Wednesday, July 30, 2008

WAHEEDA DALAM PELUKAN SANAK KELUARGA


Waheeda (kanan) bersama dengan Tok Yah (Nenda Asiah Mihat) sewaktu berhari raya di rumah Nenda saudaranya di Kg. Melayu Majidee, Johor Bahru, pada tahun 2006. Tok Yah adalah nenda kepada Allahyarham Ahmad Faizal.

CATATAN A.F.YASSIN
Bila Waheeda Berada Dalam Pelukan Sanak Saudara

Banyak anggota keluarga besar berasa janggal menyebut nama Waheeda, artis yang sedang melonjak popularitinya setelah meletup lagu “Wassini” nya. Ini kerana nama Waheeda bukan nama panggilan sehari-hari di kalangan mereka. Baik ibu bapanya, mahupun adik-adik dan anggota keluarga besarnya. Nama panggilan hariannya ialah Wawa, nama manja yang diperkenalkan nenda lelakinya, Datuk Yusoff Rahiman, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Juga bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang.

Datuk Yusoff ini pula adalah adik lelaki Datuk Haji Sujak Rahiman, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedua-dua datuk ini pula mempunyai dua abang, iaitu Karwi dan Sulaiman. Maka Karwi, Sulaiman dan Datuk Sujak adalah bapa saudara Wawa.

Pada hari raya kedua Isnin lalu, semua anggota keluarga besar Rahiman ini bertemu di rumah Sulaiman di Kg. Melayu Majidee Johor Bahru. Hampir 50 orang hadir dalam pertemuan itu yang diadakan kira-kira jam 2.00 petang. Dalam kemeriahan suasana timbul tanda tanya bagaimana hendak memanggil Waheeda atau Wawa. Ibu Waheeda, Asri yang juga pengurusnya meminta agar Waheeda dipanggil Wawa sahaja kerana itulah panggilan manjanya di kalangan keluarga.

Namun seorang ibu saudara Waheeda bernama Rubiyah Suleiman hampir pula kekok memanggil Waheeda, Wawa. Sebabnya nama Waheeda telah begitu mesra di bibirnya, terutama setelah nama itu tersebar luar dalam media dan disebut-sebut melalui radio dan televisyen . Begitu juga halnya dengan sepupu-sepupu Waheeda yang ramai datang hari itu.

Biarpun di kalangan sanak saudara, Waheeda tetap dilihat sebagai selebriti. Beberapa ahli keluarga yang mempunyai kamera tidaik putus-putus mengambil gambarnya dari pelbagai sudut. Bapanya Wahab Datuk Yusoff buat tak kisah dan masih juga rancak berbual dengan sepupu-sepupunya. Rubiyah, ibu saudara Waheeda ditegur Faridah, seorang lagi ibu saudaranya kerana memberi memberi tumpuan kepadanya.

Kata Faridah, “Amboi dengan Wawa saja. Kita ini macam dia tak nampak. Mentang-mentang Wawa selebriti.” Rubiyah menyangkal, “Bukan begitu, Wawa jarang jumpa. Awak dah selalu datang.” Faridah berkata demikian kerana sebaik sahaja Waheeda tiba Rubiyah langsung mendakap dan memeluk mesra anak saudaranya itu sambil berkata, “Ha! Ini budaknya yang selalu masuk TV itu.”

Ibu Waheeda, Asri bercerita tentang Waheeda, anak sulungnya itu. “Dia ini lain sikit minatnya berbanding tiga orang adiknya yang lain. Wawa minat menyanyi. Sejak sekolah lagi. Dia dah minat, nak kata apa. Pernah dalam satu majlis dia hendak sangat menyanyi. Kita benarkanlah dengan syarat tidak banyak goyang badan.” Waheeda cucu sulung Datuk Yusoff. Lalu dia dipanggil manja dengan sebutan “Wawa”.

