Laman khas untuk mengingati dan sebagai satu dedikasi kepada anakanda kami Allahyarham Ahmad Faizal Ahmad Fadzil yang telah berpulang ke Rahmatullah pada 12 Mac 2007 yang lalu pada usia 39 tahun. Allahyarham ialah bekas wartawan dengan Berita Harian dan bekas Timbalan Ketua Penerangan dan Penyelidikan Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim. Jawatan terakhrnya ialah Pengarah Urusan Yayasan Ilmuwan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.
Thursday, December 04, 2008
'FAIZ' SEPERTI YANG DICATAT KAMALUDDIN LELA, BEKAS WARTAWAN KUMPULAN UTUSAN MELAYU
Gambar terbaru Kamaluddin Lela, bekas penyunting Utusan Melayu.
Allahyarham Faizal Fadzil Yang Saya lihat
Tidak lama dulu, pada 12 Mac 2007, hari Isnin, aku menumpang rasa terharu kerana anak sulongnya, Faizal, meninggal dunia di Subang Jaya Medical Centre akibat penyakit kencing manis dalam usia 39 tahun. Al Fatihah.
Faizal adalah bekas wartawan dengan Berita Harian dan kemudiannya dia bekerja dengan Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman. Kemudiannya dia bekerja di Kuala Lumpur beberapa tahun sebelum meninggal dunia. Sebaik itu, Fadzil terus menelefon aku menyampaikan perkhabaran yang sungguh menyayat itu. Aku sempat kenal dengan Faizal yang dipanggil Faiz. Tak pernah dengar pula tentang penyakit yang dihidapinya.
Setelah mengetahuinya, aku terus menghubungi orang-orang berkenaan di Kampung Kubu Gajah untuk membuat persiapan, seperti Haji Shafie, imam Masjid Kubu Gajah, Haji Idris, Bendahari Khairat Kematian, Hamzah yang biasa memandikan jenazah dan meminta dia memberi tahu orang lain yang berkenaan. Selepas itu aku menghubungi rakan-rakan yang mengenali Fadzil.
Faizal seorang amat bersopan santun ketika aku berkunjung ke rumah ayahnya, Fadzil Yassin. Semasa aku menghantar anak lelaki, Khairul Akram memulakan pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia pada Julai 2004, aku sempat makan tengah hari di rumahnya di Johor Bharu. Isterinya, Cikgu Ros baik sekali. Tidak lama kemudian aku dengar dia sudah berpindah ke Kuala Lumpur dan menetap di Rawang.
Aku benar-benar terharu dengan keadaan yang menimpa keluarga Fadzil. Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dari Allah. Amin. Hanya itu yang mampu aku lafazkan untuk mengiringi pemergiannya dalam usia yang masih muda.
Aku sedih sekali setelah selesai pengkebumian ketika tiga anaknya yang kecil menabur bunga ke atas pusara ayah mereka. Terharu sungguh. Ramai keluarga, rakan taulan yang berada di Tanah Perkuburan, Jalan Gajah 11, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh. Termasuk Firdaus Abdullah dan Rejal Arbie, bekas bos Faizal di Berita Harian.
Aku dapat merasai betapa perasaan hiba Fadzil hingga ke saat aku menyiapkan tulisan ini. Fadzil begitu tabah menghadapi dugaan dari Allah. Banyak sungguh kenangan yang ditinggalkan. Umpamanya, arwah merancang untuk membesarkan rumah ayahnya kerana tidak lama lagi berlangsung perkahwinan adiknya dengan gadis dari Sabah.
Takdir menentukan, dia pergi sebelum sempat menghadiri majlis yang dia rancangkan untuk adik bongsunya. Aku juga tidak dapat bersama ketika majlis berlangsung kerana menghadiri majlis Tilawah al-Quran anjuran Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia di Kota Bharu, Kelantan, dari 2 hingga 7 Jun 2007.
Ayah Allahyarham Yang Kami Kenal
AYAH Allahyarham Ahmad Faizal, iaitu Ahmad Fadzil Yassin atau nama penanya AF Yassin aku dengar sejak sekian lama dulu. Iaitu ketika dia masih lagi bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu pada tahun 1972 hingga tahun 1983. Pada suatu ketika selepas itu, kalau tak silap saya tahun 1987, aku ke Fajar Bakti untuk bertemu dengan seorang pegawai pemasarannya, Angeline Low atas urusan mendapatkan buku untuk dibuat ulasan.
Angeline bertanya aku ketika Fadzil melintasi di situ, apakah aku tidak kenal dengannya. Sebenarnya memang aku belum kenal secara dekat, hanya mengenali nama. Biasalah di kalangan penulis yang semuanya kenal Samad Said, Usman Awang dan Shahnon Ahmad, tetapi Sasterawan Negara itu tidak mengenali mereka. Begitulah juga antara aku dengan Fadzil. Yang tidak berapa kenal itu yang perlu dikenalkan. Kami terus jadi kawan. Kata Angela dia Pengarang Urusan Fajar Bakti, anak syarikat Oxford University Press yang bermarkas di Oxford, London bertanggungjawab menerbitkan buku-buku dalam bahasa Malaysia.
