Monday, June 30, 2008

KEMBOJA DARI HATI NURANI FAIZAL

Kemboja Ingin Pelajari Pengalaman Malaysia
Oleh Faizal Fadzil yang menemu bual Menteri Luar Kemboja, Putera Norodom Siriyudh yang berkunjung ke Malayia Kemboja, 3 April 1984.


Sebaik saja Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Putera Norodom Siriyudh tiba di negara ini 3 April lalu untuk lawatan empat hari, beliau memberitahu pemberita tujuan lawatannya ialah untuk berbincang dengan Wisma Putra mengenai persiapan menyambut kedatangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 14 sehingga 16 April ini.
Bagaimanapun, hasil kunjungannya tidak sekadar itu saja, Siriyudh yang tiba bersama sembilan pegawai kanannya membawa kembali ke negaranya pengalaman berharga Malaysia dalam membangunkan ekonomi dan taraf hidup rakyat di negara ini.
Delegasi Kemboja itu, yang berkesempatan melawat beberapa tempat seperti Institusi Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM), Stesen Percubaan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) dan mendengar taklimat mengenai Kementerian Pembangunan Luar Bandar, begitu tertarik dengan pembangunan di negara ini terutama usaha membangunkan desa dan kawasan pedalaman.
Selepas mendengar taklimat mengenai pembangunan luar bandar negara ini, Siriyudh menjelaskan pendekatan Malaysia memerangi kemiskinan di kawasan pedalaman akan dijadikan model di Kemboja.
Beliau mengaku kebanyakan penduduk Kemboja yang tinggal di luar bandar masih belum dapat menikmati pembangunan sewajarnya. Ini memberi kesempatan kepada puak Khmer Rouge untuk terus mempengaruhi Kerajaan Kemboja yang berjaya dibentuk selepas pilihan raya di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tahun lalu.
Jika Kemboja berjaya melaksanakan dasar pembangunan luar bandar seperti Malaysia, ini dapat mengelakkan penduduk pedalaman terpengaruh dengan dakyah komunis. Jika mereka menerima pelbagai nikmat pembangunan, mereka pasti sedar bahawa idea menentang kerajaan sudah tidak berguna lagi,” katanya.
Kerajaan Kemboja memang menghadapi masalah untuk membangunkan negara jika segelintir rakyatnya terus menerus cuba menggagalkan usaha kerajaan itu.
Ini ditekankan oleh Siriyudh dengan cara kiasan dalam sidang akhbar di hari terakhir lawatannya.
“Bagaikan seorang tuan rumah mahu membina rumah tetapi kucingnya kerap mencakar tuan rumah itu sehingga berita pembinaan sukar untuk dilaksanakan. Oleh itu, kucing itu harus diberi susu supaya ia tidak terus mengganggu,” katanya.
Dari segi ekonomi, Kemboja benar-benar mengharapkan pelaburan jangka panjang yang berkesan untuk membangunkan ekonomi negara itu.
Dalam sidang akhbar yang sama, Siriyudh mengakui ada warga asing (terutama pelabur Thailand) yang digelar sebagai pedagang koboi kerana melabur dalam jangka masa pendek menerusi urusan dagangan di sempadan Kemboja/Thailand. Mereka masuk ke negaranya dan berdagang tanpa menerusi sistem rangka kerja undang-undang yang sempurna.
Siriyudh mengakui kelemahan itu, yang didakwanya sebagai penyebab utama pelabur takut menabur wang di negaranya.
“Mereka bimbang mengenai keselamatan pelaburan di Kemboja kerana masih kabur dan ragu dengan sistem kami. Mereka tidak tahu sama ada kami ada insentif cukai, insentif perdagangan atau kemudahan lain. Kami bersikap terbuka dan sedia memberi maklumat berkenaan.
“Kami juga sedia belajar kod perdagangan, kod pelaburan dan peraturan lain perlu bagi meyakinkan pelabur bahawa wang mereka selamat di negara kami,” katanya.