Bapa Waheeda, Wahab Yusoff, seorang jurutera yang telah sudah bersara daripada Tenaga Nasional Berhad. Sementara ibunya pernah bertugas dengan Jabatan Imigresyen, Johor. Hari ini difahamkan kedua-dua ibu bapa ini tidak pernah berenggang dengan Waheeda. Mereka telah menjadi dewa pelindung (guardian angels) kepada Waheeda. Mereka terpaksa meninggalkan kediaman selesanya di Ulu Tiram, Johor Bahru hanya untuk menjaga kepentingan Waheeda. Mereka mahu Waheeda mendapat yang terbaik demi kerjayanya sebagai artis. “Asri terpaksalah berkorban sikit,” kata Rubiyah, “Untung jugalah awak dan Wahab sudah tak bekerja. Dapat juga tumpukan kepada Wawa.”

Di Kuala Lumpur Waheeda masih mempunyai ramai bapa saudara. Antaranya yang sering dihubungi ialah Senator Dato’ Ikhwan Salim Sujak, sepupu ayahnya. Ada pula Mohd Khir Yusoff, seorang pewagai PTD yang bertugas di Kementerian Kewangan, di Putrajaya. Adik Wahab, Shukur, bapak saudara terdekat Waheeda bertugas dengan Malaysian Airlines (MAS). Nana, ibu saudara paling bongsu Waheeda menyemenda pula ke Negeri Sembilan, apabila berkahwin dengan salah seorang anak bekas Undang Rembau, Dato’ Adnan Maah.

Suasana di rumah Sulaiman semakin hingar-bingar bagaikan di sebuah pasar malam. Inilah momen yang ditunggu setiap tahun oleh keluarga besar ini. Dan bagi Waheeda tradisi mengunjungi rumah nenek saudara telah berakar sejak dia masih anak-anak lagi. Rubiyah masih ingat bagaimana bapa saudaranya Dato’ Yusoff dan Dato’ Sujak mengunjungi bapanya Sulaiman di pagi raya pertama atau kedua.

Dato’ Yusoff akan mempastikan anak-anak dan cucunya, termasuk Waheeda ikut sama. Waktu itu Waheeda lebih bersifat “tomboy” seperti yang dijelaskan Iwan Fazlee, saudara dua pupu Waheeda yang bertugas dengan Metro Nationwide Bhd di Kuala Lumpur. Iwan tidak menyangka hari ini Waheeda menjadi artis pujaan. Katanya kepada kawan-kawan sekuliahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ketika mula mendengar nama Waheeda, “Iwan mulanya ingat Waheeda ini entah siapa, tapi bila dapat tahu dia ada hubungan keluarga, Iwan terkejut juga.”

Ramai saudara sepupu Waheeda yang berkata begitu. Malah bukan tidak mungkin Wahab sendiri pun terkejut dengan kemampuan anak sulungnya itu. Asri tidak begitu sangat kerana melihat keazaman yang ditunjukkan Waheeda dalam bidang seni nyanyi ini. Cuma nasihat Asri kepada Waheeda, “Belajar dulu sampai selesai. Jangan asyik menyanyi. Nanti bapak engkau marah.” Waheeda tidak mensesiakan nasihat ibunya. Dia hanya mula memberikan tumpuan kepada bidang nyanyiannya setelah tamat pengajiannya di salah sebuah kolej universiti di Kuala Lumpur.

Kini, Waheeda yang mempunyai suara ala Timur Tengah dan boleh bermain beberapa alat muzik, terutama piano itu melangkah pula ke dunia lakonan. Tiga filem disempurnakan, iaitu “Jutawan Fakir”, “What Did You Do Last Raya” dan “Tujuh Perhentian”. Dua terakhir itu diarahkan Prof Madya Razak Mohaideen. Namun bagi kebanyakan peminat dan sanak keluarga Waheeda masih tetap dikaitkan dengan “Wassini”, lagu yang melonjakkan namanya sebagai selebriti. Tiba-tiba sahaja dia menjadi milik orang ramai, bukan lagi sekadar milik keluarga dan sanak saudaranya.

