Berita Harian Online
Sabtu, 2 Ogos 1997 28 Rabiulawal 1418H
Amerika Syarikat tersandung jerat Asean
MESYUARAT Menteri Luar Asean (AMM), Forum Serantau Asean (ARF) dan Persidangan Selepas Mesyuarat (PMC) pada 24-29 Julai lalu menemukan pemimpin Timur dan Barat. Ada kalanya mereka bergurau dan pada waktu lain bercakaran. Sejauh manakah ia berjaya? Berikut adalah pengamatan wartawan Berita Harian, FAIZAL FADZIL, JAMHARIAH JAAFAR dan AZMAN ABDUL HAMID.
PERTEMUAN lima hari AMM ke-30, ARF Keempat dan disusuli PMC pada hari terakhir seolah-olah mengetepikan semua isu yang dianggap penting termasuk program bagi negara Asean seperti Teknologi Maklumat (IT) dan usaha meningkatkan peranan ARF kepada organisasi yang mengamalkan Diplomasi Mengelakkan Konflik di rantau ini.
Sebaliknya, soal konflik Kemboja dan pelaksanaan reformasi ke arah demokrasi di Myanmar yang lebih konkrit tetap menjadi sasaran utama hampir 900 wakil media dari seluruh dunia yang berhimpun di sini.
Sembilan negara Asean, Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam, Brunei, dan anggota yang baru diterima secara rasmi 23 Julai lalu, Laos dan Myanmar; 10 Rakan Dialognya, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Kanada, Australia, New Zealand, China, Jepun, Korea Selatan, India dan Russia serta Kemboja sebagai pemerhati Asean dan Papua New Guinea, sebagai pemerhati khas Asean, yang menyertai ARF dihujani soalan daripada pucuk hingga ke akar umbi mengenai Myanmar dan Kemboja.
Persoalan misi damai Asean yang sekejap diterima dan sekejap ditolak oleh Perdana Menteri Kedua Kemboja, Hun Sen, memaksa wakil media menghurungi pemimpin yang terbabit secara langsung, antaranya Menteri Luar Kemboja, Ung Huot, yang menghadiri mesyuarat itu sebagai Pemerhati Asean.
Calon yang diterima partinya, Funcinpec dan Hun Sen sebagai bakal Perdana Menteri Pertama negara itu, meskipun ditolak oleh Raja Kemboja, Norodom Sihanouk dan masyarakat antarabangsa, menjadi pemimpin paling popular di sidang itu. Polis diarah memberi kawalan paling rapi kepadanya.
"Tolonglah..ini bukan cara yang wajar..anda merampas hak saya untuk mendapatkan secawan teh..," pinta Ung Huot kepada wartawan yang menyerbu beliau ketika sedang minum teh selepas majlis perasmian AMM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pada pagi 24 Julai lalu.
Persoalan siapa yang paling layak membantu penyelesaian konflik di Kemboja, bagaimana ia harus dilakukan, penerimaan Hun Sen terhadap misi damai Asean yang masih menjadi tanda tanya terus menjadi sidang AMM itu hangat dengan Kemboja. Ali Alatas yang menjadi pemimpin misi damai yang digelar 'Mr Kemboja' oleh Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga menjadi tumpuan media yang mahu tahu pandangan beliau mengenai perkembangan terbaru di Kemboja.
Isu Kemboja tidak terhenti di AMM, sebaliknya berterusan hingga ke ARF dan PMC dan akhirnya terjawab pada sidang akhbar bersama PMC apabila Ung Huot menghantar faksimili kepada semua anggota misi damai, Ali, Menteri Luar Thailand, Prachuab Chaiyasarn dan Setiausaha Luar Filipina, Domingo Siazon, menyatakan buat kali keduanya kesediaan Hun Sen menerima misi damai itu.
Tun Mahathir, (kanan), Perdana Menteri ketika itu merasmikan sidang, manakala Dato' Seri Abdullah, Menteri Luar ketika itu, mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan PMC.
