Tuesday, July 26, 2011

Soal Pluralisme, Agama, Islam dan Pandangan Kassim Ahmad

Kassim Ahmad


 Berikut adalah pandangan pemikir Kassim Ahmad tentang pluralisme agama dan kaitannya dengan Islam sebagai agama yang benar. Di Barat kita disogokkan oleh pandangan para padri Kristian bahawa agama itu adalah dianggap sebenar-benar agama.  Moga ada manfaatnya bagi Muslimin dan Muslimat. Kassim menjelaskannya seperti berikut:  

"SEKALI LAGI SOAL PLURALISME AGAMA DAN ISLAM SEBAGAI AGAMA YANG BENAR oleh Kassim Ahmad 25 Julai 2011 dari http://www.kassimahmad.blogspot.com

Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

19 Disember, 2010

Semua orang tahu wujud banyak agama di negara kita sekarang. Demikian juga di kebanyakan negara lain di dunia. Di negara kita, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, dan agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut-penganutnya, terdiri dari orang-orang Buddhis, Hindu, Kristian, dan Sikh. Kebebasan beragama yang total ini diisytiharkan dalam Quran, 1431 tahun dulu, mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh P.B.B. 1300 tahun lebih! (Lihat Quran, 2: 256)

Walau bagaimana pun, teologi Islam konservatif mentafsirkan ayat yang jelas ini sebagai bebas untuk masuk Islam, tetapi tidak bebas untuk keluar. Demikianlah jauhnya teologi kedua-dua puak Islam (Sunni dan Syiah) daripada Islam yang sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhamad dan yang terdapat dalam Quran.

Pada asalnya, agama itu dua saja. Pertama, agama tauhid (Islam) yang diajar oleh semua nabi lagi rasul dari Adam hingga ke Muhammad. Kedua, agama syirik (menduakan Tuhan). Ayat Quran: “Bagimu agama kamu, bagiku agamaku,” (109:6) merujuk kepada keadaan dua agama ini. Ia juga merujuk kepada keadaan pluralisme agama, yakni banyak agama wujud satu di samping yang lain dalam sebuah negara dalam keadaan toleransi agama

Dari dua agama besar ini (yakni agama tauhid Islam, dan banyak agama lain yang meduakan Tuhan), banyak agama telah timbul. Perhatikan agama tauhid Islam yang satu telah berpecah menjadi tiga: Yahudi, Kristian, dan Islam. Islam pula berpecah menjadi dua puak besar, Sunni dan Syiah. Demikianlah, dalam masa lima ribu tahun tamadun manusia, satu agama tauhid berpecah menjadi banyak (Islam, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddhist dan lain-lain), yakni plural.

Jadi, pluralism agama itu fakta dan kebenaran. Tiada siapa boleh menafikannya Yang menjadi masalah bagi umat Islam (yang membantah pluralisme agama ini) tidak lain melainkan kerana mereka keliru dan tidak boleh membezakan antara agama Islam yang sebenar dalam Quran dengan agama Islam yang telah berubah dan menyeleweng.

Jika kita berfikir mendalam sedikit dan membaca Quran dengan teliti, kita tidak dapat tidak akan mendapati dalam semua masyarakat agama (termasuk Islam) terdapat orang-orang yang baik, orang-orang yang separuh-separuh, dan orang-orang yang jahat. Orang yang baik itu dalam istilah agama kita panggil ‘mukmin’, yakni mereka percaya kepada Tuhan dan mendukung kebaikan kerana mereka tahu Tuhan melihat dan menghukum mereka. Orang yang jahat itu, dalam istilah agama, kita panggil ‘kafir’; mereka tidak percaya kepada Tuhan dan mendukung kepalsuaan, kerana mereka sangka kejahatan mereka tidak akan diketahui dan tiada siapa akan menghukum mereka. Di tengah-tengah dua kumpulan ini terdapat mereka yang mendakwa mereka mahukan kebaikan, tetapi sebenarnya melakukan kejahatan. Mereka dikenali sebagai munafik.

Cuba kita ingatkan kenyataan masyhur negarawan India, Mahatma Ghandi, tentang agamanya: “Saya Hindu; saya Yahudi; saya Kristian; dan saya juga Islam!” Tentulah beliau bermaksud: “Apa yang baik dalam semua agama ini saya pegang,” seperti dinyatakan dalam ayat suci di bawah.

“Pastilah mereka yang beriman, sama ada Yahudi, Kristian, atau Sabi’in (beragama di luar tradisi Nabi Ibrahim); barangsiapa yang beriman kepada Tuhan, kepada Hari Kemudian, dan berbuat baik akan menerima ganjaran daripada Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut, atau bersedih.” (Quran, 2: 62). Lagi pula, kita diberitahu bahawa Tuhan mengirim rasulnya kepada semua masyarakat.

Orang-orang seperti inilah, dalam semua kumpulan agama, yang dimaksudkan dalam ayat suci di atas.

Perhatikan ayat ini pula: “Kami mewariskan kitab suci kepada sesiapa yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami. Jadi, di antara mereka ada yang membelakangkannya; ada yang berpegang separuh-separuh saja, sementara ada pula yang berkejar-kejar mendahului melakukan pekerjaan baik, dengan izin Allah. Inilah yang baik sekali.” (Quran, 35: 32)

Lagi perhatikan ayat ini: “Mereka bertindak seolah-olah mereka menolong engkau dengan memeluk Islam. Katakanlah, ‘Kamu tidak menolongiku apa-apa dengan memeluk Islam. Tuhanlah yang menolong kamu dengan memimpin kamu kepada iman, jika kamu jujur.’” (Quran, 49: 17)

Jelaslah ayat-ayat ini tidak mempedulikan dakwaan seseoranag atau sesuatu kaum. Nama ‘Islam’ nyata tidak boleh digunakan untuk mendapat ganjaran atau pujian. Praktik yang baik yang dilakukan dengan jujur – itulah yang dikehendaki. Kebaikan itu dengan sindirinya baik. Kebaikan dengan sendirinya mengundang kebaikan.

