Wednesday, April 04, 2007

BEKAS WARTAWAN MENINGGAL DUNIA 13/3/07

Bekas wartawan BH meninggal

SUNGAI BULOH: Bekas wartawan Berita Harian, Faizal Fadzil, 39 , meninggal dunia jam 10 pagi semalam, akibat kencing manis selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SMJC) dua hari lalu.


Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosmawati Yunos, 39, seorang guru sekolah menengah dan empat anak berusia enam hingga 12 tahun.Bapa Allahyarham, Ahmad Fadzil Yassin, 62, berkata, Allahyarham merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan mereka sekeluarga dan kawan-kawannya.“Hanya 10 hari lalu, isteri arwah menelefon saya secara rahsia untuk memberitahu keadaan suaminya yang sudah lama menderita sakit kencing manis,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh.Beliau berkata, Allahyarham tidak membenarkan isterinya memberitahu mengenai penderitannya kerana enggan menyusahkan orang lain.“Arwah juga enggan bertemu doktor bagi mengubati penyakitnya dan lebih rela mendapatkan perkhidmatan perubatan alternatif,” katanya yang juga Fellow Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Allahyarham menamatkan pelajaran dalam bidang Sains Politik di Universiti St Catherine, Kanada sebelum berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian selama sembilan tahun.Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Maklumat dan Penyelidikan di Pejabat Menteri Besar Johor, Pengarah Urusan Yayasan Ilmuan sebelum menubuhkan syarikat berkaitan telekomunikasi.Turut melawat jenazah di SJMC, Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail.

KARYA TERAKHIR AHMAD FAIZAL FADZIL

CERPEN TERAKHIR ANAK KESAYANGAN KAMI, AHMAD FAIZAL YANG MENINGGAL DUNIA PADA 12 MAC 2007 YANG LALU. SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT KE ATAS ROHNYA. AMIN YA RABULALAMIN. CERPEN INI BELUM TERSIAR DI MANA-MANA MEDIA SETAKAT INI.


