Tuesday, July 26, 2011

Soal Pluralisme, Agama, Islam dan Pandangan Kassim Ahmad

Kassim Ahmad


 Berikut adalah pandangan pemikir Kassim Ahmad tentang pluralisme agama dan kaitannya dengan Islam sebagai agama yang benar. Di Barat kita disogokkan oleh pandangan para padri Kristian bahawa agama itu adalah dianggap sebenar-benar agama.  Moga ada manfaatnya bagi Muslimin dan Muslimat. Kassim menjelaskannya seperti berikut:  

"SEKALI LAGI SOAL PLURALISME AGAMA DAN ISLAM SEBAGAI AGAMA YANG BENAR oleh Kassim Ahmad 25 Julai 2011 dari http://www.kassimahmad.blogspot.com

Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

19 Disember, 2010

Semua orang tahu wujud banyak agama di negara kita sekarang. Demikian juga di kebanyakan negara lain di dunia. Di negara kita, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, dan agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut-penganutnya, terdiri dari orang-orang Buddhis, Hindu, Kristian, dan Sikh. Kebebasan beragama yang total ini diisytiharkan dalam Quran, 1431 tahun dulu, mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh P.B.B. 1300 tahun lebih! (Lihat Quran, 2: 256)

Walau bagaimana pun, teologi Islam konservatif mentafsirkan ayat yang jelas ini sebagai bebas untuk masuk Islam, tetapi tidak bebas untuk keluar. Demikianlah jauhnya teologi kedua-dua puak Islam (Sunni dan Syiah) daripada Islam yang sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhamad dan yang terdapat dalam Quran.

Pada asalnya, agama itu dua saja. Pertama, agama tauhid (Islam) yang diajar oleh semua nabi lagi rasul dari Adam hingga ke Muhammad. Kedua, agama syirik (menduakan Tuhan). Ayat Quran: “Bagimu agama kamu, bagiku agamaku,” (109:6) merujuk kepada keadaan dua agama ini. Ia juga merujuk kepada keadaan pluralisme agama, yakni banyak agama wujud satu di samping yang lain dalam sebuah negara dalam keadaan toleransi agama

Dari dua agama besar ini (yakni agama tauhid Islam, dan banyak agama lain yang meduakan Tuhan), banyak agama telah timbul. Perhatikan agama tauhid Islam yang satu telah berpecah menjadi tiga: Yahudi, Kristian, dan Islam. Islam pula berpecah menjadi dua puak besar, Sunni dan Syiah. Demikianlah, dalam masa lima ribu tahun tamadun manusia, satu agama tauhid berpecah menjadi banyak (Islam, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddhist dan lain-lain), yakni plural.

Jadi, pluralism agama itu fakta dan kebenaran. Tiada siapa boleh menafikannya Yang menjadi masalah bagi umat Islam (yang membantah pluralisme agama ini) tidak lain melainkan kerana mereka keliru dan tidak boleh membezakan antara agama Islam yang sebenar dalam Quran dengan agama Islam yang telah berubah dan menyeleweng.

Jika kita berfikir mendalam sedikit dan membaca Quran dengan teliti, kita tidak dapat tidak akan mendapati dalam semua masyarakat agama (termasuk Islam) terdapat orang-orang yang baik, orang-orang yang separuh-separuh, dan orang-orang yang jahat. Orang yang baik itu dalam istilah agama kita panggil ‘mukmin’, yakni mereka percaya kepada Tuhan dan mendukung kebaikan kerana mereka tahu Tuhan melihat dan menghukum mereka. Orang yang jahat itu, dalam istilah agama, kita panggil ‘kafir’; mereka tidak percaya kepada Tuhan dan mendukung kepalsuaan, kerana mereka sangka kejahatan mereka tidak akan diketahui dan tiada siapa akan menghukum mereka. Di tengah-tengah dua kumpulan ini terdapat mereka yang mendakwa mereka mahukan kebaikan, tetapi sebenarnya melakukan kejahatan. Mereka dikenali sebagai munafik.