Dalam Quran, Islam disebut sebagai agama yang diredai Allah untuk manusia. (Lihat Quran, 3: 19). Di tempat-tempat lain Islam disifatkan sebagai agama kebenaran (din’ul-haq) dan agama Allah (din’ul-Lah). Dari segi ini, Islam istimewa dan unik, tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain. Agama Islam yang sebenar inilah yang mengatasi agama-agama lain, persis seperti yang disifatkan dalam Quran bahawa kitab suci Al-Quran itu “mesahkandan mengatasi” semua kitab suci lain. Namun demikian, orang Islam dinasihatkan supaya menganggap mereka paling baik kerana beragama Islam. Mereka patut bersyukur kepada Tuhan kerana telah memandu mereka kepada Islam. (Quran, 49: 17)

Ada tiga peringkat hubungan antara agama tauhid Islam dengan agama-agama lain. Peringkat pertama toleransi, seperti yang disebut dalam ayat 109: 6. Peringkat kedua, membuktikan kebenaran Islam melalui debat yang baik dan rasional. Sikap ini dianjurkan dalam Quran dalam ayat 16: 125. Peringkat terakhir, menjemput mereka yang tidak menerima kebenaran yang diturunkan dalam Quran bersumpah memohon laknat Tuhan menimpa mereka yang berbohong. Dalam Quran, konteks jemputan ini kepada orang-orang Kristian yang mendakwa Nabi Isa anak Tuhan.

Demikianlah pluralism agama dianjurkan oleh Islam sebagai bersikap toleransi terhadap semua agama yang wujud. Namun demikia, Islam sebagai agama yang benar harus membuktikan kebenarannya melalui debat yang baik dan rasional, dan jemputan kepada penganut-penganut agama lain supaya bersumpah memohon laknat terhadap mereka yang berdusta. Semua ini membuktikan bahawa Islam menganjukan kebebasan agama yang total, seperti yang tersebut dalam ayat 2: 256.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com


Wednesday, June 29, 2011

Antara Al-Aqsa dengan As-Sakhirah di Baitul Muqadis: Jangan Ummah Keliru!

Bebaskan Al-Aqsa!/Free Al-Aqsa



(Gambar 1: Masjid Al Aqsa yang sebenarnya berkubah biru.
Gambar 2: Kubah As Sakhrah dibina oleh Khalifah Al Marwan)
Salam 2 all.
Ratusan tahun umat Islam dan dunia ditipu dan diperdaya untuk mempercayai Kubah As-Sakhrah adalah Masjid Al Aqsa. Jutaan poster dicetak dan dihadiahkan kepada umat Islam, kebanyakkannya diberi percuma untuk digantung dan dipamerkan. Ramai yang sanggup berbelanja membuat frame yang cantik untuk gambar Masjid Al-Marwan ini. Simbol kubah berwarna emas terpahat didalam fikiran umat Islam khususnya, dan dunia 'amnya sebagai menggambarkan Al Aqsa. Dunia ditipu sekian lama!

Sebenarnya Yahudi Zionis sudah lama mengidam untuk merampas Al Aqsa, dan Baitul Muqaddis. Bagi Yahudi Zionis, ini bukan isu penempatan, atau geografi, atau isu ekonomi. Ini adalah isu agama. Mereka mempercayai dan berkeyakinan bahawa ada "utusan", "penyelamat", "messiah", "saviour' yang akan turun untuk menyelamatkan mereka.

Sebenarnya "utusan" yang mereka tunggu itu sudah pun diturunkan, iaitu Nabi Muhammad saw. Walaupun para ulama', ahli kitab dan 'ilmuan mereka mengakui Rasullah saw menepati semua ciri kerasulan dan kenabian yang disebut didalam kitab mereka. Namun hanya kerana Nabi Muhammad saw bukan dari kalangan Yahudi, mereka menolak Rasulullah saw (As-Shaff: 6).
Jadi siapa "messiah" yang ditunggu oleh Yahudi Zionis ini? Apa kena mengena dengan Al Aqsa (termasuk Baitul Maqdis)?

Yahudi Zionis mempercayai bahawa dibawah tapak asal Masjidil Aqsa ujud Haykal Sulaiman, atau "kuil Sulaiman"; atau "Istana Nabi Sulaiman". Nabi Sulaiman, dan ayahnya Nabi Daud, adalah Nabi yang menjadi pemerintah dan membentuk sebuah Kerajaan. Sebab itu bendera Yahudi Zionis ada bintang berbucu 6, itu adalah lambang Kerajaan Nabi Daud (mengikut kepercayaan Yahudi Zionis). Mereka percaya bahawa Kerajaan rejim pemerintah "Messiah" yang ditunggu mereka ini akan memerintah daripada "haykal Sulaiman' ini bila dia diturunkan nanti. Dan mereka percaya "Messiah" ini akan memimpin mereka menguasai dan memerintah dunia. Sebab itu slogan mereka sekarang ialah "Israel 4 All", "New Order", "One World" dan lain-lain.