Soal pelaksanaan reformasi ke arah mengembalikan semula demokrasi di Myanmar menjadi fokus persoalan dalam sidang kali ini khususnya pertentangan pendapat di antara negara Barat termasuk Australia walaupun terletak jauh di selatan dunia dan lebih dekat dengan Asia tetapi tetap berperangai dan berpendirian seperti Barat. Negara Barat dan Australia membangkitkan persoalan kelembapan proses reformasi perlembagaan di negara itu.
"Kami tidak melihat sebarang perubahan besar terhadap Myanmar sejak ARF tahun lalu. Proses reformasi perlembagaan di negara itu bergerak seperti siput babi," kata Menteri Luar Australia, Alexander Downer, antara menteri luar yang paling kritikal terhadap Myanmar.
Kelantangan Downer itu mungkin demi menjaga kedudukan politiknya kerana jelas beliau terlalu ditekan oleh medianya sendiri selepas pertemuannya dengan Menteri Luar Myanmar, Ohn Gyaw.
Media Australia mendakwa Ohn Gyaw menjelaskan isu hak asasi manusia tidak dibangkitkan dalam pertemuan itu. Tetapi Downer menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan beliau membangkitkan soal kelembapan proses pendemokrasian di negara itu.
Ohn Gyaw yang kali pertama membentangkan masalah negaranya di ARF tahun lalu, mengakui kelembapan proses itu sejak ucapan beliau yang pertama di Jakarta tahun lalu kerana negaranya harus mengambil kira pandangan banyak kumpulan etnik yang lain di negara itu yang turut berkongsi kuasa.
Barat tidak berpuas hati dengan alasan itu. EU tetap enggan bekerjasama dengan Myanmar tetapi memberi jaminan tindakan itu tidak akan menjejaskan hubungan baik dengan Asean - satu aturan kerja yang menyulitkan kerana Myanmar kini dalam Asean.
Akhirnya Barat menyerahkan kembali soal membantu membawa perubahan ke dalam Myanmar kepada Asean.
Asean menerima tanggungjawab itu walaupun menyedari kesulitan yang akan dihadapi.
"Tetapi sikap Myanmar yang menyedari dan menerima dasar Hubungan Membina Asean yang bermatlamat memperbaiki hak asasi manusia di negara itu dan membantu proses reformasi perlembagaannya adalah satu langkah positif," kata Abdullah.
Seorang diplomat Asean meyakini kemampuan Asean melaksanakan tanggungjawab itu.
"Kita mempunyai 200 mesyuarat Asean dalam semua bidang. Menerusi pertemuan langsung seumpama itu, sedikit demi sedikit kita akan membantu pelaksanaan reformasi ke arah demokrasi di negara itu," katanya optimis sambil mempersoalkan langkah Barat yang cuba mengukur kejayaan itu dalam tempoh setahun.
"Berapa lama Amerika Syarikat mengambil masa memperbaiki perlembagaannya yang sehingga belum tentu lengkap demokrasinya?' ujarnya.
Apabila kesepakatan mengenai langkah Myanmar dan Kemboja dapat diselesaikan meskipun tidak semua yang terbuku dalam hati masing-masing berjaya dipecahkan, soal hak asasi manusia pula menjadi bahan pertikaman lidah antara negara Asia dan Eropah masing-masing mempertahankan pendirian mengenai ciri demokrasi sejagat.
Kritikan terbuka khususnya ditujukan kepada Amerika Syarikat dan Eropah pada sidang akhbar bersama PMC di pagi Selasa lalu selepas beberapa jam sebelum itu, semua menteri luar yang hadir melupakan sebarang percanggahan pendapat untuk berhibur menyanyi karaoke termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeleine Albright, yang menghiburkan hadirin dengan lagu 'Don't Cry For Me Argentina' yang diubah senikatanya dengan lirik penuh sindiran terhadap Asean - amalan tradisi di kalangan diplomat AMM, ARF dan PMC.