CALON PEE EM
Oleh Faizal Fadzil

“Tolonglah Zal, kau je boleh tolong aku dalam soal ni. Kalau kau tolong aku, nanti aku akan bantu kau bila kau perlukan pertolongan aku,” rengek Dr Adib. Kakinya tidak pernah berhenti menuruti langkah Rizal sejak setengah jam yang lalu.
Bibirnya tidak bosan menghambur janji manis sambil tangannya seakan-akan hampir tidak putus menyentuh bahu temannya itu.
“Kau nak aku buat apa lagi? Aku kata aku dah cakap dah dengan bos aku, dah lah,” desis Rizal yang juga semakin tidak tahan dengan tingkah temannya itu.
‘Pakkal kau kawan karib aku dulu, kalau tidak…’ rungut Rizal sekadar berani dalam hati. Tidak sanggup ia melukai hati temannya itu. Teman yang terlalu banyak berbudi.. Doktor yang tidak pernah menolak untuk merawat anaknya yang sering sakit. Jam tiga pagi juga biasa dikejutkan dari tidur jika anaknya sesak nafas, penangan asthma yang dideritainya.
“Bos, pasti ke nak bawa nama aku?,” desak Dr Adib, enggan menerima bulat-bulat kata-kata temannya itu. Dia mahukan kepastian yang jitu. Bukan sekadar luahan bagi menyedapkan hatinya akibat bosan direngek bertalu-talu. Dia mesti dapatkan kepastian. Sudah lama dia menabur budi. Kini tiba masanya untuk meraih hasil yang dituai sekian lama.
“ Bos kata dengan aku sendiri. Dia akan bawak nama kau. Kau layak. Golongan profesional. Berpendidikan tinggi. Dikenali masyarakat. Banyak bantu rakyat. Itu kriteria yang Perdana Menteri nak untuk jadi wakil rakyat era sekarang. Mesti bos bawak punya,” Rizal bersungguh meyakinkan teman yang banyak dibantu publisitinya itu.
Kedudukan Rizal sebagai wartawan sebelum menjadi setiausaha kepada Pak Menteri atau secara popularnya dikenali rakan-rakan sebagai Pee Em, singkatan daripada pembantu menteri, memudahkan tugasnya.
Dr Adib memang rajin membantu orang di bahagiannya. Kedudukannya sebagai Naib Ketua bahagian Parti Melayu membolehkan Dr Adib bergerak cergas membela nasib rakyat. Sebagai teman, Rizal mahu rakannya mendaki terus dalam kerjaya politiknya. Menjadi Pee Em yang hanya diikat dengan kontrak tahunan dengan pejabat Pak Menteri tidak menjamin kedudukannya.
Jika nasib Pak Menteri cerah, kekal sebagai pucuk pimpinan Kerajaan di negeri K, Rizal akan tetap terus menerima imbuhan bulanannya. Jika bosnya tidak lagi digemari Perdana Menteri, maka jawatan terhormatnya turut melayang. Rizal sudah menyaksikan ramai rakan sejawatannya menjadi mangsa iklim politik yang ganas. Ada yang menjadi mangsa kebosanan bos mereka melihat pembantu yang sama lalu mencari setiausaha yang bukan sahaja memiliki kecekapan serupa tetapi juga enak di pandang mata. Tidak kurang juga yang menjadi mangsa fitnah apabila ada orang yang mencucuk bos mereka sehingga menimbul curiga. Rizal juga tidak mahu bikin kesilapan yang tidak mendapat keampunan bosnya seperti penyandang jawatannya sebelum ini.
Rizal fikir panjang tentang masa depannya. Dr Adib adalah jawapan kepada persoalan itu. Kalau Dr Adib naik jadi wakil rakyat dengan bantuannya, dia boleh tumpang tuah Dr muda itu. Mungkin Dr Adib boleh tolong dia jadi usahawan baru. Sekurang-kurangnya jadi broker professional yang makan komisen atas usaha mendapatkan kontrak kerajaan untuk usahawan tulen tetapi tiada kenalan di kalangan pimpinan.
Atas asas itu, Dr Adib terus dibantu untuk jadi popular dan terus gah namanya. Apabila Dr Adib beri makan fakir miskin di bulan Ramadan, kawan-kawan wartawannya dipanggil untuk mengambil gambarnya. Jika Dr Adib beri basikal 10 buah pada orang-orang kampong yang serba kekurangan, maka ia menjadi tajuk berita utama wilayah di akhbar arus perdana, hasil kerja-kerja perhubungan awam Rizal. Kalau Dr Adib singsing lengan baju, lipat kaki seluar dan dayung sampan lalu menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam mala petaka banjir kilat, kilauan cahaya lensa kamera bertalu-talu menyilaukan mata penerima bantuan.
Itu semua kerja Rizal untuk tolong nama Adib terus gah di dada media perdana. Rizal sudah banyak bantu Dr Adib. Kini, Dr Adib minta Rizal bantu lagi untuk pastikan namanya tercalon sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya akan datang. Tidak guna semua publisiti jika nama tidak naik jadi wakil rakyat. Penat saja beraksi di depan kamera ketika berkhidmat kepada rakyat jika pucuk pimpinan serah tugas berat tetapi jadi rebutan ramai untuk digalas oleh rakan-rakan lain dalam bahagian.