Sebab itu apa juga kutukan dan kritikan dunia, Yahudi Zionis tidak akan melepaskan Masjidil Aqsa, mahupun Baitul Maqdis. Jika mereka tidak menguasai Al Aqsa, bagaimana "messiah", "penyelamat" mereka akan turun. Kerana mereka percaya tapak pemerintahan"messiah" mereka letaknya di Masjid Al Aqsa.
Sebab itulah mereka perlu perdayakan umat Islam, dan dunia, bahawa Masjid Al-Marwan dimana terletaknya "Kubah As Sakhrah" adalah Masjid Al Aqsa. Gambar kubah emas sering ditonjolkan sinonim dengan Baitul Maqdis. Maka umat Islam, dan dunia sering menumpu kepada Kubah As Sakhrah. Malah rejim Yahudi Zionis begitu menjaga dan memastikan agar Kubah As-Sakhrah sentiasa cantik dan terpelihara.

Kerana apa? Supaya umat Islam dan dunia tidak memberi tumpuan kepada Masjid Al Aqsa yang sebenarnya. Dengan cara licik itu, rejim Yahudi Zionis ini menjalankan kegiatan merobohkan Masjid Al Aqsa yang asli, sedikit demi sedikit. Ini semua sebagai persediaan mereka menerima kedatangan "messiah", "penyelamat" mereka. Tapak pemerintahan "haykal Sulaiman" mesti disiapkan.

Sebab itu kita umat Islam wajib sedar bahawa perjuangan membebaskan Masjid Al Aqsa adalah satu kewajipan tiap individu umat Islam. Rejim Yahudi Zionis akan tetap bersikap rakus dan biaDAP merampok dan merampas Masjidil Aqsa. Pembebasan Masjid Al Aqsa janganlah dibebankan hanya kepada umat Falastin. Ia tanggungjawab semua dan tiap seorang individu Muslim.

Hari ini 27 Rejab, hari dimana Rasulullah saw melalui peristiwa Isro' wal Mi'raj, dimana Rasulullah saw diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang tercatat didalam Al Quran surah Al Isra': 1. Tarikh yang sama juga mencatat peristiwa bersejarah pembebasan Al Aqsa oleh Sultan Salahuddin. Rasional daripada peristiwa ini ialah perjuangan Islam memerlukan keyakinan 100% kepada ALLAH swt; sebagaimana yakinnya Rasullah saw kepada ALLAH. Lihat kejayaan Sultan Salahuddin yang berjaya menebus maruah Islam tanpa bersekongkol dengan kafir, tetapi meletakkan keyakinan 100% kepada ketentuan ALLAH swt, dan bergantung kepada tentera yang mempunyai hablum-minallah, hablum-minannas yang baik. Mereka yang menjaga tahajjud, dan memelihara sunnah sekecil bersiwak.

Alhamdulillah teman berkesempatan bersama dengan umat Falastin bulan Ramadhan tahun lepas. Teman dapat lihat, didalam segala kepayahan dan kesulitan, namun semangat juang mereka sangat tinggi. Semasa kami menziarahi seorang pejuang yang ditemui dihospital, dengan kedua tangan dan kaki kudung angkara rejim Zionis Israel, kami cuba menghulurkan sedikit bantuan. Namun beliau menolak dengan baik, dan meminta kami memberikan sumbangan itu kepada orang lain yang mungkin lebih memerlukan. Teman bertemu beberapa kanak-kanak kecil Falastin; dan sambil bersembang teman tanya tak takutkah mereka dengan kereta kebal rejim Yahudi Zionis yang terletak tidak jauh dari mereka. Dengan penuh keyakinan mereka menjawab "al-jannah, al-jannah". Itu syurga kami, itu syurga kami. Bagi mereka, melontar kereta kebal itu dengan batu, dan jika ditaqdirkan dibunuh oleh rejim Yahudi Zionis ini adalah jalan ke syurga!!!

ALLAH hu akbar..ALLAH hu akbar..ALLAH huakbar..walillah hilhamd. La ila haillallah huwala na'buduu illa iyya humukhlisin nalahuddeen, walau karihal musyrikuun, walau karihal kaafirun, walau karihal munaafiquun. La ila ha illallah huwahdah, sodaka wa'dah, wanaso ra 'abdah, wa a 'azzajundahuu wahazamal ahzabawahdah. ALLAH Maha Besar. Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH, kami ikhlas mengabdikan diri kepada ALLAH, walau tidak disukai kaum musyrikun, kaafirun dan munafiqun. ALLAH adalah benar, ALLAH akan membantu kita, sebagaimana ALLAH membantu kita mengalahkan kafir yang bersekutu!

Janganlah kita terus tertipu dengan mainan politik Yahudi Zionis ini, dan janganlah kita terus tertipu dengan mainan politik yang berteraskan kepada pembohongan, putarbelit hanya kerana mahukan kekuasaan dan pemerintahan, sebagaimana yang dilakukan oleh rejim Yahudi Zionis 
Adios amigos, grasias senor.
Wallahua'lam & wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu
27 Rejab 1432
29 Jun 2011

Komen:
Allah hu Akbar!

Friday, June 24, 2011

Mersing Cipta Sejarah Menganjur Kembara Puisi


MERSING CIPTA SEJARAH KEMBARA PUISI (Artikel ini didedikasikan kepada Allahyarham Faizal Fadzil).