Dari segi hubungan dengan negara serantau, Kemboja masih menghadapi masalah. Isu sempadan dan pelarian negara itu masih lagi membantutkan usaha untuk menjadikan negara itu dan Thailand sebagai sahabat akrab yang jujur antara satu sama lain kalaupun tidak seperti adik beradik.
Masalah terbaru yang wujud ialah tindakan tentera Thailand yang menghantar 25,000 pelarian Kemboja kembali ke zon yang dikuasai gerila Khmer Rouge di barat laut negara itu . Siriyudh terpikat dengan pendekatan Malaysia yang cuba mengelak konfrontasi baik ketika menangani masalah dengan negara jiran mahupun sewaktu mengatasi masalah dalaman antara kaum.
Pengalaman Malaysia membangunkan kawasan pedalaman yang mundur sebagaimana yang dihadapi Kemboja ketika ini perlu dieksport ke negara itu. Pembangunan pesat di kawasan pedalaman Kemboja bukan saja menguntungkan Malaysia dari segi ekonomi dan pasaran apabila orang kampung di Kemboja sudah senang lenang, malah mengelakkan kita daripada terus diserang masalah kedatangan pendatang asing ke negara ini.
Malaysia sudah cukup sarat dengan masalah itu. Bantuan kepada jiran tetangga membangunkan negara mereka tidaklah antara jawapan terbaik untuk menghalang mereka daripada terus bertandang ke negara ini. Bantuan membangunkan kawasan luar bandar Kemboja juga tidak lengkap jika pelabur kita tidak turun tangan membantu membangunkan negara itu.
Siriyudh berkata, lawatan Dr. Mahathir ke negaranya dengan membawa delegasi perdagangan besar tentu dapat membantu meluaskan pasaran barangan negara ini di Kemboja di samping membantu menaikkan taraf hidup rakyatnya.
Rasanya pelabur Malaysia tidak akan menolak peluang itu. Sejarah membuktikan golongan masyarakat manusia yang pernah menderita akibat perang tidak pernah mahu mensia-siakan peluang untuk menikmati hidup yang sempurna ketika damai.
Hanya golongan yang tidak mengenal erti derita perang saja yang alpa dengan bahaya kehancuran yang tidak pernah dialami. Berdasarkan itu, rakyat Kemboja pasti akan bekerja keras untuk membangunkan taraf hidup mereka. Mereka tentunya sedar bahawa peluang orang menabur wang ke negara mereka tidak akan datang lagi jika kesempatan pertama disia-siakan.
Pertolongan ketiga yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Malaysia khususnya Wisma Putra ialah membantu mengendurkan hubungan yang kadangkala tegang di antara Kemboja dan negara jiran seperti Thailand.
Siriyudh yakin Malaysia mampu berfungsi lebih besar dalam mewujudkan keamanan di rantau ini.
Justeru itu, Siriyudh dengan penuh harapan meminta Malaysia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah di antara negaranya dan Thailand berdasarkan semangat Asean.
Sebagai negara yang begitu berminat menjadi anggota Asean apabila sampai masanya kelak, tentunya tidak wajar hasrat itu ditolak. Kegagalan Malaysia memenuhi harapan itu mungkin akan menimbulkan rasa sangsi Kemboja terhadap Asean yang selama ini dianggap memiliki semangat persahabatan dan setia kawan yang tinggi.
Bagaimana dengan Malaysia sendiri? Ketiga-tiga bantuan yang diminta oleh Timbalan Perdana Menteri Kemboja itu khusus ditujukan kepada rakyat dan Kerajaan Malaysia. Kini terpulang kepada Malaysia sendiri sama ada bersedia menghulur bantuan yang akan menguatkan hubungan kedua-dua negara di masa akan datang. Apakah pegawai kerajaan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wisma Putera serta usahawan negara sudah cukup sedia menyahut cabaran itu?

Berita Harian – 13 April 1984

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...