Friday, June 24, 2011

Mersing Cipta Sejarah Menganjur Kembara Puisi


MERSING CIPTA SEJARAH KEMBARA PUISI (Artikel ini didedikasikan kepada Allahyarham Faizal Fadzil).


6 April 2001
Menteri Besar Johor, Datuk Hj Abd. Ghani Othman mungkin menjadi orang yang paling bahagia malam minggu 31 Mac lalu, andainya beliau ikut hadir di Malam Kembara Puisi Darul Ta’zim di Mersing. Dr. Khairul Azmi, Ketua Pejabat Penerangan dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Johor yang mewakili Menteri Besar malam itu  dilihat terharu dengan sambutan yang dianggapnya di luar dugaan. Sutong Umar RS, salah seorang penting Kembara Puisi Darul Ta’zim yang datang hampir 450 km dari Kuala Lumpur oleh kerana gembiranya menepuk belakang saya. Katanya, “Kau banyakkan sikit ambil gambar penonton yang penuh sesak di Sanggar Budaya ini. Aku seronok tengok banyaknya penonton malam ini. Yang paling banyak pernah aku lihat dalam siri baca puisi.”

Ramai sungguh. Dianggarkan 2,000 orang memenuhi Sanggar Budaya yang hanya boleh memuat 500 orang. Jumlah yang melimpah ke luar dengan asakan dari kiri dan kanan membuat seolah-olah malam itu Mersing meraikan selebreti ternama dari Kuala Lumpur dengan pesta besar-besaran. Memang hadir beberapa selebreti malam itu walaupun ada yang bikin komen tidak sehebat Siti Norhaliza atau M Nasir. Tokoh  Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, kumpulan Kopratasa dan pendeklamator cilik Iz Taufik Sazalee aadalah sandaran dan jumlah penonton yang datang tidak mendukacitakan.

“Saya belum pernah melihat orang begitu banyak hanya untuk mendengar baca sajak,” kata seorang penduduk yang katanya nelayan. “Saya tak ke laut malam ini kerana nak tengok temasya baca puisi. Bukan minat sangat tapi baca kain rentang  tentang baca puisi terhajat pula nak tengok. Apa lagi di Mersing ini, kedatangan orang seperti Samad Said yang kita kenal dan Kopratasa memang kita tunggu.”

Samad secara seloroh berkata, “Yang ramai datang ini mungkin mahu melihat janggut dan misai saya.” Lalu disambut gelak ketawa hadirin.  Samad orang terakhir baca puisi dan jam ketika itu hampir 12.00 tengah malam. Samad baca petikan puisi panjang Al-Aminya, terutama di bahagian wafat Nabi. Barangkali kerana hari telah larut malam, bacaan Samad tidak sesegar selalunya. Samad seperti membaca, dengan nada suara yang sedikit mendatar. Kurang jelas apakah kerana “tergamam” lihat orang banyak  atau mata sudah semakin “kuyu” dan kepala mahu cari bantal. 
Sepuluh orang membaca puisi malam itu bermula dari Dr. Khairul. Kemudian naik ke pentas Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Endau, Zainal Abidin Othman yang membacakan “Perjuangan Sepanjang Hayat” yang sebenarnya menjadi tema Kembara Puisi Darul Ta’zim yang dilancarkan 18 Februari lalu di Saujana, kediaman Menteri Besar, ketika puisi ini mula diperdengarkan. Puisi ini adalah cetusan Ghani sendiri. Bagi Ghani tema itu melambangkan sasaran kerja utamanya bagi membangun negeri hujung tanah dalam era global ini. Satu perjuangan yang sifatnya holistik dan menyeluruh mencakup pelbagai bidang kehidupan, ekonomi, pendidikan, agama serta kebudayaan.

Pembaca puisi cilik Iz Taufik, penyair muda Sazalee Yaakkob menghafal “Tak Terhukum Hutang ini”, ciptaan M. Said Muharam. Suara nyaring sang anak kecil bagaikan begitu berat meluahkan isi puitis sajak itu dengan sesekali keluar perkataan-perkataan yang mungkin belum masanya diungkapkan Iz Taufik sendiri. Ketika dia membaca puisi, tiga orang saudara kandungnya yang juga masihkecil-kecil mendengar luahan Iz Taufik dari hamparan di depannya. Boleh dibayangkan betapa terharunya ibu dan bapa yang turut sama mendengarkan deklamasi Iz Taufik. Iz Taufik dipeluk cium banyak orang setelah mementaskan dirinya – ayahnya, Samad Said,  Sutong sendiri dan ibunya. Sungguh Iz Taufik adalah selebreti yang berjaya mencuri perhatian.