6 April 2001
Menteri Besar Johor, Datuk Hj Abd. Ghani Othman mungkin menjadi orang yang paling bahagia malam minggu 31 Mac lalu, andainya beliau ikut hadir di Malam Kembara Puisi Darul Ta’zim di Mersing. Dr. Khairul Azmi, Ketua Pejabat Penerangan dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Johor yang mewakili Menteri Besar malam itu  dilihat terharu dengan sambutan yang dianggapnya di luar dugaan. Sutong Umar RS, salah seorang penting Kembara Puisi Darul Ta’zim yang datang hampir 450 km dari Kuala Lumpur oleh kerana gembiranya menepuk belakang saya. Katanya, “Kau banyakkan sikit ambil gambar penonton yang penuh sesak di Sanggar Budaya ini. Aku seronok tengok banyaknya penonton malam ini. Yang paling banyak pernah aku lihat dalam siri baca puisi.”

Ramai sungguh. Dianggarkan 2,000 orang memenuhi Sanggar Budaya yang hanya boleh memuat 500 orang. Jumlah yang melimpah ke luar dengan asakan dari kiri dan kanan membuat seolah-olah malam itu Mersing meraikan selebreti ternama dari Kuala Lumpur dengan pesta besar-besaran. Memang hadir beberapa selebreti malam itu walaupun ada yang bikin komen tidak sehebat Siti Norhaliza atau M Nasir. Tokoh  Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, kumpulan Kopratasa dan pendeklamator cilik Iz Taufik Sazalee aadalah sandaran dan jumlah penonton yang datang tidak mendukacitakan.

“Saya belum pernah melihat orang begitu banyak hanya untuk mendengar baca sajak,” kata seorang penduduk yang katanya nelayan. “Saya tak ke laut malam ini kerana nak tengok temasya baca puisi. Bukan minat sangat tapi baca kain rentang  tentang baca puisi terhajat pula nak tengok. Apa lagi di Mersing ini, kedatangan orang seperti Samad Said yang kita kenal dan Kopratasa memang kita tunggu.”

Samad secara seloroh berkata, “Yang ramai datang ini mungkin mahu melihat janggut dan misai saya.” Lalu disambut gelak ketawa hadirin.  Samad orang terakhir baca puisi dan jam ketika itu hampir 12.00 tengah malam. Samad baca petikan puisi panjang Al-Aminya, terutama di bahagian wafat Nabi. Barangkali kerana hari telah larut malam, bacaan Samad tidak sesegar selalunya. Samad seperti membaca, dengan nada suara yang sedikit mendatar. Kurang jelas apakah kerana “tergamam” lihat orang banyak  atau mata sudah semakin “kuyu” dan kepala mahu cari bantal. 
Sepuluh orang membaca puisi malam itu bermula dari Dr. Khairul. Kemudian naik ke pentas Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Endau, Zainal Abidin Othman yang membacakan “Perjuangan Sepanjang Hayat” yang sebenarnya menjadi tema Kembara Puisi Darul Ta’zim yang dilancarkan 18 Februari lalu di Saujana, kediaman Menteri Besar, ketika puisi ini mula diperdengarkan. Puisi ini adalah cetusan Ghani sendiri. Bagi Ghani tema itu melambangkan sasaran kerja utamanya bagi membangun negeri hujung tanah dalam era global ini. Satu perjuangan yang sifatnya holistik dan menyeluruh mencakup pelbagai bidang kehidupan, ekonomi, pendidikan, agama serta kebudayaan.

Pembaca puisi cilik Iz Taufik, penyair muda Sazalee Yaakkob menghafal “Tak Terhukum Hutang ini”, ciptaan M. Said Muharam. Suara nyaring sang anak kecil bagaikan begitu berat meluahkan isi puitis sajak itu dengan sesekali keluar perkataan-perkataan yang mungkin belum masanya diungkapkan Iz Taufik sendiri. Ketika dia membaca puisi, tiga orang saudara kandungnya yang juga masihkecil-kecil mendengar luahan Iz Taufik dari hamparan di depannya. Boleh dibayangkan betapa terharunya ibu dan bapa yang turut sama mendengarkan deklamasi Iz Taufik. Iz Taufik dipeluk cium banyak orang setelah mementaskan dirinya – ayahnya, Samad Said,  Sutong sendiri dan ibunya. Sungguh Iz Taufik adalah selebreti yang berjaya mencuri perhatian.

Enam penyair tempatan menyerikan wajah deklamasi, setiap orang membacakan sama ada sajak sendiri atau ciptaan penyair lain. Misalnya Ahmad Hamid membaca “Kerana Mahathir”, Zainal Fitri Yusof membacakan karya Sabar Bohari “Buat Generasiku”, Aziz Othman, guru sekolah menengah Mersing  dengan “Warkah Rindu Sang Sapurba”, Nazim Mohd Subari dengan “Tanah Pusaka Kita” karyanya sendiri, Rosdi Abdullah dengan karyanya “Suara Anak Watan”dan Siti Maisarah Harman dengan karya Ahmad Sarju “Mengusir Rindu” dan Rohani Ismail dengan karya Md. Saleh Rahmat “Mencari Nilam”.  Sutong sendiri membaca tiga sajak salah satu daripadanya seperti mengingatkan orang Mersing dalam “Ingat Wahai Orang Mersing”.

