Sunday, June 14, 2009

EROPAH PERLU MENGHAYATI NURANI BUDAYA ASIA

Eropah perlu menghayati nurani budaya Asia

Hubungan diplomatik, politik dan ekonomi yang cuba dijalin oleh pemimpin sesebuah negara dengan mana-mana negara lain berkemungkinan besar menemui jalan buntu tanpa restu rakyat negara masing-masing. Israel adalah contoh terbaik.
Negara yang berminat untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara itu sebelum perjanjian damai ditandatangani dengan Palestin mungkin terpaksa menghadapi muntahan kemarahan rakyat masing-masing yang sanggup mengetepikan potensi mengaut keuntungan ekonomi daripada menghulur salam persahabatan dengan negara yang masih menagih darah umat Islam di sana.

Oleh itu, hasrat pemimpin Asia dan Eropah untuk bekerjasama dalam bidang ekonomi dan politik pasti memberi perhatian kepada hubungan antara rakyat kedua benua.
Titik persamaan mana yang dapat diperkukuhkan, permusuhan mana yang dapat dileraikan, percanggahan mana yang dapat diselaraskan, semua itu wajar diberi perhatian bagi memastikan Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) menjadi pertemuan yang memenuhi kehendak dan selera rakyat.

Tidak dinafikan masih ada bangsa Asia yang mungkin masih belum dapat memaafkan bangsa Eropah yang pernah merobek maruah dan keperibadian rantau ini. Sekurang-kurangnya, ramai yang masih meragui kejujuran dan matlamat Eropah untuk berganding bahu menerusi falsafah ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan Asia.
Khabar dari Eropah yang menyatakan kumpulan yang mewarisi fahaman falsafah Nazi berlambangkan swastika masih aktif meskipun dalam kelompok kecil tetap menggerunkan umat Asia yang masih mengingati kekejaman puak itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dalam petikan ucapannya dalam buku The Voice of Asia menggambarkan sikap Eropah sebagai bangsa yang dulunya menyifatkan diri mereka bangsa yang lebih tinggi martabat dan budayanya serta mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan tamadunnya di dunia yang bermakna ‘mengkristiankan’ seluruh masyarakat sejagat.

“Sehingga hari ini, masyarakat Barat tidak boleh mengikis sikap yang menganggap diri mereka lebih tinggi martabatnya. Mereka masih menganggap nilai mereka, sistem ekonomi dan politik mereka lebih baik daripada yang lain,” katanya.
Dr Mahathir berkata, perkara itu tidak berhenti di situ saja. Barat seolah-olah tidak puas hati sehingga mereka dapat memaksa negara lain mengikut cara mereka.
“Semua orang mesti laksana demokrasi tetapi hanya mengikut konsep demokrasi yang diamalkan di Barat,” katanya.

Oleh itu, pertemuan bagi mewujudkan kerjasama ekonomi dan politik dirintis oleh pemimpin seperti Dr Mahathir menerusi Asem bagi memastikan pegangan itu dibunuh sama sekali. Kini, terpulang kepada masyarakat terbanyak Asia dan Eropah untuk menggerakkan kerjasama bagi memantapkan matlamat Asem.
Atas kesedaran itu, lebih 80 ahli akademik dan pemimpin korporat Asia dan Eropah bertemu di Venice, Itali pada 18 dan 19 Januari lalu untuk memberi sumbangan terhadap usaha mengenal pasti makna mengukuhkan hubungan Asia-Eropah.
Pertemuan itu membincangkan proses pertukaran teknologi di antara Asia dengan Eropah dulu, masa kini dan akan datang; memahami nilai, kepelbagaian dan perpaduan Asia serta agama yang dianuti masyarakat yang pernah dijajahi bangsa Eropah itu.
Pengarah Just World Trust, Dr Chandra Muzaffar, yang menghadiri mesyuarat itu berpeluang untuk menyertai satu kumpulan kerja bagi membincangkan tajuk ‘Agama dalam kaitannya dengan kemajuan’.