Tidak pasti apakah Waheeda terhutang budi dengan penyanyi Yassin yang memperkenalkannya dengan dunia seni atau Waheeda mula menyesali pemilihan kerjayanya kerana dalam sekelip mata dia berada dalam “lampu sorot” media umum yang sentiasa sahaja “mengendap dan memerhati” setiap gerak langkahnya untuk dijadikan bahan berita. Selebriti yang diraihnya datang bersama sebuah pengorbanan, dalam erti Waheeda tidak lagi dapat mengelak daripada menjadi bahan gosip dan tunduk kepada karenah seni yang lain. Pengalaman pahit Siti Norhaliza akhir-akhir ini sehingga melibatkan mahkamah dan pengadilan boleh dijadikan iktibar buat Waheeda yang begitu ayu dengan penampilan bertudungnya.

Keakraban Waheeda dengan keluarga besarnya boleh menjadi benteng. Dia begitu mesra dalam pertemuan itu, hinggap dari satu kelompok kepada kelompok kecil yang lain sambil menggunakan telefon bimbitnya sebagai kamera. Petik sana, petik sini. Katanya kepada ibu saudaranya Rubiyah, “Kalau nanti saya ada jodoh dan kahwin. Majlis akan dibuat asing-asing. Kalau keluarga dengan keluarga saja. Artis lain lagi.” Seolah-olah Waheeda mahu mengingatkan sanak saudaranya bahawa mereka masih mempunyai tempat istimewa dalam hatinya. Ends.(Petikan Utusan Zaman)

Sunday, July 27, 2008

SEKADAR MENGABADIKAN SEBUAH INGATAN !

Merakam Abadi Sebuah Notalgia


Ketika menyertai kumpulan Minggu Sastera Rema, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dalam tahun 1980-an. Allahyarham No.6 berdiri di barisan belakang sekali.


Lembaga Pengawas Sekolah Menengah Victoria (Victoria Institution = VI), Kuala Lumpur dua setengah dekad lalu.Allah yarham No.6 berdiri di barisan belakang sekali.

Tuesday, July 15, 2008

CUPLIKAN BERITA 1997: SEKEDAR INGATAN

06/06/1997
Timbalan Menteri dipecat (HL)
By Kamal Ahmad; Faizal Fadzil

KUALA LUMPUR, Khamis - Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Siti Zainab Datuk Abu Bakar, hari ini dipecat daripada jawatannya serta digantung daripada UMNO berikutan isu penyelewengan RM1.8 juta daripada akaun Pergerakan Wanita parti itu. Tindakan terhadap Siti Zainab, 56, yang memegang jawatan Bendahari Wanita UMNO ketika kepemimpinan Datuk Seri Rafidah Aziz itu, diumumkan oleh Pemangku Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini.

Monday, July 14, 2008

DI PERAPATAN TIMUR-BARAT A.K.A USA-ASEAN

Berita Harian Online
Sabtu, 2 Ogos 1997 28 Rabiulawal 1418H
Amerika Syarikat tersandung jerat Asean
MESYUARAT Menteri Luar Asean (AMM), Forum Serantau Asean (ARF) dan Persidangan Selepas Mesyuarat (PMC) pada 24-29 Julai lalu menemukan pemimpin Timur dan Barat. Ada kalanya mereka bergurau dan pada waktu lain bercakaran. Sejauh manakah ia berjaya? Berikut adalah pengamatan wartawan Berita Harian, FAIZAL FADZIL, JAMHARIAH JAAFAR dan AZMAN ABDUL HAMID.

PERTEMUAN lima hari AMM ke-30, ARF Keempat dan disusuli PMC pada hari terakhir seolah-olah mengetepikan semua isu yang dianggap penting termasuk program bagi negara Asean seperti Teknologi Maklumat (IT) dan usaha meningkatkan peranan ARF kepada organisasi yang mengamalkan Diplomasi Mengelakkan Konflik di rantau ini.
Sebaliknya, soal konflik Kemboja dan pelaksanaan reformasi ke arah demokrasi di Myanmar yang lebih konkrit tetap menjadi sasaran utama hampir 900 wakil media dari seluruh dunia yang berhimpun di sini.

