Sunday, May 18, 2008

PERGINYA BEKAS PEGAWAI KANAN MB JOHOR


Allahyarham Ahmad Faizal ketika bertugas sebagai Timbalan Ketua Penerangan dan Penyelidikan, Kerajaan Negeri Johor.

BEKAS PEGAWAI KANAN PEJABAT MENTERI BESAR MENINGGAL DUNIA

SUBANG JAYA, 12 Mac: Bekas Timbalan Ketua Penerangan dan Penyelidikan di Pejabat Menteri Besar Johor, Ahmad Faizal Ahmad Fadzli, meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis.
Ahmad Faizal, 39, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 12 Mac, dua hari selepas dimasukkan ke situ.
Beliau meninggalkan isteri Rosmawati Yunos dan empat orang anak yang berusia antara 12 dan lima tahun.
Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh berhampiran dengan kediaman bapanya Ahmad Fadzil Yassin.
Selain sanak-saudara, ramai kenalan dan bekas rakan sepejabat Allahyarham memberikan penghormatan terakhir kepada beliau dan kemudian bersama-sma menguruskan jenazahnya.
Ahmad Faizal berkhidmat dengan unit berkenaan antara 1999 dan 2005. Sebelum itu beliau adalah wartawan kanan akhbar Berita Harian.
Menurut Ahmad Fadzil, pemergian anaknya amat mengejutkan kerana tiada sesiapa, kecuali isterinya, mengetahui beliau mengidap kencing manis.
”Ia berlaku umpama sekelip mata. Beberapa hari sebelum beliau dimasukkan ke pusat perubatan itu, beliau mengadu mengenai melecet di kakinya yang lambat pulih.
Selang beberapa hari kemudian, kami mendapati keadaan beliau semakin buruk dan apabila beliau kelihatan terlalu lemah dan seakan-akan tidak sedarkan diri, kami membawanya ke SJMC,” katanya.
Ahmad Fadzil berkata anaknya koma sehinggalah beliau meninggal dunia.
Menurut Rosmawati suaminya tidak membenarkan beliau memberitahu orang lain mengenai penyakit yang dihidapinya.
”Dia tidak mehu menyusahkan orang lain,” katanya.
*Pegawai dan Kakitangan Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor mengucapkan takziah kepada Puan Rosmawati Yunos dan keluarga. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham. (Petikan daripada website Kerajaan Negeri Johor. Mac 2007)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...