Enam penyair tempatan menyerikan wajah deklamasi, setiap orang membacakan sama ada sajak sendiri atau ciptaan penyair lain. Misalnya Ahmad Hamid membaca “Kerana Mahathir”, Zainal Fitri Yusof membacakan karya Sabar Bohari “Buat Generasiku”, Aziz Othman, guru sekolah menengah Mersing  dengan “Warkah Rindu Sang Sapurba”, Nazim Mohd Subari dengan “Tanah Pusaka Kita” karyanya sendiri, Rosdi Abdullah dengan karyanya “Suara Anak Watan”dan Siti Maisarah Harman dengan karya Ahmad Sarju “Mengusir Rindu” dan Rohani Ismail dengan karya Md. Saleh Rahmat “Mencari Nilam”.  Sutong sendiri membaca tiga sajak salah satu daripadanya seperti mengingatkan orang Mersing dalam “Ingat Wahai Orang Mersing”.

Acara baca puisi ini diselang seli dengan persembahan kumpulan zapin dari Yayasan Warisan Johor dan kumpulan dari Mersing sendiri. “Tarian dan nyanyian zapin juga menjadi penyeri dan menncuri tumpuan,” kata salah seorang jawatankuasa penganjur dari Pejabat Daerah Mersing. Dia barangkali bimbang jika hanya puisi yang dibacakan malam itu, warga Mersing tidak akan datang berduyun. Pandangannya seperti ini sudah lama mentradisi, tetapi Mersing mencipta sejarah dengan sikap warganya yang seperti mendapat angin anjakan pradigma. Bukan kerana zapin, tidak juga kerana kopratasa sahaja tetapi pembauran tiga acara puisi, tarian tradisi dan nyanyian. Pun Kopratasa mendendangkan lagu puisi seperti “Permata” karya Allahyarham Aziz HM. Penyusun acara  Kembara Puisi di Mersing perlu diberi pujian kerana tidak Sanggar Budaya di tepi pantai  tidak ditggalkan kosong  walau dinihari menjelang tiba.

Yang sedikit menjadi persoalan partisipasi penyair-penyair ternama Johor sendiri yang amat kurang malam itu. Pada mulanya dikatakan Gunawan Mahmud akan turut baca puisi, tapi ternyata tidak hadir. Ke mana Zam Ismail dan kawan-kawan penyair dari Persatuan Penulis Johor (PPJ)? Zam dhadir sewaktu pelancaran Kembara Puisi Darul Ta’zim di Saujana tetapi malam itu dia tak hadir. Warga Mersing tentunya mahu mendengar Gunawan membacakan puisi cetusan Menteri Besarnya pada malam itu seperti yang dirancang tetapi dia tidak hadir lalu puisi Ghani dibaca Adun Endau. Orang Mersing boleh memaafkan Datuk Dr Usman Awang kalau tak hadir kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Dan barangkali juga sambutan akan lebih hebat jika Usman hadir. Sebab bagi Usman Mersing adalah juga daerah ronda waktu kecilnya ketika dia bersekolah pada tahun 1937 setelah menerima pendidikan awal di kampungnya di Kuala Sedeli  Kota Tinggi, daerah jiram Mersing. .

Kurang pasti apakah yang menyebkan penyair ternama dari PPJ misalnya tidak hadir. Semacam kebetulan pula ketidakhadiran mereka bertepatan dengan ketidakhadiran Meneri Besar atau Ahmad Zahari Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Guna Tenaga, Belia, Sukan dan Kebudayaa. Padahal Kembara Puisi Darul Ta’zim kedua di Mersing ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Johor sendiri  dengan kerjasama Berita Harian Sdn Bhd. Kesungguhan Kerajaan Negeri Johor mengadakan Kembara Puisi ini terlihat dari kerja keras dua orang kuat Mersing, iaitu Adun Endau, Zainal Abidin Osman dan Pegawai Daerah Mersing, Dr. Ibrahim Endan. Dr. Khairul Azmi, Ketua Pejabat Penerangan dan Penyelidikan Negeri Johor  memantau dengan rapi persiapan untuk mempastikan kejayaan. “Masih ada beberapa daerah lagi yang akan mengadakan Kembara Puisi ini secara bergilir dengan kemuncaknya di Muar nanti,” katanya. “Bulan depan Kembara Puisi Darul Ta’zim akan diadakan di Batu Pahat pula.”