Sembilan negara Asean, Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam, Brunei, dan anggota yang baru diterima secara rasmi 23 Julai lalu, Laos dan Myanmar; 10 Rakan Dialognya, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Kanada, Australia, New Zealand, China, Jepun, Korea Selatan, India dan Russia serta Kemboja sebagai pemerhati Asean dan Papua New Guinea, sebagai pemerhati khas Asean, yang menyertai ARF dihujani soalan daripada pucuk hingga ke akar umbi mengenai Myanmar dan Kemboja.
Persoalan misi damai Asean yang sekejap diterima dan sekejap ditolak oleh Perdana Menteri Kedua Kemboja, Hun Sen, memaksa wakil media menghurungi pemimpin yang terbabit secara langsung, antaranya Menteri Luar Kemboja, Ung Huot, yang menghadiri mesyuarat itu sebagai Pemerhati Asean.

Calon yang diterima partinya, Funcinpec dan Hun Sen sebagai bakal Perdana Menteri Pertama negara itu, meskipun ditolak oleh Raja Kemboja, Norodom Sihanouk dan masyarakat antarabangsa, menjadi pemimpin paling popular di sidang itu. Polis diarah memberi kawalan paling rapi kepadanya.

"Tolonglah..ini bukan cara yang wajar..anda merampas hak saya untuk mendapatkan secawan teh..," pinta Ung Huot kepada wartawan yang menyerbu beliau ketika sedang minum teh selepas majlis perasmian AMM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pada pagi 24 Julai lalu.

Persoalan siapa yang paling layak membantu penyelesaian konflik di Kemboja, bagaimana ia harus dilakukan, penerimaan Hun Sen terhadap misi damai Asean yang masih menjadi tanda tanya terus menjadi sidang AMM itu hangat dengan Kemboja. Ali Alatas yang menjadi pemimpin misi damai yang digelar 'Mr Kemboja' oleh Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga menjadi tumpuan media yang mahu tahu pandangan beliau mengenai perkembangan terbaru di Kemboja.

Isu Kemboja tidak terhenti di AMM, sebaliknya berterusan hingga ke ARF dan PMC dan akhirnya terjawab pada sidang akhbar bersama PMC apabila Ung Huot menghantar faksimili kepada semua anggota misi damai, Ali, Menteri Luar Thailand, Prachuab Chaiyasarn dan Setiausaha Luar Filipina, Domingo Siazon, menyatakan buat kali keduanya kesediaan Hun Sen menerima misi damai itu.


Tun Mahathir, (kanan), Perdana Menteri ketika itu merasmikan sidang, manakala Dato' Seri Abdullah, Menteri Luar ketika itu, mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan PMC.

Soal pelaksanaan reformasi ke arah mengembalikan semula demokrasi di Myanmar menjadi fokus persoalan dalam sidang kali ini khususnya pertentangan pendapat di antara negara Barat termasuk Australia walaupun terletak jauh di selatan dunia dan lebih dekat dengan Asia tetapi tetap berperangai dan berpendirian seperti Barat. Negara Barat dan Australia membangkitkan persoalan kelembapan proses reformasi perlembagaan di negara itu.

"Kami tidak melihat sebarang perubahan besar terhadap Myanmar sejak ARF tahun lalu. Proses reformasi perlembagaan di negara itu bergerak seperti siput babi," kata Menteri Luar Australia, Alexander Downer, antara menteri luar yang paling kritikal terhadap Myanmar.

Kelantangan Downer itu mungkin demi menjaga kedudukan politiknya kerana jelas beliau terlalu ditekan oleh medianya sendiri selepas pertemuannya dengan Menteri Luar Myanmar, Ohn Gyaw.