Cuba kita ingatkan kenyataan masyhur negarawan India, Mahatma Ghandi, tentang agamanya: “Saya Hindu; saya Yahudi; saya Kristian; dan saya juga Islam!” Tentulah beliau bermaksud: “Apa yang baik dalam semua agama ini saya pegang,” seperti dinyatakan dalam ayat suci di bawah.

“Pastilah mereka yang beriman, sama ada Yahudi, Kristian, atau Sabi’in (beragama di luar tradisi Nabi Ibrahim); barangsiapa yang beriman kepada Tuhan, kepada Hari Kemudian, dan berbuat baik akan menerima ganjaran daripada Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut, atau bersedih.” (Quran, 2: 62). Lagi pula, kita diberitahu bahawa Tuhan mengirim rasulnya kepada semua masyarakat.

Orang-orang seperti inilah, dalam semua kumpulan agama, yang dimaksudkan dalam ayat suci di atas.

Perhatikan ayat ini pula: “Kami mewariskan kitab suci kepada sesiapa yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami. Jadi, di antara mereka ada yang membelakangkannya; ada yang berpegang separuh-separuh saja, sementara ada pula yang berkejar-kejar mendahului melakukan pekerjaan baik, dengan izin Allah. Inilah yang baik sekali.” (Quran, 35: 32)

Lagi perhatikan ayat ini: “Mereka bertindak seolah-olah mereka menolong engkau dengan memeluk Islam. Katakanlah, ‘Kamu tidak menolongiku apa-apa dengan memeluk Islam. Tuhanlah yang menolong kamu dengan memimpin kamu kepada iman, jika kamu jujur.’” (Quran, 49: 17)

Jelaslah ayat-ayat ini tidak mempedulikan dakwaan seseoranag atau sesuatu kaum. Nama ‘Islam’ nyata tidak boleh digunakan untuk mendapat ganjaran atau pujian. Praktik yang baik yang dilakukan dengan jujur – itulah yang dikehendaki. Kebaikan itu dengan sindirinya baik. Kebaikan dengan sendirinya mengundang kebaikan.

Dalam Quran, Islam disebut sebagai agama yang diredai Allah untuk manusia. (Lihat Quran, 3: 19). Di tempat-tempat lain Islam disifatkan sebagai agama kebenaran (din’ul-haq) dan agama Allah (din’ul-Lah). Dari segi ini, Islam istimewa dan unik, tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain. Agama Islam yang sebenar inilah yang mengatasi agama-agama lain, persis seperti yang disifatkan dalam Quran bahawa kitab suci Al-Quran itu “mesahkandan mengatasi” semua kitab suci lain. Namun demikian, orang Islam dinasihatkan supaya menganggap mereka paling baik kerana beragama Islam. Mereka patut bersyukur kepada Tuhan kerana telah memandu mereka kepada Islam. (Quran, 49: 17)

Ada tiga peringkat hubungan antara agama tauhid Islam dengan agama-agama lain. Peringkat pertama toleransi, seperti yang disebut dalam ayat 109: 6. Peringkat kedua, membuktikan kebenaran Islam melalui debat yang baik dan rasional. Sikap ini dianjurkan dalam Quran dalam ayat 16: 125. Peringkat terakhir, menjemput mereka yang tidak menerima kebenaran yang diturunkan dalam Quran bersumpah memohon laknat Tuhan menimpa mereka yang berbohong. Dalam Quran, konteks jemputan ini kepada orang-orang Kristian yang mendakwa Nabi Isa anak Tuhan.

Demikianlah pluralism agama dianjurkan oleh Islam sebagai bersikap toleransi terhadap semua agama yang wujud. Namun demikia, Islam sebagai agama yang benar harus membuktikan kebenarannya melalui debat yang baik dan rasional, dan jemputan kepada penganut-penganut agama lain supaya bersumpah memohon laknat terhadap mereka yang berdusta. Semua ini membuktikan bahawa Islam menganjukan kebebasan agama yang total, seperti yang tersebut dalam ayat 2: 256.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com


1 comment:

  1. Salam. Pendapat saya tidak bercanggah dg pandangan En Kassim. Pluralisme agama juga bermaksud penganut masing-masing berbuat yg terbaik saja drp agamanya. In merangkumi tidak memusuhi agama orang lain.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...