Dr Adib senyum meleret. Impiannya untuk bergelar YB semakin menjadi kenyataan. Dr Adib yakin temannya itu tidak berbohong. Latihan profesionalnya sebagai pakar psikologi yang terlatih di hospital gila Tanjung Rambutan menyukarkan orang untuk menipunya. Riak air muka temannya yang digauli sejak di bangku sekolah rendah itu jelas membayang keluhuran kata-katanya itu. Orang gila lagikan dikenal lubuk hatinya, inikan pula insan yang waras.
“Terima kasihlah Zal. Tak sia-sia kau jadi kawan aku. Apa guna kawan kalau tak boleh tolong kengkawan. Kita mesti bergerak maju Zal. Kedudukan kau tu tak kekal. Tak selamat. Kalau nama aku sangkut, ada can aku jadi orang besar Kerajaan. Kalau aku naik, kau mesti aku bawak naik sekali,” Dr Adib merangsang-rangsang semangat Rizal.
“Kau ada kepakaran kau yang amat diperlukan oleh orang politik macam aku. Kita kena bina kumpulan politik yang bagus. Kau akan jadi kumpulan pemikir aku. Kalau aku jadi menteri esok, kaulah orang yang paling aku percaya sebagai penjaga amanah harta aku. Aku senang, kau pun senang,” Dr Adib gelak besar. Seronok merangka-rangka wawasan 2020 nya sendiri Dia yakin halangan utama terhadap cita-citanya itu adalah jika dia tidak terpilih menjadi wakil rakyat.
Namun, keyakinan Dr Adib yang Pak Menteri pasti membawa namanya naik kepada pucuk pimpinan sebagai wakil rakyat seolah-olah semakin menghambat jauh halangannya itu. Beliau amat yakin kini sudah 90 peratus kerusi Parlimen Mujarab hampir pasti menjadi miliknya.
Rizal bukan calang-calang orang. Siapa tidak kenal Rizal di negeri itu. Sudah menjadi rahsia terbuka di kalangan orang politik pengaruh Rizal terhadap Pak Menteri. Nasihat Rizal umpama azimat di telinga Pak Menteri. Jika Rizal buka mulut, Pak Menteri sudah pasti terima. Jika tercetus sebarang masalah, Rizal yang diminta untuk memula bicara dalam mesyuarat untuk meraih pandangannya. Kalau ada kekecohan, Rizal yang akan menjadi wakil Pak Menteri untuk selesaikan perbalahan itu. Kata-kata Rizal seperti kata-kata Pak Menteri. Sebarang keputusan Rizal, itu juga yang menjadi ketetapan Pak Menteri. Begitu hebatnya Rizal pada pandangan politikus negeri K.
“Hujung bulan ni, abang mahu buat kenduri kesyukuran, Mah,” Dr Adib meletak songkoknya yang sejak akhir-akhir jarang meninggalkan kepalanya di atas meja yang terhidang karipap. Halimah yang menatang dulang yang terletak secangkir kopi mengerut dahinya.
“Kenduri kesyukuran apa bang? Hari lahir saya lambat lagi. Hari jadi anak-anak pun bukan bulan ni. Hari jadi abang lagi lambat dari saya. Bekwoh (kenduri) abe nok namboh so lagi ko?” Halimah anak jati Tanah Merah mengusik suaminya yang kebelakangan ini jarang lekang di rumah.
“Kenduri kesyukuran…meraikan suami kau ni ha…bakal YB,” sengih Dr Adib, mengecilkan matanya yang sememangnya seiras dengan kaum Cina. Pipinya yang sememangnya tembam agak terangkat, membantu proses pengecilan matanya itu.
“Abang dah buang tebiat, MB tak umum lagi, abang dah nak isytihar diri dulu. Malaikat Jibril dah sampaikan wahyu pada abang ke?” Sinis Halimah makin menjadi-jadi.
Wajah Dr Adib tengik sedikit dipermainkan begitu. Namun, egois politikusnya tidak mengejongkan lidahnya untuk terus bertikam.
“Sumber terapat dengan MB bagi tahu, MB mesti bawa nama aku. Lagipun, sebelum hujung bulan ni MB akan umum calon, jadi kita buat kendurilah lepas nama aku diumum. Bukan apa, nak ucap terima kasih pada kawan-kawan dan masyarakat sekitar atas sokongan mereka pada aku selama ni. Lebih penting lagi, aku nak ajak semua pengundi kat sini datang. Jamu-jamu mereka sikit, bukan banyak tumbang lembu 5, 6 ekor je,” .
Dr Adib tersenyum-senyum lagi. Terbayangkan kempen pilihan rayanya sendiri akan bermula di rumah pusaka ayahnya itu. Rumah keramat yang bakal menyaksikan anak kelahirannya akan menjadi orang besar kawasan itu.
“Sukati abanglah. Duit abang. Jangan nama je naik, tapi tak turun-turun sudahlah…” Semangat mengusik Halimah semakin menebal. Entah mengapa semakin tinggi angan suaminya itu, semakin seronok pula melihat air mukanya yang sekejap berseri, sekejap tengik bila bertingkah kata dengannya. ‘Tapi kalau betul dia jadi YB, aku pun seronok juga jadi bini YB’ detik hati Halimah, sambil membayangkan perhiasan yang bakal memenuhi tubuh tertayang di khalayak umum apabila mengiringi suaminya ke majlis-majlis keramaian.
“Perempuan!” dengus Dr Adib yang semakin panas telinga dan hatinya mendengar kata-kata mulut Halimah yang seperti tidak berinsuran itu. ‘Aku cari perempuan lain membantu tugas kau, baru tahu’ Dr Adib tersenyum, memasang impian nakal bersama teman-teman cilik ‘sekaraokenya’ saban minggu.