Media Australia mendakwa Ohn Gyaw menjelaskan isu hak asasi manusia tidak dibangkitkan dalam pertemuan itu. Tetapi Downer menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan beliau membangkitkan soal kelembapan proses pendemokrasian di negara itu.
Ohn Gyaw yang kali pertama membentangkan masalah negaranya di ARF tahun lalu, mengakui kelembapan proses itu sejak ucapan beliau yang pertama di Jakarta tahun lalu kerana negaranya harus mengambil kira pandangan banyak kumpulan etnik yang lain di negara itu yang turut berkongsi kuasa.

Barat tidak berpuas hati dengan alasan itu. EU tetap enggan bekerjasama dengan Myanmar tetapi memberi jaminan tindakan itu tidak akan menjejaskan hubungan baik dengan Asean - satu aturan kerja yang menyulitkan kerana Myanmar kini dalam Asean.
Akhirnya Barat menyerahkan kembali soal membantu membawa perubahan ke dalam Myanmar kepada Asean.

Asean menerima tanggungjawab itu walaupun menyedari kesulitan yang akan dihadapi.
"Tetapi sikap Myanmar yang menyedari dan menerima dasar Hubungan Membina Asean yang bermatlamat memperbaiki hak asasi manusia di negara itu dan membantu proses reformasi perlembagaannya adalah satu langkah positif," kata Abdullah.
Seorang diplomat Asean meyakini kemampuan Asean melaksanakan tanggungjawab itu.
"Kita mempunyai 200 mesyuarat Asean dalam semua bidang. Menerusi pertemuan langsung seumpama itu, sedikit demi sedikit kita akan membantu pelaksanaan reformasi ke arah demokrasi di negara itu," katanya optimis sambil mempersoalkan langkah Barat yang cuba mengukur kejayaan itu dalam tempoh setahun.

"Berapa lama Amerika Syarikat mengambil masa memperbaiki perlembagaannya yang sehingga belum tentu lengkap demokrasinya?' ujarnya.
Apabila kesepakatan mengenai langkah Myanmar dan Kemboja dapat diselesaikan meskipun tidak semua yang terbuku dalam hati masing-masing berjaya dipecahkan, soal hak asasi manusia pula menjadi bahan pertikaman lidah antara negara Asia dan Eropah masing-masing mempertahankan pendirian mengenai ciri demokrasi sejagat.

Kritikan terbuka khususnya ditujukan kepada Amerika Syarikat dan Eropah pada sidang akhbar bersama PMC di pagi Selasa lalu selepas beberapa jam sebelum itu, semua menteri luar yang hadir melupakan sebarang percanggahan pendapat untuk berhibur menyanyi karaoke termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeleine Albright, yang menghiburkan hadirin dengan lagu 'Don't Cry For Me Argentina' yang diubah senikatanya dengan lirik penuh sindiran terhadap Asean - amalan tradisi di kalangan diplomat AMM, ARF dan PMC.

Ia tercetus apabila Albright melahirkan kenyataan untuk menentang sebarang usaha menafsirkan semula Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948, yang jelas merujuk kepada hasrat Dr Mahathir untuk mengemukakan usul mengkaji semula deklarasi hampir berusia 50 tahun itu.

"Deklarasi itu bukan mewakili Amerika Syarikat atau Barat. Sebaliknya, deklarasi itu mengandungi nilai yang bersifat sejagat yang diterima pakai sejak 50 tahun lalu," kata Setiausaha Rendah Negara Bagi Hal Ehwal Ekonomi, Perniagaan dan Pertanian, Stuart E. Eizen, yang mewakili Albright pada sidang akhbar itu, bagi mempertahankan kenyataan 'bosnya'.

Deklarasi Sejagat Mengenai Hak Asasi Manusia 1948 digubal negara bersekutu yang memenangi Perang Dunia Kedua, antaranya menekankan kebebasan hak individu dan kebebasan bersuara masyarakat dunia.

Ia mengandungi 28 fasal yang merujuk kepada hak bagi setiap individu tanpa mengira bangsa, warna kulit, jantina dan agama. Ia mengandungi bukan saja hak awam dan politik seperti kebebasan bersuara, bergerak atau berorganisasi, malah hak untuk bekerja dan mendapatkan pendidikan.