Acara baca puisi ini diselang seli dengan persembahan kumpulan zapin dari Yayasan Warisan Johor dan kumpulan dari Mersing sendiri. “Tarian dan nyanyian zapin juga menjadi penyeri dan menncuri tumpuan,” kata salah seorang jawatankuasa penganjur dari Pejabat Daerah Mersing. Dia barangkali bimbang jika hanya puisi yang dibacakan malam itu, warga Mersing tidak akan datang berduyun. Pandangannya seperti ini sudah lama mentradisi, tetapi Mersing mencipta sejarah dengan sikap warganya yang seperti mendapat angin anjakan pradigma. Bukan kerana zapin, tidak juga kerana kopratasa sahaja tetapi pembauran tiga acara puisi, tarian tradisi dan nyanyian. Pun Kopratasa mendendangkan lagu puisi seperti “Permata” karya Allahyarham Aziz HM. Penyusun acara  Kembara Puisi di Mersing perlu diberi pujian kerana tidak Sanggar Budaya di tepi pantai  tidak ditggalkan kosong  walau dinihari menjelang tiba.

Yang sedikit menjadi persoalan partisipasi penyair-penyair ternama Johor sendiri yang amat kurang malam itu. Pada mulanya dikatakan Gunawan Mahmud akan turut baca puisi, tapi ternyata tidak hadir. Ke mana Zam Ismail dan kawan-kawan penyair dari Persatuan Penulis Johor (PPJ)? Zam dhadir sewaktu pelancaran Kembara Puisi Darul Ta’zim di Saujana tetapi malam itu dia tak hadir. Warga Mersing tentunya mahu mendengar Gunawan membacakan puisi cetusan Menteri Besarnya pada malam itu seperti yang dirancang tetapi dia tidak hadir lalu puisi Ghani dibaca Adun Endau. Orang Mersing boleh memaafkan Datuk Dr Usman Awang kalau tak hadir kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Dan barangkali juga sambutan akan lebih hebat jika Usman hadir. Sebab bagi Usman Mersing adalah juga daerah ronda waktu kecilnya ketika dia bersekolah pada tahun 1937 setelah menerima pendidikan awal di kampungnya di Kuala Sedeli  Kota Tinggi, daerah jiram Mersing. .

Kurang pasti apakah yang menyebkan penyair ternama dari PPJ misalnya tidak hadir. Semacam kebetulan pula ketidakhadiran mereka bertepatan dengan ketidakhadiran Meneri Besar atau Ahmad Zahari Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Guna Tenaga, Belia, Sukan dan Kebudayaa. Padahal Kembara Puisi Darul Ta’zim kedua di Mersing ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Johor sendiri  dengan kerjasama Berita Harian Sdn Bhd. Kesungguhan Kerajaan Negeri Johor mengadakan Kembara Puisi ini terlihat dari kerja keras dua orang kuat Mersing, iaitu Adun Endau, Zainal Abidin Osman dan Pegawai Daerah Mersing, Dr. Ibrahim Endan. Dr. Khairul Azmi, Ketua Pejabat Penerangan dan Penyelidikan Negeri Johor  memantau dengan rapi persiapan untuk mempastikan kejayaan. “Masih ada beberapa daerah lagi yang akan mengadakan Kembara Puisi ini secara bergilir dengan kemuncaknya di Muar nanti,” katanya. “Bulan depan Kembara Puisi Darul Ta’zim akan diadakan di Batu Pahat pula.”

Apapun jua, bagi Mersing, kejayaan Kembara Puisi malam itu dianggap sebagai perintis kepada lebih banyak kegiatan kebudayaan dan persuratan yang  bertaraf negeri akan diadakan. Beberapa sarana budaya dirancang, antaranya seperti yang dijelaskan Dr. Ibrahim, Kementerian  Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah memperuntukkan RM2 juta kepada pejabat Daerah Mersing  untuk membina  fasa dua Sanggar Budaya atau amphiteater. Kata Dr Ibrahim, “Ini adalah susulan  kepada pembinaan  fasa pertama  amphiteater yang telah disiapkan dengan harga RM1 juta.” Sanggar yang baru siap inilah tempat berlangsungnya Kembara Puisi Darul Ta’zim kali kedua setelah Johor Bahru.

Ada suara pada malam itu yang mahu penganjur mengundang selebreti yang sedang “ngetop” dalam bidang seni nyanyi di samping Kopratasa yang dikatakan menjadi tetamu undangan tetap (feature) dalam semua Kembara Puisi Darul Ta’zim di setiap daerah. Namun warga setiap daerah di Johor mahu lebih dari hanya Kopratasa. Paling-paling selebrati asal Johor seperti Rohana Jalil, Noraniza Idris, Datin Orkid Abdullah dan A. Halim  (untuk generasi tahun 60an) dan Sharifah Aini sendiri. “Cadangan itu bagus,” kata penonton yang bekerja sebagai nelayan tadi.”Saya sendiri setelah menyaksikan orang baca sajak malam ini semakin berminat untuk mendengarnya. Lihat saja anak kecil itu baca sajak, hafal  pula.”

Ini suara orang kecil Pekan Mersing yang berstatus nelayan. Suaranya mungkin sahaja mewakili sebahagian besar warga pekan itu yang selama ini terlalu asing dengan pembacaan puisi. Kudratnya Pak Malau  ada bersama ribuan penonton malam itu dia akan menitiskan air mata syukur kerana tidak sia-sia namanya dikaitkan dengan Mersing. Mersing telah menunjukkan jalan menjayakan Kembara Puisi Darul Ta’zim kepada daerah-daerah lain, walaupun tanpa penyair ternama dari Negeri Johor sendiri.