Leretan senyum Dr Adib tidak pernah lekang daripada bibirnya sepanjang pemanduannya ke rumah MB. Panggilan telefon setiausaha sulit MB semalam menamatkan kegusarannya selama ini.
“Dr, saya menyampaikan salam dan pesanan MB. Beliau meminta Dr hadir ke majlis penyampaian watikah kepada calon-calon wakil rakyat Dacing di kediaman rasmi MB esok.” Suara setiausaha sulit MB yang sentiasa lembut itu, didengarnya lebih mendayu pada petang itu. Kegembiraan Dr Adib mendengar kata-kata setiausaha sulit MB itu, menyamai keseronokan mendengar suara isterinya pada malam pertama mereka bersama kira-kira hampir 20 tahun lalu.
“Saya jadi wakil rakyat ke?” Dr Adib tidak langsung menyembunyikan kegirangannya, melupakan sama sekali status ‘calon’ dalam pilihan raya itu.
“Tahniah YB,” Setiausaha sulit MB membantu menambah kealpaan Dr Adib terhadap statusnya itu.
Dr Adib, ditemani Halimah, melangkah memasuki perkarangan rumah MB yang senantiasa berubah wajah mengikut keperluan majlis. Adakalanya pentas terbuka dipenuhi dengan aktiviti tari menari budaya bagi meraikan tetamu. Di bulan Ramadan, malaikat pula memenuhi ruang itu apabila majlis khatam Quran menyeri ruang berkenaan. Tetapi hari ini khemah putih berhawa dingin akan menyaksikan derai ketawa calon-calon YB di majlis penyerahan watikah mereka. Dr Adib terus berasa berada di puncak dunia, ditenggelami dengan ucapan tahniah dan jabat tangan-tangan gembira rakan-rakan politikus yang turut tercalon, juga ucapan selamat berunsur cemburu dari rakan-rakan politik yang tiada kerusi untuk ditandingi. Dr Adib separuh tunduk, menjabat erat tangan Rizal, yang riak wajahnya seolah-olah menzahirkan rasa kemenangan atas kejayaannya meyakinkan MB untuk membawa naik nama Dr Adib kepada pucuk pimpinan. Bebanan yang hanya lupus setelah bersoal jawab dengan MB selama setengah jam ketika mencadangkan nama Dr Adib bagi menyelesaikan beberapa kegusaran MB sendiri.
“Calon-calon pilihan raya sila isi borang yang disediakan di meja yang tertera nama kawasan pilihan raya masing-masing,” suara garau Setiausaha Dacing Negeri menghentikan salaman ikhlas dan iri memberi laluan kepada bakal-bakal YB menuju kerusi bahagia masing-masing.
Ucapan ringkas MB seolah-olah tidak lagi mendapat perhatian calon-calon pemimpin negeri K itu. Tidak sabar menanti suara garau Setiausaha Dacing Negeri menjemput mereka menerima watikah perlantikan sebagai calon. Wajah-wajah ceria kembali menghiasi para calon apabila satu demi satu nama berkumandang di ruang udara perkarangan kediaman rasmi MB untuk menerima watikah.
Pengumuman tiba-tiba terhenti, sejurus selepas setiausaha sulit MB membisikkan sesuatu ke cuping MB. MB bergegas meninggalkan majlis, memasuki ruang tamu kediaman rasminya. 10 minit tepat MB meneruskan tugas rasminya pagi itu.
Dr Adib hampir rebah. Nasibnya baik, isterinya yang tidak pernah berjauhan lebih tiga inci daripada tubuh suaminya sejak tiba di kediaman MB itu, masih kekal pada kedudukan itu.
Bisikan Setiausaha Sulit MB yang baru sahaja singgah di kupingnya seolah memecah gegendang telinganya. Dua tiga calon lain kelihatan mencontohi tindakan Dr Adib setelah menerima bisikan maut Setiausaha Sulit MB itu.
“Dijemput calon pilihan raya kawasan Parlimen Mujarab, Dr Harun Rasyid, untuk menerima watikah perlantikan,” suara garau Setiausaha Dacing Negeri mengesahkan berita bisikan maut Setiausaha Sulit MB.
MB menerima panggilan pemimpin tingkat tertinggi mengenai beberapa perubahan terbaru dalam senarai calon pilihan raya yang dirombak entah beberapa belas kali sebelum senarai muktamad diumum.
“PM nak calon yang berlatang belakangkan agama dan professional yang boleh mengimbangi kekuatan parti lawan di kawasan Parlimen Mujarab. Pembangkang agak kuat di situ. PM nak pastikan kemenangan. PM tak mahu mana-mana kubu kita di negeri ini tumbang. Dr pun tahu PM ada hak meletak calon yang difikir sesuai meskipun di saat akhir seperti ini,” bisikan maut masih terngiang-ngiang di telinga Dr Adib.
Pandangan Dr Adib mengitari kawasan sekitar mencari kelibat Rizal, namun gagal mengesannya. Pee Em itu seolah-olah lebih dahulu menghidu berita itu, lalu bingkas menghilang sepantas mungkin. Pandangan itu sempat singgah menyaksikan Dr Harun, usahawan terbilang merangkap penceramah agama popular Forum Perdana TV6 menaiki pentas menerima watikah perlantikannya sebelum matanya terkatup rapat. Kali ini, beliau betul-betul rebah.
Tamat.


