Monday, May 19, 2008

"IN MEMORIUM: ALLAHYARHAM FAIZAL FADZIL

TAKZIAH KEPADA KELUARGA AHMAD FAIZAL
OLEH SAODI MAT ATAR
UNIT MEDIA & KOMUNIKASI KERAJAAN NEGERI JOHOR

PEMERGIAN tiga bekas rakan setugas dalam tempoh tiga minggu pada pertengahan Mac lalu, yang juga hampir sebaya dalam usia begitu muda, amatlah mengharukan.

Bermula dengan kembalinya ke Rahmatullah, Ahmad Faizal Fadzil, yang pernah sama-sama bertugas di akhbar Berita Harian dan di Pejabat Menteri Besar Johor, pada 12 Mac; lebih seminggu kemudian diikuti oleh kematian bekas editor Ekonomi Berita Harian, Mohamed Said dan tidak lama selepas itu, Aliza Aziz, seorang penerbit di TV3.

Kesemuanya dijemput lebih awal oleh yang maha Esa dalam usia di antara 39 hingga 45 tahun. Satu lingkungan usia yang masih muda dalam keadaan sekarang, di mana jangka hayat manusia semakin lanjut dengan kesedaran kesihatan dan pelbagai sumber pemakanan tambahan.

Namun ketiga-tiganya menyahut panggilan Illahi disebabkan penyakit yang semakin ‘biasa’ dengan manusia moden iaitu kencing manis, serangan jantung dan barah atau lebih lancar disebut sebagai kanser.

Mengenali ketiga-tiganya, Aliza yang sama-sama mentah ketika melapor diri di Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) pada 1 September 1984, Mohamed ketika di Berita Harian dan Faizal dengan cara lebih dekat lagi di Pejabat Menteri Besar Johor – mereka adalah individu yang sanggup memikul apa jua bebanan dalam tugas di tempat kerja.

Sesungguhnya, sudah banyak andaian dan analisa bahawa tekanan dalam menyempurnakan tugas yang semakin mendesak serta rencam itu, adalah satu daripada punca yang memudahkan manusia masa kini dihinggapi penyakit-penyakit seumpamanya.

Lebih-lebih lagi Allahyarham Faizal, yang menempuh perjalanan hidup penuh berliku sama ada ketika di Berita Harian, di Negeri Johor dan selepas meninggalkan perkhidmatan di unit ini, yang sebelumnya dikenali dengan nama Pejabat Ketua Penerangan dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Johor.

Allahyarham memilih untuk meletakkan jawatan pada awal tahun 2005 selepas berkhidmat lebih lima tahun, iaitu sebaik beliau ditawarkan untuk menerajui unit ini dalam satu proses penyusunan semula.

Saya sendiri berusaha memujuk Allahyarham agar kekal dalam perkhidmatan itu untuk sama-sama menyusun semula operasi unit ini agar berfungsi sebagai Unit Media dan Komunikasi (Medkom) seperti hari ini.

Bagaimanapun tekadnya untuk berdikari dan kesediaannya menghadapi cabaran dalam pasaran bidang perhubungan awam tidak dapat mengubah pendiriannya.

Keberaniannya dikagumi, namun kegetiran yang dihadapi oleh Allahyarham semacam dapat dirasai oleh rakan-rakan seangkatan dengannya, sekalipun beliau menyembunyikan penderitaan penyakitnya.

Senyuman dan wataknya yang bersahaja membuatkan tidak mudah untuk kita meneka bahawa Allahyarham sebenarnya berada dalam keadaan tertekan.

Prinsipnya mudah, beliau tidak mahu menyusahkan orang lain dan memohon simpati sesiapa. Barangkali baginya, siapalah Ahmad Faizal untuk mengharap balasan budi atau menagih sesuatu.

Namun, bagi mereka yang mengenalinya, yang menghargai kewujudan dan sumbangannya, Allahyarham Ahmad Faizal tetap meninggalkan kesan dan makna.

Oleh itu, kami warga Medkom dan Pejabat Menteri Besar Johor merakamkan takziah kepada keluarganya dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Amin.

Saodi Mat Atar,
Medkom,
Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...