Kerajaan Johor dan Berita Harian telah memberikan segala kemudahan untuk memperkenal dan mentradisikan Kembara Puisi di negeri hujung tanah ini. Kembara Puisi Darul Ta’zim ini adalah lanjutan daripada konsep Baca Puisi setiap bulan pada malam Jumaat minggu pertama yang ddikonsepsikan Persatuan Penulis Nasional (Pena). Yang tinggal hanya mengisi acara dengan kepelbagaian persembahan seperti yang diharapkan warga kecil anak Mersing itu. Dan pengisian ini tidak seharusnya diletakkan di pundak Kerajaan Johor, melalui Pejabat Penerangan dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Johor semata-mata. Peranan lebih aktif PPJ amat diperlukan kerana ada di kalangan ahlinya yang masih peka terhadap perkembangan genre puisi di Johor.  Paling-paling PPJ akan turut sama gembira dengan Menteri Besarnya apabila melihat sambutan hangat warga daerah terhadap kehadiran baca puisi di tempat mereka masing-masing.




Thursday, June 02, 2011

ULAMA ARSYAD AL-BANJARI PENYUSUN KITAB PERUKUN

Kitab Sabilulmurtadin, karangan Sheikh Arsyad al-Banjari

Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kalimantan Barat yang juga budayawan disegani di Banjarmasin, Hj Hijaz Yamaniserta dua tokoh lain menyambut kedatangan rombongan Jejak Bahasa di tangga pesawat Garuda yang membawa kami dari Jakarta 24 Januari lalu. Hijaz langsung mengiringi rombongan ke Ruang VIP di lapangan terbang untuk menikmati jamuan ringan  “Selamat Datang”sambil menunggu 38 buah beg besar dan peti peralatan penggambaran TV3 dipunggah dari pesawat ke empat buah van yang menunggu. Sambutan VIP ini adalah kali kedua buat rombongan Jejak Bahasa setelah Makasar dua minggu sebelumnya. Yang mujurnya di Banjarmasin, rombongan sempat diperkenalkan kepada Timbalan Gabenor Kalimantan Barat yang kebetulan turut sampai di lapangan terbang.

“Kami harap Jejak Bahasa dapat membantu kami memperkenalkan daerah kami di Malaysia,” kata Timbalan Gabenor yang turut diiringi oleh Walikota Banjarmasin. “Sudah ada kenderaan?” tanyanya kepada Hijaz.
“Sudah disiapkan, Pak”,”jawab Hijaz
Sebagai tanda kenangan, Haji Alias Yusof jurugambar yang baru sebulan bersara dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengabadikan gambar ramai bersama Timbalan Gabenor di Ruang VIP itu sebelum berpisah.

Banjarmasin, yang pertama kali dikunjungi kebanyakan anggota rombongan terkenal dengan seorang ulama yang kitabnya menjadi rujukan sebahagian besar orang Melayu di alam Nusantara. Ulama itu Syeikh Mohamad Arsyad al-Banjari terkenal sebagai pengarang buku fiqah “Perukunan Melayu” yang kita menjadi buku pegangan sejak 200 tahun yang lalu. Arsyad adalah seorang tokoh ilmu fiqih dan tasauf. Juga ahli hisab dan ilmu falak.

Di kampung tempat dia bermukim dinamakan Desa Dalam Pagar, sejak dia kembali ke Indonesia pada tahun 1773 dari Mekah. Di Tanah suci dia memperdalam ilmu agamanya dan berguru dengan antaranya Abdul Samad al-Falimbani,

Tuesday, May 17, 2011

IMAM NAWAWI: PERTEMUAN DENGAN LAILATUL QADAR KETIKA BERUSIA TUJUH THUN


 Salah stu kitab Imam Nwawi yang berjudul Ridhul Solihin Jilid 1.