Tiba ketikanya aku terfikir untuk menghantar beberapa manuskrip cerita kanak-kanak untuk diterbitkan oleh Fajar Bakti, sekira difikirkan sesuai. Setelah mendapat tahu Fadzil Yassin berada di situ dan aku cuba berkenalan dengannya. Kedatangan aku disambut dengan baik. Ketika itu pejabatnya baru berpindah di Kuchai Lama.
Fadzil telah memanggil pembantunya iaitu Nor Azah Aziz, kini bekerja dengan Utusan Melayu. Dia memberikan kepada Nor Azah manuskrip yang aku bawa. Nampaknya Fadzil berpuas hati. Lama juga aku bersembang dengannya dan kami sama-sama keluar minum. Sejak itu kami selalu bertemu atas urusan buku aku. Dia bersetuju untuk menerbitkan sebanyak tiga buah buku dalam siri untuk kanak-kanak.
Sebelum itu beberapa buah buku aku diterbitkan oleh Penerbitan Prisma yang terletak di Kelana Jaya. Juga termasuk lapan buah untuk siri Pejuang Islam. Melihat pengalaman aku, seperti Fadzil tidak teragak-agak untuk menerima bahan tulisan aku. Mungkin nama sebagai wartawan Utusan Melayu itu memberikan keyakinan yang lebih kepada bahan yang aku bawa.
Begitulah Fadzil. Ketika itu dia masih tinggal di Bangi. Aku selalu juga pergi ke rumahnya bila dijemput menikmati hidangan di rumahnya. Suatu ketika aku pergi bersama dengan Rashid Ahmad dan Wahba. Setiba di sana, Ali Majod sudah ada menunggu. Ramai lagi yang datang, Fadzil memang suka mengadakan rumah terbuka dengan tidak mengira hari raya dan sebagainya.
Ketika itu dia sudah mula tertarik dengan keadaan di Kampung Kubu Gajah ketika datang ke rumah aku. Bila datang dia akan bertemu dengan Sabda (Sajudi Dasuki). Kami mencadangkan agar dia mencari tanah. Aku dan Sabda bagaikan berkempen tentang baiknya kawasan ini untuk kerja-kerja menulis. Memang ramai yang datang ke sini memang terpaut dengan suasananya.
Mulanya kami main-main sahaja mengajak Fadzil ke Kubu Gajah, tetapi rupanya umpanan kami menyangkut. Dia kelihatan serius, tiba-tiba ketika dia datang aku tidak ada di rumah. Entah bagaimana, dia berjumpa dengan Sabda yang belum mendirikan rumah di sini lagi. Sabda menunjukkan suatu kawasan tapak satu ekar iaitu tempat dia buat rumah sekarang.
Sejak itu Fadzil semakin rapat dan begitu juga dengan isterinya (ibu Allahyarham) dengan isteri aku. Apa-apa hal yang dia tidak tahu, aku tempat dia membuat rujukan. Umpamanya, ketika dia mahu mengadakan majlis kesyukuran untuk naik rumah baru, aku menguruskan catering dan sebagainya. Dan juga tentang jemputan dan siapa yang harus dipanggil. Aku tidak kisah, memang sewajarnya aku membantunya.
Lantaran tanahnya seluas satu ekar dan dengan kedudukan rumah di bahagian belakang, memang memberi ketenangan jiwa kepada sesiapa saja yang berkunjung ke rumahnya di lot 1630, Jalan Gajah 9, Kampung Kubu Gajah dan tidak jauh dari rumah aku. Sejak Fadzil berpindah ke situ, ramai kawannya yang datang dan turut berminat mencari tapak untuk memulakan kehidupan baru dengan suasana kampung.
Dalam keadaan begitu, Fadzil berpeluang pula bekerja dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr. Firdaus Abdullah, sebagai Pegawai Khas dengan Tugas-Tugas Khas. Hampir dua tahun Fadzil di DBP (2006-2007). Dalam pada itu Fadzil dilantik sebagai Felo Tamu selama dua tahun oleh Jabatan Penerbitan dan Percetakan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Fadzil ditugaskan untuk membuat kajian tentang mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun A. Ghafar Baba. Dan kalau tak silap sebelum Dato' Firdaus bertugas di DBP, Fadzil pernah diminta menganggotai Tim Penyelidik program Jejak Bahasa yang ditaja DBP bersama TV3 pada tahun 2000 -2001.
Tim penyelidik itu diketuai Dato' Prof (Emeritus) Dr. Asmah Hj. Omar. Fadzil dan timnya berpeluang menjelajah hampir ke seluruh Indonesia, dari Medan ke Menado untuk tujuan penggambaran TV berdasarkan kajian yang dilakukan Asmah bersama timnya. Saya rasa Program Jejak Bahasa itu telah disiarkan sebanyak 26 episod oleh TV3 pada tahun berikutnya . (Daripada Catatan Kamaluddin Lela, 4 Disember 2008)
Komen:
Catatan ini diserahkan kepada saya hari ini ketika kami pulang mengunjungi seorang keluarga Kamaluddin Lela di Selayang. Kunjungan itu ada kaitannya dengan isu Institusi Raja, khususnya di Pahang Darul Makmur.
Subscribe to:
Posts (Atom)