Bagaimanapun, pemimpin Asia seperti Dr Mahathir lebih cenderung mengutamakan hak manusia untuk mengukuhkan ekonomi, menjalankan sistem pemerintahan sendiri tanpa campur tangan luar dan menentukan budaya hidup sendiri tanpa tekanan luar.
"Kita memerlukan kerajaan yang stabil untuk membangunkan negara dan menyediakan keperluan asas kepada masyarakat kita. Jika kerajaan sering bertukar dan fokus kita tertumpu kepada politik dan orang asyik berebut jawatan, orang miskin akan menjadi mangsa," katanya.

Tindakan itu sebenarnya semakin penting khususnya di kalangan negara membangun yang semakin hari terpaksa telunjuk dengan demokrasi yang ditekankan Barat jika tidak mahu kehilangan bantuan atau pelaburan di dalam ekonomi masing-masing sekali gus menggoncangkan periuk nasi mereka.

"Masyarakat dunia semakin sedar hak terhadap pembangunan ekonomi dan budaya, sama pentingnya dengan hak bersuara dan kebebasan individu," kata Ali Alatas. China juga menyindir Amerika Syarikat kerana sering membuat laporan hak asasi manusia mengenai negara lain.

"Kami juga membuat laporan hak asasi manusia Amerika Syarikat tetapi media di negara itu tidak pernah menyiarkan laporan itu," kata Naib Perdana Menteri China, Qian Qichen, yang mencetuskan ketawa besar di kalangan hadirin dan menyebabkan wakil Amerika Syarikat bungkam sekali gus kesal kerana sidang akhbar itu menjadi medan menghentam Amerika Syarikat.

Sokongan China dan Indonesia, negara penduduk paling padat di dunia dan hak asasi manusia mereka sering dikritik Barat, terhadap usul Malaysia mengukuhkan kekuatan cadangan itu.

Meskipun, AMM, ARF dan PMC, mewujudkan pelbagai pertentangan dan kritikan di kalangan anggota, medan itu tetap utuh menjadi platform terbaik pertukaran pandangan Barat-Asia.

Seperti kata pengerusi, semua persidangan itu tahun ini, Abdullah, sebaik saja sidang akhbar PMC tamat: "Walaupun timbul perbezaan pendapat yang ketara di antara negara peserta terutama menyentuh beberapa isu sensitif, negara anggota tidak berpecah dan semangat setiakawan PMC membolehkan perbincangan dengan baik dan semua pihak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai."

