Friday, May 30, 2008

MAHU KE MANA BELIA KITA?


Dua pemimpin Pemuda dari UMNO, Dato' Sri Hishamuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin memperteguh visi belia, khususnya kumpulan pemuda pelbagai kaum di negara ini.
BH Edisi Internet
Isnin 17 Mei 1999 1 Safar 1420
________________________________________
Menyemarakkan semula pembangunan belia
BENARKAH kebanyakan pertubuhan belia di negara ini sudah lesu diibaratkan hidup segan mati tidak mahu? Malah, ketika menghadapi cabaran ekonomi, politik dan sosial, sekumpulan belia terpengaruh dengan budaya demonstrasi untuk menyuarakan rasa tidak puas hati. Sempena Hari Belia Negara 99 bertema Patriotisme Belia Memantapkan Kestabilan Negara kelmarin, wartawan ZULKOFLI JAMALUDIN dan FAIZAL FADZIL meninjau persiapan, ketahanan dan keupayaan belia menghadapi cabaran alaf baru.
________________________________________
CUMA tinggal kira-kira 200 hari lagi sebelum kita melangkah ke alaf baru yang diberi jolokan sebagai zaman siber. Namun, dari sehari ke sehari kita melihat ada saja persatuan atau pertubuhan belia yang kecundang dan tidak mampu bergerak aktif seperti era 70-an dan awal 80-an. Malah, ada majlis belia negeri yang gagal mengadakan mesyuarat agung sejak lebih tujuh lalu.
Mengapa keadaan ini boleh berlaku sedangkan negara ini mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan di peringkat Pusat, negeri dan daerah bagi menjana pergerakan belia. Kelesuan pertubuhan itu bercanggah dengan kedudukan mereka sebagai pemangkin perubahan bagi pembangunan masyarakat.
Di sebalik kelesuan pertubuhan belia, sekumpulan belia dan mahasiswa di pusat pengajian tinggi pula bertindak membelakangi undang-undang dengan mengadakan demonstrasi serta bersikap antiestablishment kerana terpengaruh dengan sentimen yang dipupuk pembangkang. Benarkah mereka terpengaruh atau menggunakan kesempatan untuk membangkitkan perasaan terpendam?
Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengakui generasi muda mempunyai idealisme berkata, belia tidak boleh membandingkan keadaan di Malaysia dengan negara lain. Jika belia mudah menerima hasutan mengadakan demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan dan bertindak membelakangkan undang-undang, ia tidak memberi sebarang kebaikan.
Ini kerana kestabilan politik akan terjejas, pembangunan tidak dapat dilaksanakan dan perpaduan rakyat yang dipupuk selama ini akan goyah. Sebab itu, pemimpin mengingatkan generasi muda jangan terikut-ikut dengan budaya demonstrasi yang berlaku di negara jiran yang kini terbukti menjejaskan masa depan rakyat negara itu sendiri.
Menyedari hakikat itu, pemimpin negara ini mengajak belia yang mempunyai idealisme dan iltizam supaya menggunakan saluran pertubuhan, persatuan dan parti untuk mengembangkan cita-cita mereka dalam arus globalisasi.
Sehubungan itu, belia sering kali diingatkan supaya berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Kita bukan setakat tahu menggunakan komputer, malah sepatutnya menguasai teknologi maklumat dan pengetahuan untuk menjadi bangsa yang dihormati.
Menyedari hakikat inilah kementerian memperkenalkan reformasi atau pembaharuan pertubuhan untuk menyemarakkan pembangunan belia selaras dengan Dasar Belia Negara. Di samping itu, ia untuk mengatasi masalah kelesuan dan kelemahan pergerakan belia dalam menangani pemasalahan sosial remaja serta lunturnya semangat kesukarelaan.
Masalah itu berkait rapat dengan ketiadaan institusi perancangan strategik, kelemahan pembiayaan dan kewangan, pengurusan sumber manusia yang berserabut, kelonggaran rangkaian komunikasi dan maklumat, sistem pelaksanaan projek yang tidak menentu dan profesionalisme yang tidak berkembang dalam gerak kerja belia.
Persoalannya, kenapakah pembangunan organisasi belia agak tidak terurus? Apakah pemimpin pertubuhan belia tidak bijaksana dalam mengurus organisasi yang membabitkan perancangan, penyusunan strategi, pengarahan dan pengawalan? Persoalan itu bersifat orientasi isu dan wajar digantikan dengan orientasi bertindak 'oriented' jika kita mahu menangani permasalahan organisasi belia.
Pembaharuan pertubuhan belia adalah proses evolusi bukan proses revolusi yang membabitkan pengubahsuaian, iltizam berterusan dan perubahan sosioekonomi, perkembangan maklumat dan peningkatan kepakaran. Gagasan mengenai pembaharuan ini bukan saja membabitkan apa yang hendak dilaksanakan tetapi mengenai cara perubahan itu perlu dibuat dalam organisasi.
Selaras dengan usaha memantapkan pertubuhan golongan belia perlu diingatkan mengenai betapa pentingnya mempertahankan kedaulatan dan keharmonian negara dengan memahami segala dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang mengingatkan belia supaya tidak mudah terpengaruh dengan budaya negatif di sesetengah negara, ghairah mengadakan demonstrasi untuk menuntut pembaharuan.
Sehubungan itu, dalam keghairahan memperjuangkan idealisme belia sepatutnya menonjolkan imej negara Timur yang menghormati perlembagaan dan undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing, bukan memilih jalan demonstrasi dan keganasan yang hanya akan mencemarkan imej negara.
