabila melihat bagaimana Islam mampu mengubah nasib dan menyelesaikan masalah asas masyarakat Afro-Amerika di negara itu. Tetapi oleh sebab majoriti kami memeluk Islam iaitu tiga juta daripada lapan juta umat Islam di Amerika dan menerajui aktivitinya, sukar bagi masyarakat Eropah-Amerika menghapuskan persepsi bahawa mereka harus mengikut kepemimpinan Islam yang diterajui oleh bangsa yang pernah menjadi hamba abdi,” katanya.
Bagaimanapun, Agieb yakin mereka mampu menarik ramai masyarakat Amerika menganut Islam jika masyarakatnya menjadi lebih progresif dan lebih berpengaruh di Amerika, berkeupayaan mengendalikan masyarakat sendiri dalam keadaan yang aman dan bebas daripada jenayah. Ini kerana masyarakat Amerika Syarikat memandang tinggi kepada kuasa, wang dan status.
Mengenai perkembangan Islam di Amerika, Agieb berkata, masyarakat Islam yang berupaya menembusi pelbagai lapangan, tetap dihormati.
“Umat Islam dipilih sebagai datuk bandar serta pemimpin masyarakat dan kerajaan pelbagai peringkat. Kami secara perlahan membangunkan institusi Islam dan berharap generasi muda Islam yang lahir di Amerika dan yang berhijrah ke sana akan membantu mengembangkan Islam. Kami tidak mempunyai sebarang konflik dengan Kerajaan Amerika Syarikat. Perkara itu pernah berlaku berpuluh-puluh tahun dulu kerana perbezaan ideologi tetapi berjaya diatasi kira-kira 25 tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Agieb berkata, perkembangan sejagat berikutan revolusi Iran, perpecahan Soviet Union yang mengakibatkan berakhirnya Perang Dingin sehingga mewujudkan paradigma baru pertembungan tamadun, kuasa Amerika Syarikat dan kebangkitan semula Islam sejak 20 tahun lalu, menyebabkan perkembangan Islam diperhatikan dengan lebih teliti di negara itu.
“Umat Islam seluruh dunia yang mempunyai pelbagai latar belakang bebas berkumpul di sana menyebabkan Kerajaan Amerika Syarikat terpaksa lebih berhati-hati,” katanya.
Bagi umat Islam Afro-Amerika, Islam bukanlah satu pegangan yang boleh diambil remeh. Mereka berusaha mencari keindahan agama itu dan sesudah memilikinya sudah tentu tidak mudah bagi mereka untuk mensia-siakan penemuan itu.
“Kami banyak mencari ideologi dan pegangan yang paling wajar untuk masyarakat kulit hitam Amerika. Saya sendiri mempelajari agama Kristian sejak berumur 10 tahun tetapi menolaknya. Saya mengkaji pelbagai ideologi dan agama termasuk Marxisme, Leninisme dan Maoisme tetapi akhirnya berbalik kepada Islam,” katanya.
Iltizam masyarakat Afro-Amerika terhadap Islam tidak wajar dipalit dengan pelbagai tuduhan buruk mengenai kedudukan itu. Malah umat Islam di seluruh dunia khususnya masyarakat Islam di Amerika bertanggungjawab membimbing mereka jika benar dakwaan bahawa masyarakat itu mengamalkan ‘Islam yang tidak betul’.
Kegagalan berbuat demikian menjadi tamparan yang hebat kepada masyarakat Islam sejagat khususnya kepada golongan yang berusaha bersungguh-sungguh untuk berdakwah menarik masyarakat bukan Islam tetapi mengabaikan golongan Islam sendiri.
Kata-kata Agieb perlu dijadikan renungan dan iktibar oleh masyarakat: “Kami di Amerika Syarikat tidak menganggap diri kami sebagai ‘converts (saudara baru dalam Islam) tetapi kami sudah ‘revert’ (kembali semula kepada Islam), agama yang menjadi anutan keturunan kami di Afrika sebelum berhijrah ke Amerika.”
Berita Harian – 8 Januari 1996