Ia tercetus apabila Albright melahirkan kenyataan untuk menentang sebarang usaha menafsirkan semula Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948, yang jelas merujuk kepada hasrat Dr Mahathir untuk mengemukakan usul mengkaji semula deklarasi hampir berusia 50 tahun itu.
"Deklarasi itu bukan mewakili Amerika Syarikat atau Barat. Sebaliknya, deklarasi itu mengandungi nilai yang bersifat sejagat yang diterima pakai sejak 50 tahun lalu," kata Setiausaha Rendah Negara Bagi Hal Ehwal Ekonomi, Perniagaan dan Pertanian, Stuart E. Eizen, yang mewakili Albright pada sidang akhbar itu, bagi mempertahankan kenyataan 'bosnya'.
Deklarasi Sejagat Mengenai Hak Asasi Manusia 1948 digubal negara bersekutu yang memenangi Perang Dunia Kedua, antaranya menekankan kebebasan hak individu dan kebebasan bersuara masyarakat dunia.
Ia mengandungi 28 fasal yang merujuk kepada hak bagi setiap individu tanpa mengira bangsa, warna kulit, jantina dan agama. Ia mengandungi bukan saja hak awam dan politik seperti kebebasan bersuara, bergerak atau berorganisasi, malah hak untuk bekerja dan mendapatkan pendidikan.
Bagaimanapun, pemimpin Asia seperti Dr Mahathir lebih cenderung mengutamakan hak manusia untuk mengukuhkan ekonomi, menjalankan sistem pemerintahan sendiri tanpa campur tangan luar dan menentukan budaya hidup sendiri tanpa tekanan luar.
"Kita memerlukan kerajaan yang stabil untuk membangunkan negara dan menyediakan keperluan asas kepada masyarakat kita. Jika kerajaan sering bertukar dan fokus kita tertumpu kepada politik dan orang asyik berebut jawatan, orang miskin akan menjadi mangsa," katanya.
Tindakan itu sebenarnya semakin penting khususnya di kalangan negara membangun yang semakin hari terpaksa telunjuk dengan demokrasi yang ditekankan Barat jika tidak mahu kehilangan bantuan atau pelaburan di dalam ekonomi masing-masing sekali gus menggoncangkan periuk nasi mereka.
"Masyarakat dunia semakin sedar hak terhadap pembangunan ekonomi dan budaya, sama pentingnya dengan hak bersuara dan kebebasan individu," kata Ali Alatas. China juga menyindir Amerika Syarikat kerana sering membuat laporan hak asasi manusia mengenai negara lain.
"Kami juga membuat laporan hak asasi manusia Amerika Syarikat tetapi media di negara itu tidak pernah menyiarkan laporan itu," kata Naib Perdana Menteri China, Qian Qichen, yang mencetuskan ketawa besar di kalangan hadirin dan menyebabkan wakil Amerika Syarikat bungkam sekali gus kesal kerana sidang akhbar itu menjadi medan menghentam Amerika Syarikat.
Sokongan China dan Indonesia, negara penduduk paling padat di dunia dan hak asasi manusia mereka sering dikritik Barat, terhadap usul Malaysia mengukuhkan kekuatan cadangan itu.
Meskipun, AMM, ARF dan PMC, mewujudkan pelbagai pertentangan dan kritikan di kalangan anggota, medan itu tetap utuh menjadi platform terbaik pertukaran pandangan Barat-Asia.
Seperti kata pengerusi, semua persidangan itu tahun ini, Abdullah, sebaik saja sidang akhbar PMC tamat: "Walaupun timbul perbezaan pendapat yang ketara di antara negara peserta terutama menyentuh beberapa isu sensitif, negara anggota tidak berpecah dan semangat setiakawan PMC membolehkan perbincangan dengan baik dan semua pihak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai."
No comments:
Post a Comment