Wednesday, July 09, 2008

FAIZ MELIHAT ISLAM DI LAOS

Ditulis pada Januari 10, 2008 oleh imbalo

Kutipan dari Berita Minggu Online

Umat Islam Laos mungkin pupus
SEWAKTU berkunjung ke bandar Vientiane - ibu negara Laos, baru-baru ini, wartawan Berita Minggu, Faizal Fadzil dan jurugambar A Bakar Onn, berkesempatan meninjau kehidupan umat Islam di negara itu. Apa yang menyedihkan, akidah umat Islam di Laos dikatakan mendapat ancaman yang serius. Berikut ialah catatan beliau.
Lengang…solat Jumaat di bandar ini selesai dalam masa 10 minit tanpa khutbahKEBETULAN hari itu Jumaat dan kami menunaikan solat di Masjid Al-Azhar di Kampong Phon Punsawat, kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Vientiane.
Ketibaan kami di masjid itu, kira-kira 20 minit sebelum solat Jumaat, di sambut ruang kosong. Sementara menunggu jemaah lain, kami sempat meninjau ruang masjid itu yang hanya mampu memuatkan tidak lebih 60 atau 70 jemaah. Melihat keadaannya, masjid itu boleh dikatakan setaraf surau di Malaysia.
Selepas beberapa minit di masjid itu, muncul pula Naib Presiden Persatuan Umat Islam Kemboja di Laos, Yahya Ishak, 52 atau lebih mesra dipanggil “Pak Yahya” yang kami kenali menerusi Pengurus Kawasan Penerbangan Malaysia (MAS) di Vientiane, Ahmad Shukri Abdullah. Beliau membawa kami ke sana dengan kereta Proton Saga yang pertama tiba di negara itu.
Menjelang jam 1.30 tengah hari sebelum solat, hanya lebih kurang 30 jemaah hadir di masjid itu termasuk wanita dan kanak-kanak.
Bilangan itu agak kecil berbanding 200 hingga 300 umat Islam yang dikatakan berada di sekitar Vientiane. Dua tiga keluarga lagi boleh ditemui di bandar lain seperti di Savvanakhet dan Pakse lebih 500 kilometer di selatan negara itu.
Kebanyakan jemaah pada hari itu pula ialah rakyat Malaysia, Brunei, Indonesia dan Kemboja yang sudah lama menetap di Laos manakala umat Islam Laos sendiri hanya satu dua orang.
Kami diberitahu Vientiane cuma mempunyai dua masjid. Sebuah lagi - juga bertaraf surau kalau di Malaysia, terletak di tengah bandar Vientiane dan biasanya dikunjungi umat Islam bangsa lain termasuk India.
Apa yang memeranjatkan, solat Jumaat di bandar ini selesai dalam tempoh 10 minit tanpa sebarang khutbah yang dibaca baik dalam bahasa Kemboja, Laos atau Inggeris. Hanya beberapa potong ayat al-Quran dibacakan imam dari Kedutaan Brunei yang mengambil giliran pada hari itu.
“Khutbah ada kalanya dibaca dalam bahasa Laos. Tetapi ia bergantung kepada imam pada hari berkenaan,” kata Pak Yahya yang fasih berbahasa Melayu hasil pergaulan dengan kelompok rumpun bangsa Melayu.
Masalah guru dan imam bukan perkara kecil di Laos. Ketandusan golongan berkenaan menyukarkan Islam bertapak kukuh di negara itu.
“Kami tidak mengharapkan belas kasihan. Meskipun umat Islam di sini rata-rata berpendapatan rendah, tetapi kami tetap boleh hidup.
“Apa yang kami harapkan ialah ada negara Islam menghantar guru agama yang tetap bagi membolehkan masyarakat Islam di sini mempelajari agama dengan lebih sempurna.
“Jika tidak, lambat laun Islam di sini mungkin pupus,” kata Pak Yahya bagi menggambarkan keadaan umat Islam di negara itu ketika diwawancara di sebuah meja usang di luar masjid itu yang kos pembinaan bangunan tambahannya turut dibiayai kerajaan Malaysia.
Beliau turut ditemani Presiden Persatuan Islam Kemboja di Laos, Hakim Musa Abu Bakar, 75, dan beberapa umat Islam Kemboja lain di negara itu.
Justeru, sehingga hari ini umat Islam di negara itu amat bergantung kepada pengajian al-Quran dan fekah yang disampaikan Pak Yahya dan beberapa warga veteran Islam di Laos.
Selain itu, beberapa pendakwah Islam juga mengunjungi negara itu beberapa hari untuk menabur ilmu kepada masyarakat di sana bagi menyirami ketandusan yang wujud.
“Apa yang kami perlukan ialah guru agama yang boleh menetap lama di sini untuk mengajar Islam secara menyeluruh bagi membolehkan kami menghayati Islam sepenuhnya,” katanya.