Sejarah hidup Imam Nawawi
Salah satu tajuk kitab dalam koleksi Allahyarham Ahmad Faizal yang masih tersimpan dengan baik ialah sebuah kitab terjemahan  berjudul Riadhul –Solihin, Jilid 1. Di naskhah ini tertulis dengan tangan “Buat Sahabat Diingati” dan tandatangannya dalam tulisan Jawi. Kurang jelas siapa yang menghadiahkan naskhah ini, tetapi kitab ini bercopkan Jakim, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Di halaman pertama kitab ini tertera keterangan tentang sejarah hidup Imam Nawawi, pengarang kitab Riadhul Solihin ini, seperti berikut:
Nama dan keturunannya
 Beliau dikenali dengan nama Al-Sheikh-Al-Imam al-Alamat Muhyiddin Abu Zakaria bin Sharif bin Mari bin Hassan bin Hussain bin Azam bin Muhamad bin Jumaatul Nawawi A-Shafii. Beliau sebagai  Sheikh ul-Islam, salah seorang ulama yang masyhur di zamannya.
Tarikh dan tempat Dilahirkan
Beliau dilahirkan pada 11 Muharram Tahun 631 Hijrah di Nawi, salah sebuah kampung  di Negeri Sham yang berhampiran dengan bandar Damsyik. Beliau berpindah ke Kota Damsyik pada tahun 649 dan mengajar di Darul Hadis-ul Asyrafiat pada tahun 665. Hijrah. Beliau menunaikan fardhu Haji  sebanyak dua kali. Pada akhir usianya beliau telah kembali ke negeri asalnya (kampungnya) dan beliau sempat menziarahi bandar Baitul Muqadis  dan bandar Khalil di Palestin. Sekembalinya beliau menziarahi tempat-tempat tersebut beliau mendapat sakit. Ketika itu orang tuanya ada bersamanya. Beliau telah meninggal dunia pada hari Rabu. Bulan Rejab. Tahun 676 Hijrah, dikebumikan di kampungnya (Nawi) ketika berusia 45 tahun.
Pendidikan
Beliau dibesarkan di kampungnya dan dipelihara oleh kedua orang tuanya. Kedua orang tuanya berasal dan menetap di Kampung Nawi. Di sanalah beliau belajar Al-Quran dan fiqah dari  ahli-ahli Fiqah tempatan. Beliau belajar dan mendalami bermacam-macam ilmu pengetahuan termasuklah mempelajari matan-matan hadis  dan nama-nama perawi hadis dan lain-lain. Beliau telah mengajar di Darul Hadis Assyarafiah di Damsyik tanpa gaji sehingga beliau meninggal dunia.
Pakaian yang disukainya
Beliau suka memakai baju”Syuwab” diperbuat daripada kain kafan dengan serban”senjabiat”, dan beliau juga berjanggut.
Kekuatan Menghafaz
Beliau boleh membaca kitab Al-Tanbiyat dengan menbambil masa empat setengah bulan sahaja. Dan boleh menghafaz  seperempat daripada Al-Mahzab dalam masa tujuh setengah bulan. Semasa belajar beliau boleh menghabiskan masa 14 jam (sehari semalam) dengan mengikuti 12 matapelajaran daripada beberapa orang guru dalam berbagai-bagai ilmu.
Keperibadiannya
Sebahagian besar daripada masanya dihabiskan untuk beramal. Beliau terkenal sebagai seorang yang zuhud dan sabar dalam menghadapi pahit maung kehidupan. Beliau hanya makan dan minum sekali sahaja dalam sehari semalam. Beliau tidak berkahwin sehingga akhir hayat. Beliau sentiasa berjaga malam  kerana beribadat. Beliaulah orang yang menjalankan Amar makruf  dan mencegah  perkara-perkara mungkar, sehingga ditujukan kepada  raja-raja dan pembesar-pembesar  negeri. Beliau  sentiasa bersifat  tenang dan mendalami sesuatu  masalah serta membuat kajian yang rapi . Beliau mengawai makanannya  daripada barang-barang syubahat. Beliau hanya memakan  barang-barang yang diusahakan  oleh kedua ibu bapanya sahaja. Beliau sentiasa mengikut jemaah , selepas dari  ahli sunah wal-Jemaat. Waktu hidupnya beliau tidak membuang masa sedikit pun melainkan penuh dengan amal kebajikan untuk diri dan masyarakat setempat.
Keperibadiannya yang Luar Biasa
Mengikut cerita ayahnya, ketika berumur tujuh tahun, beliau tidur  di sisi ayahnya pada malam 27 Ramadhan. Beliau terjaga  pada pertengahan malam dan berkata, “ Wahai ayah! Apakah ruangan cahaya yang memenuhi ruang rumah ini?” Ayahnya bangun dan tidak melihat sesuatu apapun. Itulah yang dikatakan Malam Lailatul Qadar.
Semasa kecilnya beliau tidak disukai oleh kanak-kanak yang sebaya dengannya.  Dengan hal yang demikian ayahnya telah menggalakkan beliau berniaga. Tetapi tidak dilaksanakannya. Beliau hanya membaaca Al-Quran sepanjang  hari.  Setelah beliau qatam Al-Quran, pada satu malam terjadilah satu peristiwa  luar biasa, iaitu jari-jari tangannya kelihatan bercahaya  di dalam gelap ketika hendak memasang pelita.
Kitab yang Dihasilkan
Beliau telah menghasilkan 18 buah kitab, antaranya Riadhul-Solihin ini. Di samping itu beliau turut mengarang lima buah kitab lain yang belum dapat diselesaikannya.    

Tuesday, May 03, 2011

ALLAHYARHAM FAIZAL FADZIL DAN HUBUNGANNYA DENGAN PENGASAS SEKOLAH MENENGAH AGAMA ULU GADONG, REMBAU


Allahyarham Haji Mohd Yatim Bin Zainal Abidin dilahirkan dalam tahun 1903 bersamaan 1320 Hijrah di Kampung Tanah Datar, Kota dalam Daerah Rembau. Bapanya dari suku Tanah Datar dan manakala ibunya orang Biduanda. Beliau anak pertama dari dua adik beradik.

Pendidikan

Haji Mohd Yatim mula mendapatkan pendidikan di Sekolah Melayu Kota sehingga Darjah Empat. Bapanya menyimpan hasrat supaya anak lelakinya itu menjadi orang alim dalam agama. Lalu beliau menghantar Allahyarham mengaji agama di pondok- pondok dalam Negeri Kedah dan Kelantan ketika usianya menjangkau 20an. Mengikut riwayatnya, beliau pernah berguru dengan Allahyarham Tok Kenali tokoh ulama terbilang dari Kelantan. Sekembalinya ke kampung halaman, beliau bertemu jodoh dengan Hajjah Aminah Binti Haji Tahadan ketika usianya telah 32 tahun. Mereka dikurniakan anak lelaki dalam tahun 1936.

Belayar Ke Mekah

Tidak beberapa lama selepas itu, Allahyarham membawa isteri dan anak kecilnya menunaikan rukun Islam kelima. Beliau bertekad untuk menetap di Mekah untuk melanjutkan pengajian agamanya. Allahyarham menuntut di Darul Ulum Masjidilharam Al Makkahtul Al Mukarramah. Mereka memperolehi anak perempuan di sana tetapi Allah SWT lebih menyayangi puterinya ini dan meninggal dunia dalam usia masih kecil. Dijangkakan Haji Mohd Yatim menuntut di Mekah selama hampir 4 tahun sebelum balik ke tanahair.

