Perkampungan Melayu di Makkah
Faizal Fadzil
Kuala Lumpur, Rabu – Malaysia, Indonesia,, Singapura dan Brunei sedang berbincang dengan beberapa syarikat Arab Saudi dalam usaha mewujudkan sebuah perkampungan Melayu di Makkah bagi menempatkan jemaah haji dari rantau ini.
Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha, berkata mesyuarat Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) di peringkat pegawai yang diadakan di sini, 8 Disember lalu bersetuju mewujudkan perkampungan Melayu di Makkah.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan negara luar membina bangunan atau penempatan seumpama itu jika ia dibangunkan secara usaha sama dengan syarikat negara itu.
“Berikutan itu, Tabung Haji sedang berbincang dengan beberapa syarikat Arab Saudi berhubung perkara itu dan mereka bersetuju mengkaji,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Tabung Haji 1994, di Dewan Negara, hari ini.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Abang Abu Bakar yakin perbincangan itu akan menghasilkan keputusan positif.
Katanya, negara anggota Mabims akan menubuhkan bangunan bagi mewujudkan perkampungan Melayu itu untuk menempatkan kakitangan pengurusan jemaah haji dan bakal haji rantau ini termasuk rakyat di Selatan Thailand jika kerajaan Arab Saudi memberi kebenaran itu.
Menurutnya, matlamat mewujudkan perkampungan Melayu di Makkah bertujuan membolehkan jemaah haji berinteraksi sesama jiran serantau di samping menunaikan haji.
Katanya, jemaah haji negara anggota Mabims juga dijangka menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sama mulai tahun hadapan ketika berada di Makkah.
Selain itu, katanya, Malaysia dan maghribi juga sudah bersetuju menubuhkan sebuah bangunan bagi menempatkan jemaah haji dari kedua-dua negara jika Arab Saudi menggantikan tanah kerajaan Maghribi yang diambilnya di Makkah.
Kerajaan Maghribi sedang berusaha mendapatkan tanah dari Arab Saudi bagi menggantikan tanahnya di Makkah yang diambil oleh kerajaan itu untuk membina istana.
“Arab Saudi mahu menggantikan tanah itu dengan wang tetapi Maghribi mahu mendapatkan tanah ganti. Jika permohonan berjaya, Malaysia dan Maghribi berjanji menubuhkan bangunan bagi menempatkan jemaah dari kedua-dua negara,” katanya.
Berita Haian – 29 Disember 1994
Komen:
Musim Haji. Maka berpusu-pusulah warga Moslem dunia menuju Mekah untuk menunaikan ibadah Haji tahun ini. Kadang-kadang teringat juga berita yang ditulis Arwah tentang rakyat Malaysia ke Mekah menunaikan Haji. Satu rutin tahunan yang tiada puts-putusnya sejak zaman Rasulullah lagi.
terakhir terbaca berita bahawa Superstar Michael Jackson memilih untuk memeluk Islam setelah. Namanya ialah Mikhaeel. Khabarnya pada tahun depan Mikhaeel akan menunaikan Haji ke Mekah. Setelah Cat Stevsns dengan nama Yusof Islam kini giliran Michael Jackson pula. siapa lagi selepas ini. Mungkin Madonna atau Englebert Humperdink!!??