Dr Chandra berkata, perbincangan itu memberi manfaat yang besar dan melorongkan peluang kepadanya mengaut maklumat ketika membicarakan persepsi Eropah terhadap pelbagai agama di Asia khususnya Islam.

Beliau berkata, menerusi perbincangan itu, Eropah menerima hakikat bahawa mereka harus lebih bersikap terbuka dalam soal nilai-nilai Asia dan agamanya.
“Mereka mengakui bahawa mereka harus mencari jalan mengatasi sikap prejudis terhadap Islam dan juga agama lain di Asia,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Pertemuan seumpama itu di kalangan ahli akademik dan pemimpin korporat Asia-Eropah memberi manfaat besar terhadap mengukuhkan hubungan akar umbi kedua benua itu.
Hasil pertemuan itu wajar disalurkan kepada kerajaan masing-masing bagi membolehkan mereka lebih bersedia dengan input yang lebih menyeluruh bagi membolehkan mereka melaksanakan dasar yang tepat dan diterima ramai.

Dr Chandra turut mendapat maklumat sampingan yang penting hasil pertemuan itu. Menerusi perbincangan tidak rasmi dengan rakan-rakan intelektual dan wartawan dari Amerika Utara, satu lagi benua besar yang penting di dunia, beliau mengetahui bahawa perkembangan hubungan Asia-Eropah membimbangkan Amerika Syarikat.
“Amerika Syarikat khuatir Asem akan menjadi perintis kepada pertemuan Asia-Eropah yang lebih kerap dan akhirnya mewujudkan hubungan kukuh seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

“Walaupun dari segi pelaburan dan perdagangan di Asia, Amerika Syarikat lebih besar berbanding Eropah, mereka masih khuatir jika Eropah mendekati Asia,” katanya.
Kebimbangan Amerika Syarikat memang berasas. Ini kerana Asem akan menjadi pertemuan pemimpin sejagat yang paling penting dalam sejarah dewasa ini yang akan mengetepikan negara kuasa besar itu.

Maklumat seumpama itu juga memberi input yang baik kepada kerajaan Asia yang mungkin boleh digunakan demi kebaikan Asia sendiri.
Mungkin maklumat itu boleh dijadikan sandaran bagi membolehkan Asia dan Eropah menyediakan benteng lebih awal bagi memastikan tiada sebarang halangan wujud hasil tindak tanduk puak ketiga yang enggan melihat kerjasama itu menempa kejayaan yang gemilang.

Dr Chandra berkata, golongan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik dan korporat Asia turut merancang mengadakan pertemuan serupa di Bangkok ketika Asem sedang berlangsung bagi membincangkan beberapa perkara penting lain seperti Dimensi Politik dan Ekonomi Asia-Eropah, kos pembangunan di Asia dan Eropah, Krisis Keselamatan di Asia dan Eropah serta beberapa isu penting membabitkan kedua-dua benua itu.

Berdasarkan perkembangan ini, kerjasama Asia-Eropah jelas menerima restu pelbagai golongan masyarakat kedua benua itu di peringkat awal lagi. Menyedari faedah yang boleh didapati daripada kerjasama itu, golongan yang dianggap teras bagi masyarakat sesebuah negara seperti anggota akademik, usahawan dan NGO tidak berdiam diri bagi melihat saja usaha kerajaan masing-masing.
Kegagalan mereka memberi sumbangan bermakna berkemungkinan menjadikan Asem sebagai pertemuan santai di kalangan pemimpin sahaja kerana tiada tindakan susulan bagi mewujudkan kerjasama di peringkat akar umbi.

Pada masa hadapan, golongan pemimpin muda dan pelajar seperti Pergerakan Pemuda dan kesatuan pelajar di Asia boleh menerajui usaha menjalin hubungan dengan pemimpin muda Eropah bagi memastikan usaha pemimpin masa tidak mati sekerat jalan pada abad akan datang.
Berita Harian – 15 September 1996

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...