Selama ini, masyarakat Islam Kemboja dan Laos hanya belajar mengaji dan sedikit fardu ain setiap minggu, mengadakan sambutan dua hari raya dan majlis kebesaran Islam seperti Maulud Nabi yang turut dimeriahkan dengan penyertaan umat Islam Malaysia, Indonesia dan Brunei di sini. Malangnya, keindahan itu tidak dihayati bersama masyarakat Arab.
“Mungkin mereka tidak tahu kewujudan kami di sini berbanding umat Islam di negara lain,” katanya ketika ditanya mengenai sumbangan umat Islam dari negara Islam di Timur Tengah yang kaya raya.
Ketiadaan guru agama yang berwibawa dan bertauliah di bandar itu menyebabkan umat Islam di Laos terbuka kepada ancaman akidah yang serius.
Ada kumpulan berlabelkan Islam, tetapi membawa fahaman dan pemikiran menyeleweng, tidak ketinggalan berusaha memesrai masyarakat Islam di Laos termasuk pengamal Aurat Muhammadiyah yang diharamkan di Malaysia pada 1995.
“Satu ketika dahulu golongan al-Arqam turut mahu mendekati masyarakat kami. Selepas beberapa hari mereka di sini, kami meragui apa yang ingin mereka sampaikan kerana ia memang jelas bertentangan dengan Mahzab Syafie dan Islam.
“Kami cepat-cepat meminta mereka pergi,” katanya yang sudah berbelas-belas tahun berhijrah ke Laos.
Berikutan masalah ini, Islam di negara itu juga sukar untuk berkembang meskipun pentadbiran Laos tidak mengganggu atau menghalang pertumbuhannya, malah menggalakkan umat Islam Laos menjalin hubungan dengan umat Islam negara lain.
“Ini mengurangkan bebanan mereka kerana bantuan kepada umat Islam datang dari negara luar,” ujar Yahya.
Menurutnya, anak muda memang ada yang berminat dengan agama dan ini dapat dilihat menerusi penyertaan golongan itu apabila aktiviti agama diadakan.
“Tetapi jika aktiviti tidak ada, mereka tak datang untuk bersembahyang di masjid,” katanya.
Beliau berkata, belia adalah golongan Islam paling ramai di bandar itu berbanding golongan veteran yang semakin mengecil.
Kegusaran terus melanda apabila ketika sedang menikmati hidangan di Restoran Nazim (satu daripada restoran Islam di sini selain Restoran Bilal), seorang teman membisikkan kisah seorang mualaf berbangsa Laos yang sudah hilang tanpa berita selepas menganut Islam walaupun di peringkat awal, beliau rajin ke masjid.
“Entah Islam lagi ke atau tidak kerana saya difahamkan beliau berkahwin dengan wanita bukan Islam. Tak macam Latiff,” katanya merujuk kepada seorang lagi umat Islam berbangsa Laos, Abdul Latiff Laogentabeung, 46, yang menjadi pemandu “tuk-tuk” kami selama dua hari untuk menyusuri sekitar bandar Vientiane bagi merakam kehidupan rakyat negara itu.
Abdul Latiff mungkin tidak menghadapi masalah mengekalkan keimanannya kerana rumahnya yang berdekatan dengan masyarakat Islam dan masjid di negara itu, apatah lagi berkhawin pula dengan wanita Islam.
Selepas menghayati kisah umat Islam Laos, kami hanya mampu memanjat doa supaya ada gerakan dan negara Islam yang diketuk naluri hatinya oleh Allah untuk memenuhi impian masyarakat di sini yang semakin berpotensi untuk terungkai daripada akarnya.
Hari ini 1 Muharram 1429 Hijriah bagaimana mereka??????

Saturday, July 05, 2008

HUBUNGAN DATO' SUJAK RAHIMAN DENGAN WAHEEDA DAN FAIZAL FADZIL


Dari kiri: Prof. Diraja Ungku Aziz, Dato' Haji Sujak Rahiman dan Dato' Dr. Hassan Ahmad. Ketiga-tiga tokoh ini adalah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dato' Haji Sujak Rahiman (tengah) adalah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebelum itu beliau pernah bertugas sebagai Pengerusi Lembaga Tarif dan Pengurus Besar Perbadanan Nasional Berhad pada zaman kepimpinan Perdana Menteri Tun Abd. Razak. Dato' Haji Sujak adalah abang kepada Dato' Yusof Rahimin, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Dato' Haji Sujak juga adalah datuk saudara kepada Allahyarham Faizal Fadzil dan penyanyi Waheeda.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...