Bagi Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Datuk Abdul Rahman Palil, belia yang tidak berpuas hati dengan pemimpin sepatutnya menggunakan saluran sah untuk menyatakan pendapat bukan bertindak menunjuk perasaan atau berkelakuan ganas di jalanan. Gerakan reformasi yang banyak disertai belia di pusat pengajian tinggi adalah satu tindakan sia-sia kerana ia akan mencemarkan nama dan imej negara.
"Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen ada saluran untuk rakyat menyuarakan pendapat masing-masing. Malah, selama ini kesabaran pemimpin kita sudah cukup terbukti misalnya kerajaan tidak pernah menghalang penerbitan buku sama ada yang pro atau kontra terhadap kerajaan," katanya sambil berharap generasi muda semua peringkat mengikut perlembagaan negara dengan cara yang betul.
Beberapa pemimpin belia lain meminta pemimpin kerajaan sering mengadakan perjumpaan dengan pelajar supaya mereka memahami sepenuhnya isu semasa yang sedang hangat diperkata.
Presiden MBM, Saifuddin Abdullah, berkata tumpuan utama ialah terhadap pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang selalunya lebih cenderung untuk wujud sebagai kumpulan antikemajuan.
"Kumpulan sebegini sudah wujud sekian lama, tetapi sejak akhir-akhir ini, ia menjadi semakin diminati, malah jumlahnya agak besar sekarang," katanya.
Sebenarnya, masalah pelajar universiti bangkit untuk mengadakan demonstrasi tidak akan berlaku jika wujud hubungan berterusan antara pemimpin negara, pemimpin belia dan pelajar.
Sudah tentu, agak mustahil jika kita mengharapkan Menteri Belia dan Sukan untuk turun ke padang sepanjang tahun bagi mengadakan perjumpaan dan bergaul dengan pelajar universiti memandangkan tugas yang dipertanggungjawab kepada beliau amat besar, apatah lagi mengharapkan Perdana Menteri melakukan perkara serupa.
Namun, apa yang paling penting ialah pemimpin belia khususnya mereka yang menjadi anggota dan pemimpin akar umbi parti kerajaan yang sepatutnya turun ke padang, bergaul dan menyelami hati budi pelajar, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti.
Pemimpin belia dan exco pergerakan pemuda Umno yang rata-ratanya masih dalam lingkungan umur antara 20 hingga 40 tahun sebenarnya yang bertanggungjawab memastikan generasi muda Melayu sentiasa mendapat perhatian.
Mereka yang bertanggungjawab untuk mendengar rintihan, keluhan dan suara pelajar Melayu dan kemudian menyampaikannya kepada pucuk pimpinan tertinggi menerusi saluran yang tepat.
Jika kita teliti, kebanyakan yang bangkit berdemonstrasi adalah pelajar universiti.
Mengapa? Antara sebab utama ialah ketika mereka memasuki universiti, mereka masih didedahkan dengan pelbagai ideologi dan fahaman.
Sebahagian besar daripada mereka (kecuali mereka yang bersekolah aliran agama) belum mengenali pelbagai organisasi dan gerakan Islam serta gerakan belia yang tumbuh di pelbagai universiti.
Gerakan ini bukan saja bergerak di universiti malah mempunyai pelbagai jaringan atau hubungan dengan pihak di luar universiti.
Justeru, sudah tentu pelajar universiti yang baru memasuki alam pengajian yang baru tertarik untuk berada dalam mana-mana kelompok yang sesuai supaya tidak terasing.
Oleh kerana, proses Islamisasi semakin rancak di Malaysia, maka golongan pelajar yang mahu melihat kebenaran tertegak, lebih tertarik menyertai organisasi pelajar berasaskan agama Islam dan mempunyai cara hidup tertentu dan mengikuti pelbagai program pelajar yang berorientasikan agama.
Bagi pelajar lain pula yang tidak berminat untuk berorganisasi, mereka lebih suka mengamalkan cara hidup bersendiri, belajar, bersosial bagi memenuhi masa lapang dan mencari hiburan ringan menjelang hujung minggu.
Justeru, pelajar yang minat berorganisasi, sudah tentu cenderung untuk mengisi masa lapang menyertai pelbagai program pelajar.
Oleh kerana, organisasi berorientasi agama Islam, lebih cenderung menyediakan pelbagai program yang meliputi semua aspek kehidupan, sudah tentu pelajar yang minat berorganisasi cenderung untuk menyertai pertubuhan seumpama itu.
Untuk melihat model organisasi politik di luar universiti, maka pergerakan politik yang lebih jelas menonjolkan corak berpakaian, ceramah dan simbol Islam menjadi pilihan pelajar.
Maka, di sinilah letaknya kelemahan organisasi belia yang prokerajaan. Di manakah mereka ketika pelajar universiti amat memerlukan bimbingan khususnya ketika mereka mula memasuki universiti?
Mengapakah pelajar universiti lebih cenderung memihak kepada parti pembangkang?
Apakah idealisme perjuangan yang dibawa oleh pertubuhan belia yang prokerajaan tidak sesuai dengan cita rasa, nurani dan semangat perjuangan pelajar universiti?
Mungkin, kurangnya pergaulan dan pertemuan antara pimpinan belia yang prokerajaan dengan pelajar IPT menyebabkan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang cemerlang dalam semua bidang seperti termaktub dalam Wawasan 2020 gagal dihayati pada masa kini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...