Biodata Ringkas


Faizal Fadzil atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Ahmad Fadzil, 39, anak kelahiran Johor Bahru. Mula menulis cerpen sejak berusia 15 tahun di Dewan Siswa. Karyanya pernah dimuatkan dalam beberapa antologi bersama terbitan Utusan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penerbit Fajar Bakti. Pernah memenangi beberapa pertandingan menulis termasuk Sayembara Penulisan Cerpen dan Puisi Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986 dan Hadiah Sastera Utusan kategori utama cerpen remaja pada tahun 1993. Terpilih menyertai Minggu Penulis Remaja DBP tahun 1985 dan 1986. Pernah menjadi wartawan Berita Harian (1992-2000) sebelum menyertai Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Pejabat Menteri Besar Johor selama 5 tahun. Kini, beliau menyertai sektor swasta.

Nama : Ahmad Faizal bin Ahmad Fadzil
Nama Siaran : Faizal Fadzil
No Kad Pengenalan : 680407-01-6285
Alamat : No 36, Jalan 8/7, Bandar Tasik Puteri, 48020,
Rawang Selangor.
Telefon : (HP) 0137880575 (Rum) 03-60343210 (Pej) 03-20958151
Emel : fadzilfaizal@yahoo.com
Terbaru: Ahmad Faizal meninggal dunia pada 12 Mac 2007 setelah dua hari di hospital Subang Jaya medical Centre kerana penyakit kencing manis. Selamat dikebumikan si TanahPerkuburan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor. Allahyarham

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...