Apapun jua, bagi Mersing, kejayaan Kembara Puisi malam itu dianggap sebagai perintis kepada lebih banyak kegiatan kebudayaan dan persuratan yang  bertaraf negeri akan diadakan. Beberapa sarana budaya dirancang, antaranya seperti yang dijelaskan Dr. Ibrahim, Kementerian  Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah memperuntukkan RM2 juta kepada pejabat Daerah Mersing  untuk membina  fasa dua Sanggar Budaya atau amphiteater. Kata Dr Ibrahim, “Ini adalah susulan  kepada pembinaan  fasa pertama  amphiteater yang telah disiapkan dengan harga RM1 juta.” Sanggar yang baru siap inilah tempat berlangsungnya Kembara Puisi Darul Ta’zim kali kedua setelah Johor Bahru.

Ada suara pada malam itu yang mahu penganjur mengundang selebreti yang sedang “ngetop” dalam bidang seni nyanyi di samping Kopratasa yang dikatakan menjadi tetamu undangan tetap (feature) dalam semua Kembara Puisi Darul Ta’zim di setiap daerah. Namun warga setiap daerah di Johor mahu lebih dari hanya Kopratasa. Paling-paling selebrati asal Johor seperti Rohana Jalil, Noraniza Idris, Datin Orkid Abdullah dan A. Halim  (untuk generasi tahun 60an) dan Sharifah Aini sendiri. “Cadangan itu bagus,” kata penonton yang bekerja sebagai nelayan tadi.”Saya sendiri setelah menyaksikan orang baca sajak malam ini semakin berminat untuk mendengarnya. Lihat saja anak kecil itu baca sajak, hafal  pula.”

Ini suara orang kecil Pekan Mersing yang berstatus nelayan. Suaranya mungkin sahaja mewakili sebahagian besar warga pekan itu yang selama ini terlalu asing dengan pembacaan puisi. Kudratnya Pak Malau  ada bersama ribuan penonton malam itu dia akan menitiskan air mata syukur kerana tidak sia-sia namanya dikaitkan dengan Mersing. Mersing telah menunjukkan jalan menjayakan Kembara Puisi Darul Ta’zim kepada daerah-daerah lain, walaupun tanpa penyair ternama dari Negeri Johor sendiri.

Kerajaan Johor dan Berita Harian telah memberikan segala kemudahan untuk memperkenal dan mentradisikan Kembara Puisi di negeri hujung tanah ini. Kembara Puisi Darul Ta’zim ini adalah lanjutan daripada konsep Baca Puisi setiap bulan pada malam Jumaat minggu pertama yang ddikonsepsikan Persatuan Penulis Nasional (Pena). Yang tinggal hanya mengisi acara dengan kepelbagaian persembahan seperti yang diharapkan warga kecil anak Mersing itu. Dan pengisian ini tidak seharusnya diletakkan di pundak Kerajaan Johor, melalui Pejabat Penerangan dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Johor semata-mata. Peranan lebih aktif PPJ amat diperlukan kerana ada di kalangan ahlinya yang masih peka terhadap perkembangan genre puisi di Johor.  Paling-paling PPJ akan turut sama gembira dengan Menteri Besarnya apabila melihat sambutan hangat warga daerah terhadap kehadiran baca puisi di tempat mereka masing-masing.




2 comments:

  1. Al-Fatihah kepada Allahyarham. Moga ahli-ahli keluarga Allahyarham bersabar atas kehilangan insan tersayang.

    ReplyDelete
  2. Sudah empat tahun Allahyarham meninggalkan kita. Ayahnya, seorang penulis begitu tabah dengan pemergian anakandanya. Saya mengenali Allahyhram sejak berugas di Berita Harian lagi. Dedikasinya kepada tugas dan tanggungjawab tiada tolok bandingnya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Roh Allahyarham.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...