Membuka Madrasah

Sekembalinya dari Mekah, Allahyarham terus menggunakan ilmu yang telah dipelajari untuk berbakti. Beliau telah menubuhkan sebuah sekolah pondok di kampungnya di Ulu Gadong. Selepas dua tiga tahun membuka pondoknya, Allahyarham Haji Mohd Yatim prihatin dengan kedhaifan anak-anak yatim dan miskin untuk mendapat pengajian agama. Dengan tekad dan sokongan penduduk-penduduk kampungnya, mereka akhirnya mendirikan Madrasah Itthihadiah Ulu Gadong dan sebuah asrama untuk dihuni oleh anak-anak yatim dan miskin secara percuma. Allahyarham Haji Mohd Yatim memberikan segenap tenaganya untuk menghidupkan madrasah yang telah didirikan.

Haji Mohd Yatim juga mengajar agama sebelah malamnya di surau-surau atau masjid sekitar Daerah Rembau sehingga akhir hayatnya. Beliau juga adalah pengasas Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Ulu Gadong. Mungkin kerana kegigihan dan kealimannya maka Dato' Haji Ipap bin Haji Abdullah, Undang Luak Rembau ketika itu telah melantik Allahyarham menjadi Kadhi Daerah Rembau bagi tahun 1954 hingga 1968.

Perwatakan

Menurut anak-anaknya, bapa mereka berperwatakan lemah lembut, tekun dalam mencari ilmu dan mendidik, mudah tersenyum dan penyabar. Sikap ini tentu menepati gaya peribadi unggul seorang guru dan alim pula dalam agama. Beliau juga seorang bersederhana dalam berpakaian dan sering berserban, berbaju Melayu dan berkain pelekat sahaja.

Dengan isterinya Hajjah Aminah Binti Haji Tahadan, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata iatu 4 lelaki dan 7 perempuan. Setelah isterinya meninggal dunia, Allahyarham berkahwin kali kedua dengan Hajjah Sarah Binti Haji Maarof tetapi tiada memperolehi anak.

Meninggal Dunia

Allahyarham yang telah menginfakkan sebahagian besar tenaga dan usianya kepada pendidikan agama ini akhirnya dijemput Allah SWT sewaktu usianya 76 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada tanggal 13 April 1979. Atas segala baktinya itu, sekolah yang didirikannya ( telah diambil alih oleh Kerajaan) diberi nama Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim. Beliau juga dianugerahkan Pingat Khidmat Lama ( PKL) dan dinobatkan sebagai Tokoh Ulama Silam Negeri Sembilan sempena Sambutan Maal Hijrah 1423 yang lalu. Kita berdoa semoga ulama yang gigih ini diberkati Allah SWT jua atas sumbang bakti beliau dalam mendidik anak bangsanya. Amin. (Dipetik daripada blog Orangtuo).
POSTED BY ORANGTUO AT 1:34 AM
1 COMMENTS:
afyassin said...
Saya tertarik membaca serba ringkas riwayat hidup Tuan Haji Mohd. Yatim bin Haji Zainal Abidin yang tertera ini. Namun demikian saya rasa saya ingin membuat penjelasan sedikit berhubung latar awal kehidupan Tuan Haji Mohd. Yatim.

Setahu kami ayah Tuan Haji Mohd. Yatim, iaitu Tuan Haji Zainal Abidin. Nama penuh Haji Zainal Abidin ialah Haji zainal Abidin bin Lamit. Beliau adalah orang suku Biduanda Gadong yang bersemenda dengan suku Tanah Datar apabila beliau berkahwin dengan wanita darpada suku berkenaan. Adik perempuannya bernama Lamah bte Lamit. Lamah ini adalah ibu mentua Cikgu Abbas Bin Ali dari Chengkau, seorang guru sekolah King George Ke-V, Seremban. Cikgu Abbas pernah menterjemahkan buku sejarah Rembau karangan Parr dan Mckerry (kalau tak silap) ke dalam bahasa Melayu yang diberi tajuk Rembau: Perlembagaan dan Adat Istiadatnya.

Haji Mohd. Yatim ini mempunyai adik yang bernama Haji Mohd. Yassin bin Haji Zainal Abidin (berlainan ibu). Menurut ceritanya madrasah yang didirikan di Ulu Gadong itu diasaskan bersama kedua adik-beradik ini dengan antara tenaga pengajarnya Ustaz Ahmd Serol, Legong, Ustaz Ahmad Anwar, Ustaz Ahmad Munir dan Haji Yassin sendiri. Asalnya madrasah ini ditempatkan di Surau Ulu Gadong sebelum dipindahkan ke lokasinya yang ada sekrang. Haji Mohd. Yassin juga pernah belajar agama di Kedah dan Kelantan. Semasa di Kelantan Haji Mohd. Yassin juga belajar dengan Tok Kenali. Adik Haji Mohd. Yatim ini telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1984.

Kedua-dua adik beradik ini ke Mekkah secara berasingan. Haji Mohd. Yassin ke Mekah ketika masih kecil, dibawa oleh emak saudaranya, Hajah Meja (Anjang), isteri kedua Undang Rembau Ke-17 Dato' Haji Sulong Miah Lela Maharaja.

Sekadar makluman, Allahyarham Ahmd Faizal Ahmad Fadzil ialah cucunda saudara kepada Allahyarham Haji Mohd. Yatim Zainal berdasarkan hubungan kekeluargaan sebelah bapa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...